Bulan Disember kembali menjelma, dan sebagaimana setiap tahun, ia merupakan bulan untuk beristirehat bersama keluarga, main banjir dan siap sedia untuk tahun baru.
Namun, dalam dunia astronomi, masih ada lagi satu major phenomena yang akan berlaku, iaitu juraian Meteor Geminids.
Apakah sebenarnya Meteor Geminids?
Meteor Geminids merupakan juraian meteor-meteor yang banyak, yang mana ia akan muncul dari kawasan buruj Gemini. Itulah sebabnya nama juraian meteor ini dipanggil Geminids.
Meteor-meteor ini akan kelihatan muncul di seluruh langit sekitar tarikh 13 dan 14 Disember nanti.
Bila waktu puncak meteor Geminids tahun ini akan berlaku?
Menurut laporan daripada International Meteor Organization (IMO), untuk tahun 2014 ini, meteor Geminida akan mula muncul bermula dari tarikh 4 hingga 17 Disember. Ini bermakna jumlah meteor-meteor ini akan semakin bertambah dari hari ke hari bermula 4 Disember hinggalah 17 Disember nanti, yang mana jumlahnya akan kembali menurun dan akhirnya hilang.
Seperkara yang menarik daripada laporan IMO tadi ialah…
Active: December 4—17; Maximum: December 14, 12h00m UT (λ⊙ = 262.2°); ZHR = 120;
.. waktu ia dijangka MEMUNCAK ialah pada 14 Disember 12:00 UT, iaitu bersamaan dengan 14 Disember 8 MALAM waktu Malaysia!
Malangnya ketika itu, buruj Gemini masih belum terbit dan tidak kelihatan di langit. Oleh itu berdasarkan congakan saya, waktu yang PALING BAIK (walaupun tak perfect) bagi kita di Malaysia ialah:
Bermula MENJELANG TENGAH MALAM 14 Disember, hinggalah MASUK SUBUH 15 Disember.
.. kerana kalau kita ikut julat waktu itu, ia lebih hampir dengan waktu PUNCAKNYA (iaitu berbeza 4 jam sahaja), berbanding kalau kita cuba mencerapnya pada sekitar Subuh 14 Disember (yang mana beza waktu dengan waktu puncaknya menjangkau lebih 12 jam!).
Walaupun begitu, saya masih galakkan anda untuk cuba di kedua-dua tarikh 13-14 Disember dan 14-15 Disember ini untuk melihat juraian meteor ini.
Berapakah jumlah meteor Geminids yang akan kelihatan?
Merujuk kembali kepada laporan IMO, juraian meteor Geminids ini dijangka mencapai kadar 120 meteor sejam. Ini bermakna kita akan dapat lihat 120 meteor dalam waktu sejam!
TETAPI…
Kita kena ingat, jumlah 120 itu adalah dalam keadaan langit yang SEMPURNA, tiada awan, tiada gangguan cahaya, dan buruj Gemini tepat berada atas kepala! Disebabkan adalah hampir mustahil untuk mencapai keadaan sebegitu, adalah lebih selamat untuk menyatakan jumlah meteor Geminids adalah dalam sekitar 50 meteor sejam (masih lagi banyak tu!)
Di antara faktor-faktor lain yang akan mengurangkan jumlah tersebut. Di antaranya ialah:
1. Beza waktu puncak tadi dengan waktu malam kita di Malaysia. Ini bakal menjadikan jumlahnya berkurangan.
2. Bulan ketika itu dalam fasa SUKUAN AKHIR (Last Quarter). Maknanya, Bulan akan berada di langit dari tengah malam hinggalah ke subuh. Cahaya dari Bulan ini AKAN mengganggu penglihatan meteor-meteor yang kurang terang.
Namun, jangan jadikan faktor ini mengurangkan semangat anda untuk melihat meteor Geminids. Ini adalah kerana juraian ini selalunya menghasilkan lintasan meteor yang terang dan besar.
Sila rujuk juga graf kemunculan Geminids berdasarkan laporan seluruh dunia, di SINI.
Rujukan lain berkenaan meteor Geminids?
Meteor Geminids ini (dan juga juraian meteor lain) merupakan fenomena tahunan yang berulang-ulang. Maka secara amnya, cara untuk mencerapnya adalah sama kesemuanya.
Sila rujuk semua ARTIKEL FO MENGENAI METEOR di sini.
Selamat Mencerap!