9 Mac 2016 akan menyaksikan sebuah lagi fenomena Gerhana Matahari yang akan melintasi sebahagian besar Asia Tenggara (termasuk Malaysia) dan bagi rakan-rakan kita di Indonesia, mereka berpeluang menyaksikan Fasa Gerhana Matahari Penuh, yang mana matahari akan hilang dari pandangan buat beberapa minit dan kemudian muncul kembali, semuanya dalam keadaan ‘tiba-tiba’ atau ‘mengejut’.
Kalau diikutkan kiraan kasar, tinggal 78 hari sahaja lagi untuk sampai ke tarikh tersebut.
Maka untuk siri kedua artikel-artikel berkaitan Gerhana Matahari Penuh 2016 ini, saya kemukakan beberapa persoalan berikut yang mungkin boleh membantu anda mencongak sejauh mana persediaan anda setakat ini!
Soalan 1: Lokasi
Adakah anda sudah memilih lokasi pilihan nanti? Adakah anda akan mencerapnya dari Malaysia sahaja? Atau adakah anda sudah memilih lokasi yang terbaik di Indonesia?
Jika anda mencerap di Malaysia, anda hanya akan dapat menyaksikan fasa gerhana matahari separa sahaja. Langit tidak akan gelap, dan anda wajib menggunakan cermin mata khas atau penapis matahari untuk melihat fasa gerhana tersebut.
Jika anda mencerap di Indonesia, anda berpeluang menyaksikan gerhana ini dalam fasa penuh. Langit akan menjadi gelap seketika seperti sekitar waktu antara maghrib dan Isya. Ketika itu kita boleh lihat dengan mata tanpa perlukan apa-apa penapis matahari.
Soalan 2: Tiket kapal terbang
Jika anda bercadang untuk mencerap dari Indonesia, sudahkah anda membuat tempahan awal tiket kapal terbang ke sana? Air Asia? MAS?
Pastikan anda memilih tarikh yang mencukupi untuk membuat persediaan apabila sampai di lokasi. Sebagai contoh, InsyaAllah saya akan sampai ke Indonesia 2 hari sebelum gerhana, yang membolehkan sekurang-kurangnya ‘bernafas’ sedikit dan boleh tinjau-tinjau keadaan di sana.
Tempahan awal juga penting jika anda mahukan harga yang murah dan berpatutan. Semakin menghampiri ke tarikh gerhana ini, semakin mahal harganya nanti. Kena cepat!
Soalan 3: Penginapan
Bagaimana pula dengan penginapan? Adakah anda sudah menempah hotel-hotel yang sesuai dan selesa di sana nanti? Kita kena faham bahawa peminat astronomi seluruh dunia akan turun padang ke Indonesia menyaksikan fenomena ini. Maka kena cepat booking sekarang, takut-takut hotel semua dah penuh.
Soalan 4: Persediaan rohani
Gerhana Matahari Penuh merupakan satu fenomena alam yang Allah SWT reka dan susun khas untuk kita menghayati dan mendapat pengajaran darinya. Jika kita sekadar pergi dengan tanpa ilmu, alangkah ruginya!
Sebelum pergi, lebih elok kita lihat kembali sebab musabab kejadian langit dan bumi ini berlaku, supaya tidaklah nanti keluar pelbagai spekulasi dan teori yang mengelirukan masyarakat.
Dapatkanlah maklumat daripada yang ahlinya.
Soalan 5: Persediaan fizikal.
Gerhana kali ini berlaku 1atau 3 jam selepas matahari naik (bergantung kepada lokasi). Ini bermaksud kita kena berada di lokasi cerapan pada malam sebelum berlakunya gerhana, atau sebelum subuh. Maka buatlah persediaan yang secukupnya. Makan vitamin banyak-banyak.
Soalan 6: Persediaan peralatan cerapan
Adakah anda akan sekadar melihat gerhana dengan mata? Atau mungkin anda bercadang untuk merakamnya? Adakah alat-alat rakaman yang ada sekarang ini memadai untuk merakam fenomena gerhana? Sudahkah anda membuat latihan secukupnya bersama-sama dengan alat tersebut?
Persediaan dan latihan amat penting kerana waktu fasa gerhana matahari penuh ini amat singkat dan seeloknya jangan dipersiakan akibat daripada kurang persediaan.
InsyaAllah bersambung…