Satu lagi sejarah telah tercipta. Sebuah perayau (rover) kecil bernama MINERVA-II1 telah selamat dilepaskan oleh pesawat utamanya, Hayabusa2, dan mendarat di atas permukaan sebuah asteroid bernama Ryugu.
Ini adalah kali pertama manusia berjaya mendarat sebuah perayau di atas sebuah asteroid.
Jika anda masih ingat, beberapa bulan yang lalu saya ada menulis mengenai sebuah misi angkasa oleh Jepun, yang bernama Hayabusa2, sedang menghampiri sebuah asteroid yang berbentuk seperti sebuah kiub! Setelah beberapa bulan berada di dalam orbitnya, pada 21 September 2018, tepat jam 12:06 tengah hari waktu Malaysia, Hayabusa2 telah melepaskan 2 buah perayau kecil ini menuju ke permukaan Ryugu pada ketinggian 20km.
Pemisahan perayau MINERVA-II1 ini disambut dengan gembira oleh pengendali misi di JAXA, namun status sebenar perayau ini tidak diketahui hinggalah beberapa jam kemudian.
Dan gambar-gambar pertama yang dipancar kembali ke Bumi sungguh menakjubkan.
Uniknya perayau ini ialah cara ia bergerak di atas asteroid tersebut. Ia direka supaya boleh bergerak secara melompat-lompat dengan sendiri, iaitu tanpa perlu menerima arahan daripada manusia.
Mengapa terlompat-lompat? Ini adalah kerana graviti asteroid Ryugu ini amat lemah. Setiap kali roda perayau ini berpusing, ia akan melantun tinggi ke atas, lebih kurang 15 meter di atas permukaan, dan akan terapung-apung selama 15 minit sebelum jatuh kembali ke permukaan!
Misi Hayabusa2 ini baru bermula. Selepas ini sebuah lagi perayau kecil bernama MASCOT dijadualkan akan dilepaskan pada bulan Oktober, dan perayau ketiga MINERVA, iaitu MINERVA-II2 akan dilepaskan tahun depan.
Hayabusa2 akan cuba membawa pulang sampel permukaan asteroid Ryugu ini pada tahun 2020 nanti.
alhamdulillah.. info baru ni.. astroid ryugu sedang bergerak arah mana ya? dan dimana lokasi astroid ni