Adakah Bulan berputar di atas paksinya?

Apabila kita melihat Bulan setiap hari , kita akan dapat lihat permukaan atau bahagian Bulan yang sama sahaja akan kelihatan sepanjang masa. Ini memberi gambaran seolah-olah Bulan tidak berputar di atas paksinya.

Lalu, ramai yang bertanya, adakah Bulan berputar seperti Bumi? Jawapannya YA.

Tapi nak terangkannya agak berbelit-belit. Maka itu, saya harapkan anda yang ingin tahu lebih lanjut, bacalah sampai habis.

Bulan bergerak mengelilingi Bumi setiap 27.322 hari. Ini bermaknanya, Bulan akan kembali ke titik permulaan ia bergerak di dalam orbitnya setiap 27.322 hari. Ahli astronomi menamakannya ini sebagai Bulan Sidereal.

Bulan berputar di atas paksinya selama lebih kurang 27 hari juga. Ini bermakna, sesiapa yang berada di Bulan, akan mengalami SATU HARI, yakni satu putaran lengkap siang dan malam, selama 27 hari kita di Bumi.

Sebagai perbandingan Bumi berputar di atas paksi dan mengalami siang dan malam selama 24 jam.

Ini bermaksud Bulan berputar di atas paksinya amat perlahan berbanding dengan putaran Bumi.

OK faham kan?.

Maka itu, kesan gabungan jangka masa Bulan berputar di atas paksi (~27 hari) dan jangka masa Bulan melengkapi satu pusingan orbit mengelilingi Bumi (27.322 hari), memberikan gambaran bagi kita di Bumi, seolah-olah ia ‘tidak berputar’ walhal hakikatnya sebaliknya.

Senario ini juga dikenali sebagai putaran synchronous.

Mungkin pening sikit nak faham dalam bentuk tulisan. Sila lihat video yang amat bagus yang dibuat oleh Dr. James O’Donoghue. Ia menunjukkan secara ‘serentak’ pandangan apa yang kita lihat dari Bumi, berbanding jika kita di angkasa lepas dan melihat Bulan (tanpa mengambil kira Bumi).

Video ini jelas menunjukkan andai kata kita berada di angkasa lepas, dan hanya melihat ke arah Bulan, sepanjang 27.322 hari ia bergerak mengelilingi Bumi, kita akan dapati Bulan itu pun berputar di atas paksi, dan setiap bahagian permukaan Bulan mengalami siang dan malam.

Walau pun begitu, putaran Bulan amat perlahan berbanding putaran Bumi. Cuba lihat betul-betul animasi video ini.

Bayang-bayang kawah di permukaan Bulan

Satu lagi contoh yang boleh saya cuba terangkan bukti Bulan berputar di atas paksi ialah dengan kita meneropong keadaan permukan Bulan itu sendiri dari hari ke hari.

Sebagai contoh, apabila kita duduk di halaman rumah kita bermula waktu Subuh, ketika itu langit masih gelap. Selepas lebih kurang sejam selepas itu, barulah kita nampak jasad Matahari terbit di timur dan menerangi halaman rumah kita ini. Kemudian pada waktu Maghrib, Matahari hilang di barat, kawasan rumah kita tadi ini kembali gelap.

Sekarang cuba andaikan kita berdiri di dalam salah satu kawasan kawah di permukaan Bulan.

Saya guna gambar permukaan Bulan yang saya sendiri rakam pada 18 dan 19 Julai 2021 di bawah.

Foto dirakam pada 18 Julai 2021 (atas), dan 19 Julai 2021 (bawah). Sila rujuk pos FB saya di sini dan sini.

Andai kata ‘rumah kita’ berada di kedudukan kawah A atau B. Pada 18 Julai, sebahagian besar kawasan kawah ini masih berada di dalam kegelapan. Jika kita berada di sana, cahaya Matahari masih tak kelihatan. Namun, pada 19 Julai, ia sudah menjadi terang benderang dan dilimpahi cahaya Matahari. Maka, ketika itu kita berada waktu siang dan dapat lihat Matahari semakin tinggi di ufuk sana.

Jika kita berada di dalam kawasan kawah C pula, pada 18 Julai, kawasan kita berada dalam kegelapan dan langsung tak kena cahaya Matahari, namun situasi berbeza pada 19 Julai di mana bibit-bibit cahaya Matahari mula menerangi sebahagian kecil kawasan kita tu.

Dengan mengambil kira situasi di atas, jelas menunjukkan jika kita yang berada di atas permukaan Bulan di kawasan A,B dan C itu, kita dapat melihat Matahari terbit di ufuk timur Bulan secara perlahan-lahan.

Hilal.

Satu lagi contoh ialah ketika kita mencerap anak bulan atau hilal, ataupun ketika Bulan masih muda berumur sekitar 2,3 hari. Pada waktu itu, sebahagian besar permukaan Bulan yang menghadap ke arah Bumi (yang kita dapat lihat setiap hati tu), berada dalam kegelapan. Ini bermaksud, sesiapa yang berada di bahagian Bulan yang menghadap ke arah kita, sedang mengalami waktu malam. Sesiapa yang berada di bahagian belakang Bulan yang kita tak dapat lihat dari Bumi, sedang menghadap ke arah Matahari dan mengalami waktu siang.

Foto di atas menunjukkan kawasan ‘gelap’ Bulan itu sebenarnya ‘muka yang sama’ yang kita lihat setiap hari dan hanya kelihatan jika kita set kamera pada dedahan yang panjang. Ini merunjukkan di kawasan tersebut ia sedang mengalami waktu malam.

Bulan Purnama.

Sama kes ketika Bulan purnama, sesiapa yang berada di permukaan Bulan dan menghadap ke arah Bumi, mereka sedang mengalami waktu siang. Manakala sesiapa yang berada di bahagian belakang Bulan, yakni kawasan yang kita tak dapat tengok, sedang mengalami waktu malam.

Keseluruhan kawasan Bulan yang menghala ke Bumi sedang mengalami waktu siang.

Dark Side of the Moon.

Maka, dari penerangan di atas juga menunjukkan TIDAK WUJUD kawasan di Bulan yang dikenali sebagai ‘Dark Side of the Moon’. Ini adalah kerana hampir 99% kawasan Bulan akan mengalami siang dan malam setiap 27.322 hari. Hanya beberapa spot kecil di celah-celah kawah di kawasan kutub utara dan selatan Bulan sahaja yang ‘selama-lamanya’ terlindung daripada cahaya Matahari.

Istilah yang betul di sini ialah FAR SIDE OF THE MOON, merujuk kepada kawasan bahagian Bulan yang berada di belakang pandangan kita di Bumi.

Kesimpulannya, Bulan berputar di atas paksi setiap 27.322 hari, jauh lebih lambat berbanding 24 jam putara Bumi. Kesan atau bukti Bulan berputar boleh dilihat menerusi pemerhatian atau cerapan berterusan perubahan bayang-bayang di atas permukaan Bulan, terutama di kawasan kawah atau gunung.

Harap tak ada yang keliru lagi selepas ini.

Wallahua’lam.

0 0 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: