Tinggal beberapa hari kita meninggalkan 2015. Tahun baru 2016 pula akan menjelma.. bersama-sama dengan pelbagai fenomena langit yang menarik untuk dicerap.
Di bawah merupakan antara fenomena tumpuan yang paling top yang saya rasa patut diberi tumpuan lebih sedikit berbanding yang lain. Penerangan lebih lanjut bagi setiap kejadian akan diberikan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, anda boleh dapatkan senarai lengkap fenomena astronomi lain dalam format ‘bulanan’ menerusi pautan Almanak Astronomi 2016 ini.
Komet C/2013 US10 Catalina sepanjang Januari
Komet Catalina akan merentasi ke kawasan langit sebelah utara pada sepanjang bulan Januari 2016. Ia agak cerah dan boleh dijejaki menggunakan Binokular dari kawasan yang gelap.
Menarik ialah pada 1 dan 2 Januari, ia akan berada hampir dengan bintang Arcturus, bintang yang ke-4 paling cerah di langit. Maka, kita boleh jadikannya sebagai panduan untuk mencarinya!
Selepas itu, pada pertengahan bulan Januari, ia akan bergeak ke dalam kawasan buruj Ursa Major (atau Biduk), dan lama kelamaan semakin rendah ke ufuk dan menyukarkan pandangan kita dari langit Malaysia.
Gerhana Matahari Separa (Malaysia) dan Penuh (Indonesia) pada 9 Mac 2016
Pada awal pagi 9 Mac 2016, kita akan dapat menyaksikan sekali lagi fenomena Gerhana Matahari. Di Malaysia, laluan bayang-bayang bulan tidak tepat melalui hadapan matahari, maka kita hanya dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa. Namun, jika anda berada di Indonesia, anda berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Penuh.
Di bawah merupakan screenshot yang diambil daripada laman web http://www.timeanddate.com/
Untuk maklumat lanjut Fenomena Gerhana Matahari Penuh di Indonesia, boleh didapat di SINI.
Marikh paling hampir pada 22 Mei
Bumi akan sekali lagi ‘memotong’ planet Marikh pada 22 Mei nanti. Ketika ini, Marikh akan berada pada posisi bersetentang dengan matahari (terbit di timur sebaik sahaja matahari terbenam).
Ia juga akan berada hampir dengan Bumi, dan memberi peluang untuk kita menyaksikan keadaan permukaan planet Matt Damon ni dari jarak dekat!
Peluang untuk melihat Marikh seperti ini hanya datang setiap 2 tahun 2 bulan.

Transit planet Utarid pada 9 Mei
Planet Utarid akan melintasi di hadapan matahari (transit). Kali terakhir ia berlaku ialah pada tahun 2006. Malangnya kita di Malaysia tidak sempat nak melihat ia melintas kerana pada waktu itu matahari sudah pun terbenam.
Namun, bagi mereka yang ‘hati cekal’, boleh ke kawasan Eropah dan benua Amerika untuk menyaksikan fenomena ini.
Di bawah merupakan peta kenampakan transit yang diambil dari laman web Xavier M. Jubier,
Zuhrah dan Musytari amat hampir 27-28 Ogos
Sekali lagi, 2 buah planet tercerah di langit, Zuhrah dan Musytari akan berkumpul sepertimana yang dilakukan pada sekita bulan Ramadhan tahun 2015 dan bulan Oktober 2015.
Kali ini, ia berlaku waktu Maghrib, namun kedudukan jauh lebih rendah daripada apa yang dapat dilihat pada bulan Ramadhan lepas.

Meteor Perseids pada 13 Ogos
Meteor Perseids, yang juga merupakan antara juraian meteor yang paling popular di kalangan peminat astronomi akan mempunyai prospek yang amat bagus bagi tahun 2016 ini. Ketiadaan cahaya bulan yang mengganggu, akan memberi peluang baik kepada kita melihat jumlah meteor yang agak banyak, iaitu pada kadar 60 meteor setiap jam.

Bulan Penuh Perigee pada 14 Nov
Fenomena Bulan Penuh Perigee, iaitu Bulan penuh paling besar untuk sepanjang tahun 2016 ini akan berlaku pada 14 November. Ketika ini bulan akan kelihatan sedikit besar berbanding bulan-bulan penuh yang lain, kerana ketika ini ia berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi (istilah astronomi ialah Perigee).
Jika ada fenomena lain yang anda rasa menarik untuk diberi tumpuan, saya amat alu-alukan cadangan anda.
Wallahua’lam