Pada awal Subuh, 26 Februari 2014 nanti, sekali lagi Bulan akan berada berhampiran dengan planet Zuhrah.
Kedua-duanya akan kelihatan indah bersinar di sebelah langit timur. Kebetulan pula Bulan merupakan objek semula jadi yang kedua dan Zuhrah yang ketiga tercerah di langit (selepas matahari).
Masih ingatkan fenomena yang hampir serupa bulan lepas? Pada 29 Jan lalu, kedua-dua objek ini dipisahkan sejauh 3 darjah antara satu sama lain.

Pada kali ini, ( ketika Subuh ), ia juga dipisah sejauh 3 darjah antara keduanya.
Namun, sesuatu yang istimewa akan berlaku selepas itu!
Pada sekitar jam 2.45 petang, Bulan akan bergerak amat hampir dengan Zuhrah, iaitu lebih kurang 0.3 darjah sahaja! Walaupun ia berlaku pada waktu siang, kedudukan kedua-dua objek ini yang begitu hampir sekali, membolehkan kita mencari planet Zuhrah pada waktu siang, berpandukan Bulan.
Menarik lagi ialah, jika anda menggunakan teleskop, anda akan dapat lihat 2 jasad angkasa berbentuk sabit berada sebelah-menyebelah!

Namun, saya berpendapat, untuk mencari bulan di waktu tengahari pun agak mencabar. Anda perlu berlindung daripada cahaya terik matahari, disebalik bangunan atau pokok, dan mengharapkan langit bersih dari awan atau jerebu.
Semakin ke utara anda berada di Malaysia, semakin hampir jarak kedua-duanya. Malah, menurut pemerhatian saya menerusi perisian Sky Safari, dari lokasi Padang Besar, Perlis, menunjukkan separuh daripada bentuk Zuhrah akan dilindungi oleh jasad Bulan.

Fenomena ini akan berlaku pada petang dari Rabu. Ini mungkin juga boleh digunakan sebagai aktivit kelab-kelab Astronomi di sekolah-sekolah. Di bawah pengawasan guru yang bertauliah, saya yakin ini fenomena siang hari ini boleh dijadikan pemangkin minat para pelajar sekolah.
Tapi ingat, jangan sekali-kali pandang ke arah matahari! Lebih bahaya lagi, jangan halakan teleskop ke arah matahari, kerana ia boleh menyebabkan mata menjadi buta!
Selamat mencuba.
boleh tak nak panggil shahrin ahmad ni datang ke sekolah saya bagi ceramah? :v