Meteor Delta Aquarids mengiringi AidilFitri

Fenomena
Contoh sebuah meteor yang berjaya dirakam. Kredit Stefano De Rosa
Contoh sebuah meteor yang berjaya dirakam. Kredit Stefano De Rosa

Meramal sejauh mana ‘gah-nya’ juraian meteor merupakan satu kerja yang cukup sulit. Ini adalah kerana adalah hampir mustahil untuk kita ‘tahu’ jumlah debu yang bakal jatuh dan merempuh atmosfera kita, kerana ia terlalu kecil (tahap mikroskopik) dan tidak akan kelihatan langsung SEBELUM ia terbakar dan menyala di langit kita.

Namun, mencerap juraian meteor sudah menjadi satu aktiviti yang menarik perhatian masyarakat am di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Baru-baru ini, saya ada menerima beberapa pertanyaan berkenaan juraian meteor yang dijangka akan muncul sekitar tarikh Aidilfitri nanti.

Jika ada diantara anda yang merujuk kepada Almanak Astronomi 2014, dan menaip “Jul” (yang bermaksud Julai) di dalam ruangan “Search”, anda akan mendapati pada tarikh 28-29 Julai nanti, sebuah juraian meteor bernama “Delta Aquarids” akan muncul pada kadar 20 meteor sejam.

Jadi, persoalannya adakah meteor Delta Aquarids ini cantik dan boleh dilihat dengan mudah?

Berdasarkan kiraan falak dan pemerhatian menerusi perisian simulasi astronomi yang sedia ada (seperti Stellarium), kita akan dapati pada tarikh 28-29 Julai tersebut, Bulan masih lagi kecil dan hanya kelihatan di langit senja.

screen 2014-07-24 at 12.22.02 AM
Kedudukan Bulan yang rendah dan masih kecil pada tarikh antara 28-30 Julai, membolehkan kita mencerap meteor dengan lebih selesa. Simulasi SkySafari

Waktu terbaik untuk melihat meteor ini ialah selepas tengah malam sehinggalah Subuh.

Oleh itu, kita boleh katakan, ini merupakan berita baik kerana langit akan gelap dan tiada cahaya bulan yang akan mengganggu!

Baiklah, jika kita lihat kadar kemunculan meteor ini, dikatakan sekitar 20 meteor sejam. Saya telah merujuk ke laman web rasmi pencerap meteor, International Meteor Organization (IMO), yang mana menyatakan bahawa kadar lebih rendah ialah (Zenithal Hourly Rate) ZHR=16, yang membawa maksud 16 meteor sejam.

Ini boleh memberi makna, secara PURATA-nya, sebuah meteor akan muncul bagi setiap 3.75 minit.

TETAPI kita kena faham, kadar ZHR=16 ini merujuk kepada kondisi yang sempura, iaitu

  1. Ketika titik kemunculan meteor (dipanggil radiant)  di langit itu berada TEPAT di ATAS KEPALA
  2. Langit gelap gelita, tanpa gangguan cahaya langsung, dan tiada awan.

Kiraan saya menggunakan perisian Skysafari Pro 4, menunjukkan kedudukan titik radiant tersebut seperti berikut:

screen 2014-07-23 at 11.58.29 PM

Titik radiantnya berada pada ketinggian 70 darjah, kurang sedikit daripada titik 90 darjah (atas kepala). Ini bermakna jumlah 16 meteor sejam itu akan berkurangan lebih kurang 22%, iaitu lebih kurang 12 meteor sejam.

Selain itu, faktor lain seperti keadaan cuaca, suasana persekitaran, gangguan cahaya, semuanya akan menjadi penghalang untuk kita melihat juraian meteor dengan jelas, seterusnya MENGURANGKAN lagi jumlah meteor yang akan kelihatan.

Okay-lah, saya bukanlah hendak de-motivate anda semua, tetapi saya kena berhati-hati di dalam memaklumkan fenomena ini kepada orang awam, agar jangan ada yang terkeliru dan mengharapkan sesuatu keajaiban.

Pengajaran kemunculan Meteor Camelopardalids baru-baru ini (yang mana habis satu dunia, termasuk Malaysia kecoh mahu melihatnya dan akhirnya kecewa kerana ia tidak muncul banyak) seharusnya mengajar kita di dalam mewar-warkan berita yang betul dan tepat, walaupun mungkin bunyi beritanya tidak se-glamour yang diharapkan.

Walau apa pun, disebabkan tarikh muncul meteor Delta Aquarids ini tepat dengan tarikh cuti sempena AidilFitri, saya yakin ramai yang berada kampung akan cuba mengambil peluang untuk melihat dan merakamnya.

Bagaimana untuk melihat meteor ini? Bolehlah rujuk artikel-artikel berkaitan meteor di Falak Online ini. Walaupun jenis meteornya berlainan, tetapi caranya tetap sama dan universal.

Secara amnya:

  1. Cari tempat gelap, jauh dari gangguan cahaya.
  2. Baring dan pandang ke langit (fokus kepada kawasan langit yang paling gelap)
  3. Mulalah cerapan selepas tengah malam hinggalah ke Subuh.
  4. Bawalah kopi panas sebagai bekal. Kalau tidak, confirm akan terlelap!

Apa yang pasti, jangan terkeliru dengan ‘meteor buatan manusia’ pulak nanti!

IMG_20140722_215229
Ini meteor buatan manusia, tak aci! 😉

🙂

Selamat mencuba!

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments