Tumpuan fenomena sepanjang minggu ini tertumpu pada waktu Subuh dengan lintasan Bulan terhadap 3 buah planet terang, iaitu Zuhrah, Musytari dan Zuhal. Jangan lupa juga berkenalan dengan 2 bintang di dalam buruj Libra yang mempunyai nama yang panjang berjela!
25 Feb (Isnin)
Subuh ini cuba lihat ke arah Bulan. Ia akan berada di dalam buruj Libra. Di dalam buruj ini mempunyai 2 buah bintang yang namanya sangat unik, tetapi agak kelam dan tidak seterang bintang-bintang biasa.
Di sebelah atas Bulan, ialah bintang yang bernama Zubeneschamali. Menurut sejarah, nama bintang ini diambil daripada bahasa Arab “al-Zuban al-samaliyyah” yang membawa maksud “The Northern Claw”. Manakala bintang di bawah Bulan, bernama Zubenelgebuni bermaksud “Southern Claw” atau dalam bahasa arabnya “al-zuban al-janubiyy”.

Kenapa dipanggil “claw” atau penyepit? Walhal buruj Libra ini menggambarkan sebuah dacing? Rupa-rupanya di dalam peta bintang zaman dahulu, bintang-bintang buruj Libra ini adalah sebahagian daripada buruj Scorpius. Bahagian ini dulunya menggambarkan 2 buah penyepit kala jengking.
26 Feb (Selasa)
Subuh hari ini, Bulan mula memasuki kawasan buruj Scorpius dan menghampiri bintang Antares dan planet Musytari. Nak membezakan bintang dan planet ini sungguh mudah. Musytari jauh lebih terang dan tidak berkelip, manakala Antares bercahaya kemerahan.

Susun atur ketiga-tiga objek ini membentuk segi tiga yang besar dan cantik.
Bulan memasuki fasa Sukuan Akhir pada jam 7:29 PM petang.
27 Feb (Rabu)
Subuh ini bintang Antares berada 8 darjah dari Bulan. Musytari pula berada 9 darjah dari Bulan. Ketiga-tiga objek ini membentuk segi tiga yang lebih kecil berbanding semalam. Ia mula kelihatan terbit sekitar lewat malam hinggalah ke Subuh.

28 Feb (Khamis)
Bulan akan melintasi Musytari dan berada 4 darjah di antara keduanya. Kelihatan lewat tengah malam hinggalah ke Subuh.

1 Mac (Jumaat)
Subuh ini pemandangan agak cantik. Kelihatan Bulan bersama Zuhal dan Zuhrah berada segaris, manakala Musytari berada tinggi di atas. 4 buah ‘dunia’ yang berlainan saiz, bentuk dan jarak daripada Bumi.
Dari sudut jarak kelajuan cahaya, cahaya dari Bulan ialah 1.4 saat dulu. Planet Zuhrah ialah cahaya yang datang 9 minit dahulu. Musytari pula ialah 45 minit dahulu, dan terakhir ialah Zuhal 88 minit dahulu!

2 Mac (Sabtu)
Zuhal berada kurang 3 darjah dari Bulan. Arah timur sekitar Subuh. Subuh ini ialah peluang terbaik tunuk mencari planet Zuhal bagi anda yang belum pernah melihatnya di langit. Ia tidaklah secerah Zuhrah atau Musytari, dan kadang kala kita mudah terkeliru planet ini dengan bintang lain.

3 Mac (Ahad)
Subuh ini lagi best. Planet Zuhrah akan berada kurang 2 darjah sahaja dari Bulan. Pasangan dua objek terang ini memang cantik. Ia seperti ulangan kedudukan seperti bulan-bulan lepas.

