Previu Fenomena Astronomi 2018

Fenomena

2018 akan menjelma dan kita bakal menyaksikan deretan fenomena astronomi yang unik dan menarik sepanjang tahun hadapan. Beberapa bulan yang lepas, saya telah siapkan Almanak Astronomi 2018, dan beberapa hari lepas telah lengkap memuat naik kesemua fenomena  AA2018 itu ke dalam format Google Calendar.

Menerusi senarai yang mengandungi lebih daripada 200 buah fenomena langit, saya rasakan pasti ada di antaranya yang menarik perhatian anda. Bagi mempermudahkan lagi, di sini saya menyediakan satu ringkasan terhadap beberapa fenomena tumpuan sepanjang tahun 2018 ini nanti.


Gerhana Bulan Penuh.

Foto gerhana bulan penuh yang dirakam oleh penulis pada tahun 2011

Sekali lagi kita di Malaysia bakal menyaksikan 2 kali gerhana bulan penuh yang akan berlaku pada awal malam, 31 Januari dan pada lewat tengah malam pada 28 Julai. Kali terakhir kita dapat menyaksikan gerhana bulan penuh ialah pada tahun 2015 dahulu.

Bagi kejadian 31 Januari nanti, ia akan mula berlaku selepas waktu Maghrib hinggalah menjelang tengah malam. Waktu kejadiannya agak selesa untuk kita melihatnya, serta menunaikan ibadah solat sunat gerhana di masjid-masjid.

31 Januari ★★ Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana bermula dari 7:48 malam hingga 11:11 malam. Fasa Gerhana Penuh bermula dari 8:51 malam. Kemuncak gerhana pada jam 9:29 malam dan tamat pada jam 10.07 malam. Boleh dilihat dari seluruh Malaysia.

Kemuncaknya akan berlaku pada jam 9.29 malam (waktu yang sama untuk seluruh Malaysia), dan ketika itu Bulan berada pada kedudukan yang tidak begitu tinggi dan agak menarik untuk dirakam bersama-sama dengan landskap yang cantik dan unik.

Selain itu, planet kerdil Ceres dan sebuah kluster bernama Beehive turut berada berdekatan dengan Bulan dan boleh dimuatkan di dalam satu frame gambar lens 50mm yang sama. (Maklumat lanjut menyusul).

6 bulan kemudian, pada 28 Julai 2018, sekali lagi Bulan akan masuk ke dalam bayang-bayang Bumi. Kali ini ia berlaku pada lewat tengah malam hinggalah ke waktu Subuh. Ini agak mencabar kerana ia berlaku pada waktu puncak ketika semua tengah tidur nyenyak! Namun yang menariknya kali ini ialah kehadiran planet Marikh yang terang benderang dan merah menyala, betul-betul di sebelah Bulan. Kebetulan pula Marikh baru sahaja berada di posisi istiqbal atau bersetentang (oposisi) dengan matahari.

28 Julai ★★Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana bermula dari 2:24 pagi malam hingga 6:19 pagi. Fasa Gerhana Penuh bermula dari 3:30 pagi hingga 5:13 pagi malam. Kemuncak gerhana pada jam 4:21 pagi. Boleh dilihat dari seluruh Malaysia.

Oposisi planet Marikh

Setelah lebih 2 tahun berada jauh daripada Bumi, kini planet Marikh kembali dekat. Ia akan kelihatan terang dan agak besar apabila dilihat menerusi teleskop. Susunan geometri pergerakan Bumi dan Marikh di dalam orbit masing-masing menyebabkan setiap 2 tahun 2 bulan, Bumi akan kembali ‘mengejar’ Marikh dan memberi peluang kepada kita melihat suasananya dari jarak yang agak dekat.

27 Julai ★★Oposisi Marikh pada jam 10.28 pagi. [i]

Oposisi Marikh akan berlaku pada 27 Julai 2018 pada jam 10:28 pagi. Jangan pula ‘terkecewa’ dengan waktu itu. Ia tetap akan kelihatan sama, yakni dekat dan terang pada malam sebelum dan selepasnya. Malah, dalam jangka waktu 2 minggu sebelum dan selepas tarikh itu pun, Marikh tetap cantik untuk dicerap.

Kali ini, Marikh akan berada di dalam buruj Capricornus, iaitu bersebelah dengan buruj Sagittarius, sedikit jauh daripada kawasan lingkaran Bima Sakti.


Oposisi planet-planet lain (dan juga asteroid!)

Koleksi foto planet-planet tercerah di langit. Waktu oposisi adalah waktu terbaik untuk mencerap planet-planet seperti Marikh. Foto oleh shahgazer

 

Jangan lupa juga dengan 2 buah planet gergasi, Musytari dan Zuhal. Kedua-dua planet ini bergerak lebih perlahan daripada Marikh, dan Bumi ‘sempat’ mengejarnya setiap tahun. Bagi tahun 2018 ini nanti, oposisi Musytari akan berlaku pada 9 Mei 2018, manakala Zuhal pada 27 Jun 2018.

9 Mei ★ Oposisi Musytari pada jam 8:41 pagi. [i]
27 Jun ★Oposisi Zuhal pada jam 9:29 malam. [i]

Selain daripada planet-planet gergasi tersebut, bagi anda yang berminat menjejaki asteroid dan planet kerdil, boleh cuba menjejaki 2 buah objek tersebut.

Ceres, planet kerdil yang paling hampir dengan Bumi, akan berada bersetentang dengan Bumi pada 31 Januari, tarikh yang sama ketika berlakunya gerhana bulan penuh!

31 Januari- Oposisi planet kerdil Ceres pada jam 11:04 pagi. [i]

Ia akan berada lebih kurang 13 darjah ke kiri Bulan. Ia bersinar pada magnitud 6.9, tidak boleh dilihat dengan mata kasar, namun boleh dilihat dengan jelas menerusi teleskop ataupun binokular. Jika anda mempunyai kamera ia lagi mudah dapat dirakam.

Pada 20 Jun pula, asteroid Vesta pula berada pada kedudukan oposisi. Ia akan bersinar lebih terang, iaitu magnitud 5.3, yang mana secara teorinya boleh dilihat sebagai bintang yang kelam menerusi langit yang gelap. Saya galakkan untuk cuba mencarinya menerusi binokulars ataupun teleskop..lebih mudah. Namun kali ini cabaran untuk mencarinya semakin bertambah dengan kehadiran ribuan bintang-bintang lain di sekitarnya. Ini adalah kerana Vesta berada tepat di dalam kawasan buruj Sagittarius dan jaluran Bima Sakti!

Oposisi asteroid Vesta pada jam 6:56 pagi. [b][t][afk][aft]

Selain itu, akan berlaku beberapa siri lintasan atau conjunction asteroid Vesta dengan beberapa objek-objek samawi yang popular seperti Nebula Lagoon, Nebula Trifid dan kluster M22. Cuba lakukan carian dengan kata kekunci “Vesta” di dalam Google Calendar untuk dapatkan tarikh-tarikh tersebut.


Tarian planet-planet

Marikh dan Zuhal, ketika kedua-dua planet ini melintasi kawasan buruj Scorpious pada tahun 2016. Foto oleh abam shahgazer

Planet-planet sentiasa berubah-ubah kedudukannya setiap malam. Pergerakannya pula berbeza-beza. Ada yang bergerak pantas seperti Zuhrah dan Utarid, serta Marikh, dan ada yang perlahan rileks je..seperti Musytari dan Zuhal.

Hasilnya ialah ada ketikanya planet-planet ini akan melintasi dekat antara satu sama lain. Apabila ini berlaku, pemandangannya amat indah, samada menerusi mata kasar, teleskop mahupun kamera.

7 Januari ★★ Musytari dan Marikh berhimpun amat dekat pada jarak 0.2º sahaja. Boleh dilihat 2 jam sebelum Subuh arah timur. [m][b][t][afk][aft]

Tahun 2018 ini dimulakan dengan lintasan (atau conjunction) yang amat dekat di antara Musytari dan Marikh! Pada awal pagi 7 Januari, Marikh akan melintasi Musytari pada jarak 0.2 darjah sahaja. Ini umpama hanya separuh saiz diameter bulan purnama! Pada jarak yang amat dekat ini, kedua-dua planet ini boleh dilihat serentak menerusi teleskop berkuasa sederhana tinggi!

3 April ★★ Marikh berada kurang 1.5º dari Zuhal! Lihat sekitar Subuh. [m][b][t][afk][aft]

Pada 3 April pula, Marikh akan melintasi 1.5 darjah daripada planet Zuhal. Ia hampir sama apa yang berlaku pada tahun 2016 yang lalu, malah lebih menarik dan lebih dekat!

★★Neptune berada 0.05º sahaja dari Marikh! Lihat selepas Isya’ [b][t][afk][aft]

Pada 7 Disember pula, Marikh akan melintasi amat-amat hampir dengan Neptune pula! Planet Neptune ini kelam dan tidak boleh dikesan dengan mata kasar. Satu-satunya cara untuk mencarinya ialah samada menggunakan peta bintang, teleskop berkomputer atau dalam kes ini, kita tumpang kehadiran planet Marikh yang berada berhampiran! tumpang semangkuk katakan…

Kiraan saya mendapati keduanya hanya dipisahkan sejauh 0.05 darjah sahaja! Memang dekat bebenor! Ia akan berlaku pada waktu senja sekitar Isya’ di ufuk barat. Anda perlukan teleskop berkuasa sederhana.

Selain daripada lintasan planet dengan planet, berlaku juga pergerakan yang menarik di antara planet Marikh dan Zuhal, dengan objek-objek samawi deepsky seperti nebula dan kluster bintang-bintang.  Paling mendapat perhatian saya ialah pada bulan Mac nanti, apabila Marikh bergerak di celah-celah 2 buah nebula popular di dalam buruj Sagittarius, iaitu Nebula Lagoon dan Nebula Trifid!


Bulan Penuh Perigee (Supermoon) dan Apogee (Micromoon)

Bulan Penuh Perigee akan kelihatan sedikit besar dan sedikit terang berbanding bulan penuh biasa. Foto oleh bos shahgazer

Ok, sekali lagi saya mengaku tak begitu gemar menggunakan istilah supermoon, tetapi tak terdaya nak lawan arus popularitinya!

Bulan Penuh Perigee ataupun fasa Bulan Penuh paling hampir dengan kelihatan paling besar untuk tahun 2018 akan berlaku awal tahun ni, iaitu pada 2 Januari 2018.

  • 2 Jan – Bulan Penuh PERIGEE pada jam 10:24 pagi. Bulan Penuh paling dekat dengan Bumi untuk tahun 2018.[m]

Manakala Bulan Penuh Apogee (atau kadangkala ada yang memanggilnya micromoon), iaitu berlawanan dengan perigee, yang mana bulan berada pada poin paling jauh dari Bumi, akan berlaku 6 bulan kemudian, pada 28 Julai 2018, dan kebetulan tarikh yang sama fenomena gerhana bulan penuh berlaku.

  • 28 Jul – Bulan Penuh APOGEE pada jam 4:20 pagi. Bulan Penuh paling jauh dengan Bumi untuk tahun 2018. [i]

Meteor

Foto meteor yang sungguh menawan dan ohsem oleh otai Sabah Stargazer, Mr. McHorror Harris. 😉

Sepanjang tahun 2018 nanti,  hanya juraian meteor di bawah sahaja yang mempunyai prospek kenampakan yang bagus:

  • 22 April – Meteor Lyrids dengan kadar kenampakan 18 meteor sejam
  • 13 Ogos – Meteor Perseids paling terbaik dengan kenampakan 110 meteor sejam!
  • 22 Oktober – Meteor Orionids dengan kadar 20 meteor sejam
  • 18 November – Meteor Leonids dengan kadar 10-20 meteor sejam
  • 15 Disember – Meteor Geminids dengan kadar 120 meteir sejam!

Menerusi senarai di atas, didapati 2 buah juraian meteor paling top, iaitu Perseids dan Geminids akan mempunyai prospek kenampakan yang bagus! Double bonus gitu!

  • 13 Ogos – ★★Meteor Perseids memuncak menjelang Subuh. Tiada cahaya Bulan akan mengganggu kali ini Prospek amat baik dengan purata kenampakan 110 meteor setiap jam! [m]
  • 15 Dis – ★★Meteor Geminids memuncak menjelang Subuh. Bulan terbenam sekitar tengah malam. Prospek amat bagus dengan purata kenampakan 120 meteor setiap jam. [m]

Penghijaban Bulan

Bulan melintasi hampir dengan bintang Aldebaran. Foto oleh uncle shahgazer

Bulan akan bergerak di hadapan beberapa buah kluster bintang, sebuah fenomena yang dipanggil sebagai penghijaban atau occultation.

2 kali Bulan akan berada di dalam kawasan kluster Hyades, di dalam buruj Taurus. Pertama akan berlaku pada 23 Februari (awal malam) dan yang kedua pada 3 September (lewat pagi).

  • 23 Feb – ★★Fenomena penghijaban Bulan dengan bintang-bintang di dalam kluster Hyades. Bintang Aldebaran berada 3º berhampiran dengannya. Kelihatan selepas Maghrib hingga menjelang tengah malam. [m][b][t][afk][aft]
  • 3 Sep – Bulan berada di dalam kluster Hyades dan hampir dengan bintang Aldebaran. Berpotensi banyak penghijaban bintang akan dapat dilihat. Lihat selepas tengah malam hingga ke Subuh. [m][b][t][afk][aft]

Pada 28 November, Bulan akan menghijab kluster Beehive, tetapi yang ini mungkin susah sikit kerana bintang-bintang di dalam kluster Beehive ini agak kelam dan mungkin tenggelam hasil silauan cahaya bulan.

 


Zuhrah kembali menghampiri Matahari.

Zuhrah ketika ia melintasi hampir dengan matahari pada bulan Mac 2017 lepas. Foto oleh grandpa shahgazer

Planet Zuhrah akan kembali bergerak di antara Bumi dan Matahari pada tahun 2018 ini. Ia akan kelihatan semakin besar dan terang menjelang pertengahan tahun 2018.

Kemuncaknya ialah apabila ia berada pada posisi paling hampir dengan matahari, yang dikenali sebagai inferior conjunction, yang akan berlaku pada 26 Oktober 2018. Kiraan menunjukkan ia berada hanya 6 darjah sahaja daripada matahari, dan bentuk sabitnya hanya kelihatan 0.6% sahaja.. amat halus mulus!

  • 26 Okt – Zuhrah pada posisi Inferior Conjunction pada jam 10 malam (6º dari Matahari). [i]

Kesimpulan.

Senarai di atas hanya sebahagian sahaja daripada ratusan fenomena astronomi yang boleh dilihat dari langit Malaysia. Pergerakan objek-objek langit ini sungguh dinamik dan sentiasa berubah dari hari ke hari. Kita perlu sentiasa peka dan siap sedia untuk mencerapnya, lebih-lebih lagi dalam suasana cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

Senarai maklumat lengkap boleh di dapati di Almanak Astronomi 2018, di dalam versi web dan juga versi Google Calendar.

Mudah-mudahan tahun 2018 nanti banyak peluang menanti kita. Sama-sama kita doakan.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments