Memandangan sekarang ini musim ‘Marikh’, dan seluruh komuniti peminat astronomi dunia sedang rancak melakukan cerapan, merakam astrofoto dan banyak lagi, maka artikel kali ini akan fokus kepada objek-objek samawi yang berada berhampiran dengan Marikh pula. Kita tukar channel bagi lain sikit! 😉
Marikh sangat terang ketika ini, dan sesiapa sahaja yang pandang ke arah timur pasti akan terserempak dengan kehadirannya yang kelihatan seperti sebutir ‘bintang merah yang terang’.
Ia berada di dalam kawasan buruj yang dikenali sebagai Scorpius, sebuah buruj besar dan dipenuhi dengan bintang-bintang terang. Di sini terletak begitu banyak khazanah-khazanah langit yang cukup menaarik untuk dicerap dan dikaji.
Kali ini, kita akan fokus kepada bintang merah yang sedang bersaing dengan Marikh, iaitu bintang Antares.
Seteru Marikh!
Antares terletak ke sebelah bawah dari kedudukan Marikh. Ia merupakan bintang yang paling cerah di dalam susunan bintang-bintang dalam buruj yang dikenali sebagai Scorpius.
Nama ‘Antares’ itu sendiri membawa maksud “Rival of Mars” iaitu dari kisah dongeng tamadun Greek. Di Rom, ia dikenali sebagai Cor Scorpionis yang membawa maksud Jantung Kala Jengking. Banyak lagi tamadun dunia yang telah memberi pelbagai jenis gelaran berdasarkan situasi dan kisah masyarakat masing-masing.
Kedudukan Antares di langit terletak dalam lingkungan 5 darjah sahaja daripada garisan ekliptik. Garisan ini merupakan tempat laluan matahari sepanjang tahun. Maka atas sebab ia begitu hampir dengan garisan ini, Antares sering dihijab (occultation) oleh Bulan. Jarang-jarang ia boleh dihijab oleh planet, tak mustahil tetapi ia boleh berlaku.
Pemerhatian secara kasar menerusi perisian SkySafari Pro 5 mendapati kali terakhir Bulan menghijab Antares dan telah dapat dilihat di Malaysia ialah pada tahun 2009. Saya kena periksa kembali nota-nota cerapan lama, mungkin ada mencerap ketika itu.
Kini pergerakan Bulan menjauhi sedikit daripada lokasi Antares dan penghijaban tidak akan berlaku, hinggalah pada tahun 2026 nanti!
Selain itu, pada 17 Nov tahun 2400, planet Zuhrah akan menghijab bintang ini! Menarik ni! Sila tulis dalam diari agar tidak ketinggalan. 🙂
Antares ialah sebuah bintang super-gergasi merah. Saiznya menjangkau 400 kali ganda lebih besar daripada matahari, tetapi suhu permukaannya tidaklah sepanas matahari. Ia ‘hanya’ berada pada tahap sekitar 3500 darjah Celsius sahaja.
Bintang-bintang seperti Antares ini tidaklah stabil. Sinar cahayanya akan berubah-ubah pada kadar tertentu, atau dalam kes Antares ini, tidak menentu. Ia pernah direkod bersinar pada magnitud 0.86 dan pernah juga serendah magnitud 1.06
Kena ingat, dalam skala magnitud, lebih kecil nombor itu lebih terang sesuatu objek. Dan jika ia bersinar dalam lingkungan 0 dan 1 ini, ia masih lagi objek yang terang! Jangan salah anggap pulak!
Seperkara lagi mengenai Antares ini ialah terasnya berpotensi menjadi besi (apabila ia sudah kehabisan bahan-bahan lain untuk ditukar menjadi tenaga). Jika kita belajar mengenai hayat sesebuah bintang, apabila terasnya berubah menjadi besi, maka ia akan meletup dan menjadi sebuah supernova!
Kembar
Antares bukan keseorangan, ia mempunyai pasangan bintang kembar. Bintang kembarnya tidaklah secerah ‘kakaknya’ dan bersinar hanya pada 1/370 kecerahan Antares, pada skala magnitud 5.5
Berdasarkan pengalaman, magnitud 5.5 ini pun agak cerah dan mudah dilihat dengan mata kasar dari langit yang gelap, tetapi disebabkan bintang kembar ini (dikenali sebagai alpha Sco B, manakala yang terangnya dikenali sebagai alpha Sco A) terlampau hampir dengan Antares, maka ia agak mencabar dan susah untuk dilihat dengan teleskop kecil, disebabkan silau cahaya Antares yang agak terang.
Namun jika kita berpeluang melihatnya, pasti menarik kerana warnanya seperti warna zamrud dan sungguh contrast berbanding dengan warna Antares yang merah-jingga itu.
Artikel seterusnya, kita akan menerokai bintang-bintang di sebelah atas Marikh pula, yang turut dikenali sebagai the Scopion’s Claw!