Komet gergasi 1000 kali ganda lebih masif daripada biasa telah ditemui

Berita Penemuan Terkini
Foto dari Dark Energy Survey (DES) menunjukkan Komet Bernardinelli-Bernstein yang dirakam menerusi kamera 570-megapixel Dark Energy Camera (DECam) yang dipasang pada Víctor M. Blanco 4-meter Telescope di Cerro Tololo Inter-American Observatory (CTIO) di Chile. Foto ini dirakam pada Oktober 2017, ketika komet ini berada 25 AU, atau 83% jarak ke planet Neptune. Kredit: Dark Energy Survey/DOE/FNAL/DECam/CTIO/NOIRLab/NSF/AURA/P. Bernardinelli & G. Bernstein (UPenn)/DESI Legacy Imaging Surveys, Acknowledgments: T.A. Rector (University of Alaska Anchorage/NSF’s NOIRLab), M. Zamani (NSF’s NOIRLab) & J. Miller (NSF’s NOIRLab)

Sebuah komet baru yang ditemui baru-baru ini merupakan sebuah komet gergasi yang mempunyai diameter di antara 100-200 km, menjadikan ia komet paling besar yang berjaya ditemui di zaman moden ini.

Komet Bernardinelli-Bernstein adalah 1000 kali lebih masif daripada komet-komet biasa. Orbit komet ini sungguh besar, hinggalah ia mengambil masa jutaan tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit.

Komet ini ditemui di dalam data-data cerapan yang dikumpulkan selama 6 tahun dari tahun 2014 hingga 2018, menerusi satu projek cerapan bernama Dark Energy Survey (DES). 

Suasana di dalam balaicerap DES. Wow!! Foto kredit Dark Energy Survey.

DES ditugaskan untuk membuat peta 300 juta buah galaksi di dalam satu kawasan seluas 5000 darjah persegi, bermula dari tahun 2013 hingga 2019. Kamera yang digunakan, Dark Energy Survey Camera (DECam) mempunyai saiz 570 megapiksel dan dipasang pada teleskop 4 meter Victor M. Blanco di Cerro Tololo INter-American Observatory (CTIO) di Chile.

Hasil pemerhatian DECam ini, ia telah mencerap banyak komet dan objek-objek trans-Neptunian (TNO) yang melintasi di dalam frame kamera ini. Pelajar sarjana, Pedro Bernardinelli dan ahli astronomi Gary Bernstein, dari University of Pennsylvania, telah menggunakan 15-20 juta “CPU hours” dari National Center for Supercomputing Application and Fermilab, dan telah menemui 800 buah objek TNO tadi, dan 32 daripadanya berasal daripada sebuah objek yang sama, iaitu Komet Bernardinelli-Bernstein atau nama rasminya C/2014 UN271.

Komet ialah sebuah objek berais yang beku dan dipercayai saki-baki kepada elemen-elemen yang membentuk sistem suria kita ini. Ia mengorbit Matahari pada kedudukan yang amat jauh hinggakan ia membeku dan tidak dapat dilihat dengan mudah daripada Bumi. Namun, ada ketikanya orbit komet-komet ini diganggu oleh sesuatu dan terpesong masuk ke dalam sistem suria menuju ke arah Matahari.

Pada ketika inilah ia mula mencair dan membentuk koma (gas yang mengembang besar daripada nukleusnya) dan ekor yang panjang.

Walaubagaimanapun, untuk sesebuah komet bertukar menjadi bentuk tersebut, ia hendaklah berada hampir dengan Matahari, iaitu lebih kurang pada orbit Musytari.

Komet Bernardinelli-Bernstein ini ditemui nun jauh di belakang orbit Neptune, menerusi data tahun 2014-2018 tadi dan tidak menunjukkan ciri-ciri sebuah komet yang sedang ‘mencair’. Namun, disebabkan ia berjaya dikesan pada jarak tersebut, maka ahli astronomi berpendapat ia adalah sangat besar dan luar biasa.

Lakaran artis menunjukkan Komet Bernardinelli-Bernstein di dalam orbitnya yang jauh daripada Matahari. Penemuan ini agak unik kerana ia merupakan komet yang terbesar pernah ditemui setakat ini selain mempunyai orbit yang amat jauh sehingga mengambil masa jutaan tahun untuk melengkapi satu pusingan! Kredit: NOIRLab/NSF/AURA/J. da Silva

Setelah diumumkan penemuan komet ini menerusi badan Minor Planet Center, ahli astronomi menggunakan teleskop rangkaian Las Cumbres Observatory dan merakam gambar terbaru komet tersebut dan mendapati ia sudah menghasilkan koma, menjadikan ia secara rasmi sebagai sebuah komet.

Jarak paling jauh Komet Bernardinelli-Bernstein daripada Matahari ialah sekitar 40,000 Astronomical Unit (AU). Ini bermaksud ia berada 40,000 kali ganda lebih jauh berbanding jarak Bumi ke Matahari.

Sebagai perbandingan lain, Pluto terletak pada jarak purata 39 AU sahaja.

Jarak ini menunjukkan Komet Bernardinelli-Bernstein berasal dari kawasan Awan Oort, sebuah kawasan dipercayai dipenuhi dengan komet-komet beku. Ia juga objek Awan Oort yang paling besar pernah ditemui setakat ini.

Ketika ini, Komet Bernardinelli-Bernstein berada pada jarak 20 AU (lebih kurang jarak ke planet Uranus) dan bersinar pada kecerahan magnitud 20.

Pada tahun 2031 ia akan berada pada titik paling hampir dengan Matahari (perihelion) pada jarak 11 AU (jarak ke planet Zuhal).

Jauh tu! Ini bermakna pada tahun 2031 nanti, ia masih terlalu jauh daripada Bumi untuk bersinar terang dan cerah di langit kita. Ia mungkin hanya dapat dilihat menerusi teleskop besar.

Walaupun begitu, ahli astronomi amat teruja kerana berpeluang menemui komet yang paling besar pernah dicerap, dan berjaya menemui komet ini cukup awal ketika ia masih jauh daripada Matahari, membolehkan kajian jangka panjang dapat dibuat dengan lebih terperinci.

Kita tunggu dan lihat berita seterusnya mengenai Komet Bernardinelli-Bernstein ini nanti.Komet gergasi 1000 kali ganda lebih masif dari biasa telah ditemui.

Rujukan

  1. Newly found mega comet may be the largest seen in recorded history
  2. Unusual Comet – 1000 Times More Massive Than Typical – Discovered in Outer Solar System by Dark Energy Survey

4 2 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments