Misi DAWN di Ceres semakin hangat

Berita Misi Angkasa

Sementara MESSENGER telah ditamatkan riwayat dengan cara yang agak ‘ekstrem’, misi sebuah lagi peninjau angkasa, Dawn, baru sahaja memulakan rentak tari silatnya, di planet kerdil Ceres.

Foto terbaru daripada Dawn menunjukkan sebuah dunia ‘baru’ yang begitu kompleks dan penuh misteri.

dawn_ceres_apr262015.jpg.CROP.original-original
Foto oleh NASA/JPL-Caltech/UCLA/MPS/DLR/IDA/PSI

Ia merupakan gabungan (mosaic) beberapa foto yang dirakam pada 24-26 April 2015.

Berdasarkan laporan Phil Blait, DAWN kini berada di dalam orbit sejauh 13,500 km dari permukaan Ceres, dan satu pusingan orbitnya mengambil masa selama 2 minggu.

Saya masih tertunggu-tunggu apakah sebenarnya 2 titik terang yang kelihatan di permukaan Ceres, yang dirakam sebelum ini. Sehingga hari ini, masih belum ada jawapan konklusif mengenainya, mungkin disebabkan jarak peninjau DAWN ini masih terlalu jauh. Nampak gayanya kita terpaksalah menunggu sehingga peninjau ini memasuki orbit yang lebih hampir dengan Ceres dalam masa terdekat ini.

20150225_PIA19185_20150219
2 titik misteri Ceres, yang dirakam pada 19 Feb 2015 lepas. Kredit NASA / JPL / UCLA / MPS / DLR / IDA

Ketika Dawn sedang memasuki orbit yang diterangkan di atas, ia telah menghasilkan sebuah animasi menarik (foto bawah) menunjukkan putaran Ceres di atas paksinya, Ketika itu, jarak Dawn masih jauh, iaitu 33,000 km.

20150501_PIA19064
Animasi putaran planet kerdil Ceres, pada jarak 22,000 km, yang dirakam pada 14-15 April 2015 lepas. Kredit NASA / JPL / UCLA / MPS / DLR / IDA

Ketika ini, Dawn sedang memasuki orbit yang digelar RC3. Berdasarkan jadual perjalanan orbit Dawn, ia akan berada dalam kedudukan orbit ini sehingga 9 Mei 2015, yang mana selepas itu ia akan bergerak lebih hampir pada jarak 4400km dari permukaan Ceres.

Saya berada optimis apabila ia semakin hampir dengan Ceres, misteri 2 titik putih di permukaan planet kerdil ini akan terbongkar.

Sebenarnya, titik putih ini tidaklah seterang yang dilihat seperti dalam foto. Ceres ini sebenarnya agak ‘gelap’. Ia hanya membalikkan 9% cahaya matahari yang diterimanya!

Marc Rayman menerangkan dalam tulisannya, misi Dawn ini fokus kepada penerokaan. Ia bukanlah seperti misi-misi peninjau lain yang hanya akan melintasi target masing-masing (contoh yang terbaru ialah New Horizon di Pluto). Dawn akan berada lama di dalam orbit dan berpeluang mengkaji sepuas-puasnya planet kerdil ini, yang mana sebelum ini kita hanya mampu melihatnya dari jauh sejak penemuannya pada tahun 1801!

Jika anda tidak sabar-sabar mahu menunggu artikel FO mengenai Dawn, bolehlah ke laman web utama misi ini dan pergi ke ruangan Images untuk mendapatkan foto terkini dari peninjau angkasa cilik ini!

Anda juga boleh ikuti @NASA_Dawn, iaitu twitter rasmi misi tersebut, disamping ulasan berbahasa melayu menerusi twitter @FalakOnline dan juga twitter peribadi saya @shahgazer

Ayuh Dawn, jangan kecewakan kami!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments