Tu dia… Ultima Thule!

Berita Misi Angkasa Penemuan Terkini

 

Jan1-2018_press-lease_Image1
Foto di kiri merupakan komposit 2 imej yang dirakam oleh kamera LORRI. Kiraan awal menunjukkan saiz Ultima Thule ialah 32km X 16km. Di kanan menunjukkan lakaran artis yang menunjukkan paksi putaran Ultima Thule berdasarkan data cerapan yang dibuat beberapa minggu lepas. Kredit: NASA/JHUAPL/SwRI; Lukisan oleh James Tuttle Keane

Foto pertama Ultima Thule yang dihantar oleh prob New Horizons telah pun sampai semalam!

… dan bentuknya … macam pin bowling!

Isyarat pertama telah diterima oleh pasukan saintis di Johns Hopkins University Applied Physics Laboratory pada jam 15:31 GMT semalam, bersamaan 11:31 malam waktu Malaysia.

Penyelidik utama, Alan Stern berkata walaupun imej pertama ini masih kabur, ia telah menunjukkan dengan jelas bahawa apa yang diramalkan oleh saintis sebelum ini adalah tepat, iaitu bentuk Ultima Thule ini tidak bulat dan membentuk 2 bonjolan di hujungnya.

Menurut Alan lagi, saiz Ultima adalah 35 km X 15 km. Bentuknya yang berbonjol itu juga berkemungkinan 2 buah objek yang berbeza mengorbit antara satu sama lain. Resolusi foto ini agak rendah disebabkan foto ini dirakam dalam jarak yang masih jauh.

Foto yang dirakam menerusi kamera Long-Range Reconnaissance Imager (LORRI) ini dirakam pada 05:33 GMT pada 1 Jan 2019 lepas, ketika prob ini meluncur pada kelajuan 14 km sesaat!

Gambar yang lebih jelas daripada kamera LORRI itu tadi dijangka akan diterima menerusi radar Deep Space Network NASA bermula jam 2000 GMT hingga 2335 GMT pada hari Selasa, atau bersamaan 12:00 tengah malam tadi hingga 1:35 pagi tadi waktu Malaysia.

Transmisi daripada New Horizons terpaksa mengambil masa 6 jam 8 minit untuk sampai ke Bumi (pada kelajuan cahaya 300,000 km sesaat).

Ultima Thule merupakan sebahagian daripada objek-objek yang terletak di dalam kawasan Gelang Kuiper, sebuah kawasan atau zon yang terletak di belakang orbit Neptune. Ia mengambil masa 298 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit mengelilingi Matahari.

Kita tunggu foto yang lebih jelas malam nanti, InsyaAllah.

Sementara itu, jom berhibur sedikit komen-komen di twitter terhadap apakah bentuk sebenar Ultima Thule itu nanti .. 😀

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments