Planet Marikh kembali bro!

Fenomena Himpunan Samawi
Mars 20 May 2016
Rakaman foto Marikh yang dirakam pada 20 Mei 2016 dari Sri Damansara, Malaysia. @shahgazer. Sumber

Planet Marikh akhirnya sudah kembali mendekati Bumi!

Planet merah ini mempunyai reputasi sebagai salah satu objek yang ‘sungguh mengecewakan’ apabila diteropong menerusi teleskop.

Ini semuanya disebabkan saiznya yang kecil (separuh sahaja daripada saiz Bumi), dan digabungkan dengan faktor apabila ia berada jauh dari Bumi, ia akan kelihatan amat kecil dan tidak menarik langsung.

Kecik gedemik!

Namun begitu, setiap lebih kurang 2 tahun 2 bulan, Bumi akan ‘melintasi’ Marikh dan kedua-duanya akan berada pada jarak yang paling hampir. Kedudukan ini dikenali sebagai opposisi atau istiqbal. Pada saat ini, Matahari, Bumi dan Marikh berada pada satu garisan lurus. Marikh akan berada bersetentang dengan Matahari, iaitu apabila matahari terbenam, planet ini akan terbit.

Screen Shot 2016-05-20 at 12.00.02 PM
Rajah di atas menunjukkan kedudukan Marikh di dalam orbitnya pada ketika ini. Simulasi oleh Sky Safari Pro 5

 

Ketika ini, kita berpeluang melihat beberapa rupa bentuk permukaan yang jarang-jarang dapat dilihat daripada Bumi.

Malangnya, Marikh mempunyai bentuk orbit yang sungguh eliptikal (tidak bulat), yang mana ada ketikanya ia berada pada titik paling hampir dengan matahari (perihelion) dan ada ketika ia berada paling jauh (aphelion).

Maka, disebabkan kombinasi kedua-dua di atas, tidak semua oposisi akan menjadikannya ‘perfect’ dan dekat.

Menurut perkiraan falak, Marikh dan Bumi akan kembali ke titik oposisi ‘sempurna’ setiap 16 tahun sekali. Alhamdulillah, pada tahun 2016 ini, kita berada pada ‘graf menaik’, iaitu untuk setiap kali opsisi (ulangan 2 tahun 2 bulan) selepas ini, jarak Marikh dan Bumi akan semakin hampir.

mars-oppositions-2012-2027
Rajah di atas menunjukkan perbezaan jarak Marikh dengan Bumi bagi setiap kali posisi istiqbalnya dari tahun 2012 hingga 2027. Sumber.

Marikh akan berada pada titik oposisi pada 22 Mei 2016. Pada saat itu, ia akan bersinar pada kadar magnitud yang maksimum, iaitu –2.1 (jauh lebih cerah daripada bintang Sirius!). Daripada segi saiznya, ia akan berada lebih besar daripada 14 arc-saat untuk sepanjang tempoh 17 April hingga 21 Julai.

Nak senang cerita, saiz 14 arc-saat ini memang ‘cukup besar’ dan selesa untuk kita melihat Marikh serta beberapa ciri rupa bentuk permukaannya yang unik.

Menurut kiraan falak lagi, didapati Marikh hanya akan berada paling hampir dengan Bumi, 8 hari SELEPAS ia berada di titik oposisi, iaitu pada 30 Mei 2016. Pada saat itu, saiznya akan mencecah 18 arc-saat.


Apa yang dapat dilihat?

Menerusi teleskop berkuasa agak tinggi, kita akan dapat melihat 2 ciri permukaan yang mudah untuk dikesan.

  1. Lapisan ais di kutub-kutubnya
  2. Perbezaan nada warna permukaan.

Disebabkan Marikh juga senget pada paksi putarannya, ia akan turut mengalami 4 musim seperti (tapi tak sama) Bumi. Ia juga mempunyai ais-ais yang terdiri daripada gas Karbon Dioksida yang beku di kedua-dua kutubnya,

Kali ini, sudut pandangan kita di Bumi dengan Marikh ialah hampir dengan garisan khatulistiwanya, dengan kutub Utara sedikit menghala ke Bumi, manakala kutub Selatannya menghala menjauhi Bumi.

Musim di hemisfera utara Marikh sekarang ialah menuju ke musim ‘panas’. Maka, ais di kutub utaranya semakin mengecil. Berlawanan pula keadaannya di kutub selatan, yang mana ia sedang menghampiri puncak musim sejuk. Maka, kita mungkin dapat lihat sedikit limpahan ais beku di bahagian kutub selatannya.

Menerusi teleskop berkuasa tinggi, kita akan dapat lihat kutub-kutub ini berwarna putih.

Ciri yang kedua yang boleh kita lihat ialah perbezaan tone atau nada warna permukaannya. Marikh bukan sekadar berwarna merah, tetapi permukaannya juga mempunyai variasi warna, ada yang gelap berbanding kawasan lain.

Menerusi teleskop ia akan kelihatan seperti tompokan-tompokan hitam. Ia boleh dikatakan sama rupanya seperti ‘daratan benua’ yang ada di Bumi. Kita akan melihat kawasan hitam ini berubah-ubah kedudukan akibat putaran Marikh di atas paksinya.

Foto di atas dirakam oleh astrophotographer tersohor Australia, Anthony Wesley. Percaya atau tidak, ia dirakam dari Bumi! Cuba lihat kehadiran tompokan hitam dan tompok putih kutub. Apa yang menakjubkan lagi ialah beliau dapat rakam ‘awan’ yang sedang meliputi kawasan kutub-kutub tu!

Terbaik bang!


Lokasi Marikh di langit

Di mana Marikh sekarang?

Ketika ini, ia akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang merah’ yang amat cerah di langit sebelah Timur, sebaik sahaja selepas waktu Maghrib. Menjelang Isya’ ia akan semakin meninggi dan lebih menyerlah. Pada tengah malam ia berada tegak di atas kepala. Sementara menjelang Subuh ia akan mula terbenam di ufuk barat.

Ia juga berada di dalam kawasan buruj Scorpio, yang mana kebetulan pula di dalam buruj ini, ada juga sebuah lagi bintang merah yang terang, bernama Antares.

Screen Shot 2016-05-20 at 11.53.48 AM
Langit arah timur, 1 jam selepas Isya’ esok 21 Mei 2016. Simulasi Sky Safari Pro 5

Peta di atas menunjukkan keadaan langit Malaysia di sekitar Marikh pada malam esok, 21 Mei 2016. lebih kurang 1 jam selepas Isya’. Bulan purnama kebetulan berada berhampiran Marikh.

Menurut sejarah, bintang Antares ini sering disamakan dengan Marikh kerana warnanya yang sama..iaitu kemerahan. Dalam mitos Greek, nama Antares bermaksud “Rival of Mars”.

Malangnya, kecerahan Antares (yang berada di sebelah bawah dari Marikh) tidak mampu menandingi kecerahan Marikh sekarang ini.

Berdasarkan skala magnitud, Marikh kini bersinar pada magnitud –2.0 (iaitu hampir sama terang dengan Musytari, yang pada waktu yang sama berada tegak atas kepala)

Berhampiran dengan Marikh juga, ada planet Zuhal. Ia sedikit kelam.


Astrofoto Marikh, Zuhal dan Scorpio

Lebih kurang 2 minggu lepas, saya baru pulang dari Australia dan Alhamdulillah diberi peluang merakam foto planet Marikh, Zuhal beserta dengan ribuan bintang-bintang yang ada di dalam buruj Scorpio dan juga Bima Sakti yang ada berdekatan.

aussie2016-Scorpius-50mm-11X30s-iso3200
Buruj Scorpio bersama-sama dengan Marikh dan Zuhal dari lokasi Australia baru-baru ini. Shahrin Ahmad. Sumber.

Foto di atas jelas menunjukkan betapa cerahnya Marikh sekarang, berbanding objek-objek lain di sekitarnya.

Alhamdulillah foto ini mendapat perhatian laman web Spaceweather.com dan telah dipaparkan di muka hadapan laman web tersebut. 🙂

Posisi Marikh (dan juga Zuhal) akan berubah-ubah dari hari ke hari. Adalah amat menarik jika anda dapat merakamnya secara konsisten untuk sebulan dua ini, untuk dapat lihat sendiri bagaimana planet-planet bergerak di sebalik ribuan bintang dilangit.

aussie2016-Scorpius-50mm-11X30s-iso3200

Foto di atas telah ditanda pada objek-objek yang dinyatakan tadi.

Ada astrofoto Marikh yang hendak dikongsi? Jom kongsikan menerusi Page FB FalakOnline, twitter FalakOnline dan jika anda kaki Instagram, jangan lupa letakkan hashtag #falakonline . InsyaAllah mana-mana yang menarik, saya akan kongsikan dalam artikel akan datang.

Ayuh jangan lepaskan peluang! Jarang-jarang dapat tengok Marikh sejelas macam ni!

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments