2014 MU69 Ultima Thule: Kembar siam!

Berita Misi Angkasa Penemuan Terkini
Dv7uv1NUUAAc1jf
Ultima Thule menerusi data daripada kamera LORRI pada jarak 28,000km yang dirakam pada 1 Jan 2019 lepas. Sumber.

Akhirnya kita telah dapat imej paling jelas 2014 MU69  (atau Ultima Thule) setakat ini.

.. Memang betul lah, ia bercantum! Macam Kembar Siam!

Rupa bentuk objek ini sungguh unik dan belum pernah kita temui atau terserempak, sehinggalah hari ini! Ia jelas kelihatan 2 buah objek sfera yang bercantum di salah satu sisinya. Bentuk yang sungguh pelik ini menunjukkan proses yang dinamik berlaku 4.5 bilion tahun dahulu ketika sistem suria ini sedang terbentuk.

Gambar ini dirakam pada jarak 27,000km ketika prob New Horizons masih lagi dalam perjalanan menuju ke objek ini. Bentuk ini dikenali sebagai kembar bercantum atau contact binary. Panjangnya dari hujung sfera ke sfera yang lagi satu ialah 31 km.

Saintis menggelarkan sfera yang besar itu “Ultima” manakala yang kecil sebagai “Thule”. Kedua-duanya bercantum pada kelajuan yang amat perlahan, mungkin selaju kemalangan kecil dua buah kenderaan di jalan raya. Pada kelajuan ini, jasadnya tidak hancur berkecai seperti perlanggaran yang jauh lebih dahsyat.

Dv7dwOeU0AENA5U
Ultima Thule dipercayai berasal daripada 2 objek yang berasingan. Lama-kelamaan pergerakan kedua objek ini membawa ia semakin dekat dan seterusnya bercantum. Sumber.

Menurut Jeff Moore, ketua pasukan New Horizons Geology and Geophysics , “New Horizons adalah seperti sebuah mesin masa, yang membawa kita ke saat pembentukan sistem suria. Kita sedang melihat satu representasi fizikal permulaan pembentukan planetari, yang ‘dibekukan’ oleh ‘masa’ ”

Ini juga ialah objek jenis contact binary yang pertama pernah dirakam oleh manusia.

Semalam, foto yang diterima masih kabur dan tidak begitu jelas rupa bentuk fizikalnya. Hari ini, ia merupakan foto paling jelas terhadap objek yang paling jauh yang telah diterokai oleh prob angkasa lepas.

Dv7baXUWoAEJkfs
Warna kemerahan Ultima Thule yang diproses menerusi data rakaman warna. Sumber.

Selain itu, data yang diterima bukan sekadar hitam putih. Setelah diproses dengan data warna, jelas didapati warna Ultima Thule ini kemerahan. Para saintis sudah lama mengagak warnanya sebegini berdasarkan cerapan sebelum ini. Warna merah ini kesan ais yang dihentam oleh pancaran radiasi angkasa lepas yang berpanjangan.

Jom kita tunggu lagi data dari New Horizons seterusnya esok.

Sementara itu, kita layan lagi perbandingan yang pelik-pelik yang dibuat oleh penggemar astronomi di twitter.. 😀

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments