Siapa sangka masih ada data ‘terakhir’ dari Rosetta!
Pasukan yang mengawal kamera bernama OSIRIS di atas prob angkasa Rosetta ini telah mendapati data-data yang terputus separuh jalan ketika saat-saat akhir Rosetta menerjah ke permukaan Komet 67P/Churyumov-Gerasimenko masih boleh disusun dan menghasilkan imej yang cukup baik.
Foto di atas dirakam apabila prob ini berada hanya 20 meter di atas permukaan, dengan kelebaran medan pandangan sepanjang 1 meter.
Walaupun agak kabur, ia masih dapat menunjukkan ciri-ciri permukaan komet ini yang agak berbatu-bata.
Kisah bagaimana imej ini berjaya ‘dikesan’ menarik perhatian saya.
Pada 30 Sep 2016 lepas, apabila Rosetta perlahan-lahan ‘dihempaskan’ dengan kelajuan yang agak perlahan iaitu 3.2km/jam, prob ini terus menerus merakam gambar dan memancarkan ia kembali ke pusat kawalan di Bumi.
Wow! #Rosetta imaging team reconstructed a final image of @ESA_Rosetta's landing site! (image=1x1m) Full story: https://t.co/J6M1jSd6mA pic.twitter.com/8trGsCZW43
— ESA Science (@esascience) September 28, 2017
Menurut Holger Sierks, penyiasat utama bagi pasukan yang mengawal kamera OSIRIS di Max Planck Institute for Solar System Research di Göttingen, Jerman, ketika pasukannya meneliti paket-paket data telemetri di dalam server, mereka mendapati data-data terakhir masih mempunyai maklumat yang berguna dan boleh dibina menjadi imej yang agak baik.
Cara data-data dari Rosetta ini dihantar ke Bumi ialah dengan bentuk paket-paket kecil, Dalam kes imej terakhir yang dihantar, ia dipecahkan kepada 6 paket, dengan saiz keseluruhan 23048 byte.
Ketika Rosseta sedang memancarkan imej terakhir ini, ia tidak lengkap dan hanya 12228 byte data sahaja, yang berjaya dimuat turun sebelum pusat kawalan terputus hubungan dengannya.
Selalunya, imej-imej yang dihantar ini akan dikenalpasti oleh perisian pemprosesan imej secara automatik. Namun, disebabkan data itu tadi tak habis di muat turun, perisian itu tadi tidak menganggapnya sebagai sebuah ‘gambar’.
Itulah sebabnya, hampir setahun data terakhir ini terceruk disimpan dalam server tanpa diproses hinggalah sekarang.
Satu lagi faktor ‘nasib baik’ ialah perisian di dalam Rosetta itu tadi tidak menghantar imej itu dari dalam bentuk piksel, tetapi ia menghantar dalam bentuk layer atau lapisan demi lapisan. Maknanya, dengan setiap penambahan lapisan, imej itu akan menjadi terang.
Oleh itu, disebabkan hanya 53% data sahaja yang diterima, nilai nisbah compression menjadi hanya 1:38 daripada yang sepatutnya iaitu 1:20.
Kesannya, ada beberapa bahagian imej yang kabur.
Bagaimanapun pada jarak sekitar 15 meter, fokus kamera itu tadi berada pada titik sempurna atau sweet spot dan dapat mendapat imej yang paling jelas.
Dari kisah ini saya boleh katakan betapa pentingnya data-data yang dirakam terdahulu, disimpan dengan cermat dan jangan dibuang. Ini adalah kerana kita tidak tahu mungkin suatu hari ini ada pengkaji lain atau metod baru yang digunakan, akan dapat ‘mengorek’ maklumat baru yang tidak disangka-sangka!
Rujukan: