Musytari kembali dekat dan bersinar terang!

Fenomena Istiqbal

 

Setiap tahun, Bumi akan bergerak di antara Matahari dan Musytari. Pada ketika ini, planet Musytari akan berada di dalam kedudukan di langit yang dikenali sebagai istiqbal atau dalam bahasa Inggeris, opposition.

Pada tahun ini, pada jam 11:14 malam, 10 Jun 2019, Musytari akan kembali berada pada kedudukan unik ini. Istiqbal bermaksud pada saat tersebut, sesebuah planet (dalam kes ini Musytari) akan berada bersetentang dengan Matahari apabila dilihat dari langit Bumi.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg
Kedudukan istiqbal atau bersetentang yang sedang berlaku terhadap planet Musytari sekarang.

Secara ringkasnya, apabila Matahari terbenam pada waktu Maghrib, Musytari akan terbit di sebelah timur.

Momen begini sering ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi seluruh dunia. Musytari akan kelihatan paling terang dan besar di langit. Malah, jika anda pandang ke arah langit sebelah timur selepas waktu Maghrib, planet gergasi ini akan kelihatan seperti sebutir ‘bintang’ yang amat terang dan memancar-mancar.

Malah, kecerahannya kini (magnitud -2.6) mengatasi bintang tercerah di langit, iaitu Sirius. Dari segi turutan, Musytari sekarang ialah objek ke-4 paling cerah di langit, selepas Matahari, Bulan dan Zuhrah. Hampir mustahil anda akan ‘terlepas pandang’ planet ini di langit.

Menerusi binokular, jika anda memegangnya dengan kekal dan tak bergoyang-goyang, serta menggunakan binokular sekurang-kurangnya berkuasa pembesaran 7X, anda akan dapat lihat 4 buah titik atau bintang kecil yang berada sederet di sisi bertentangan planet ini.

jupiter-29-jan-2013___Shahrin_Ahmad___Flickr.jpg
Titik-titik kecil di sisi Musytari itu sebenarnya ialah bulan-bulannya. @shahgazer

Titik-titil kecil itu ialah bulan-bulan paling cerah kepunyaaan planet Musytari. Nama yang diberi ialah Io, Europa, Ganymede dan Callisto.

Keempat-empat bulan ini lebih besar daripada Bulan kita. Pergerakkan amat laju dan boleh dilihat berubah dengan jelas jika anda memerhatikannya selama beberapa jam.

Apabila anda menggunakan teleskop, barulah dapat lihat beberapa ciri menarik di atas permukaan planet Musytari.

Sebelum itu, kita harus ingat, Musytari sebenarnya tidak mempunyai permukaan keras atau tanah seperti Bumi. Ia adalah sebuah planet yang dibentuk oleh pusaran gas sahaja. Yang kita lihat menerusi teleskop itu nanti ialah lapisan-lapisan awannya.

Ok, menerusi teleskop, anda akan dapat lihat permukaannya dipenuhi dengan jalur-jalur yang pelbagai warna dan saiz. Jalur-jalur ini ialah kawasan awan-awan di sana yang bergerak begitu laju. Cerapan yang dibuat sebelum ini telah berjaya merekod angin yang bertiup selaju 300 hingga 650 km sejam!

Jupiter_6_Jun_2018___I_think_this_is_my_best_attempt_so_far_…___Flickr.jpg
Antara foto Musytari yang paling jelas berjaya dirakam oleh penulis setakat ini. @shahgazer

Jalur-jalur ini jika dicerap menerusi teleskop lebih besar dan kamera yang sesuai, akan kelihatan berserabut yang jalur-jalur yang berpusing-pusing sana sini. Namun, disebalik ‘keserabutan’ jalur awan ini, ia kelihatan tersusun dengan baik sekali. Malah, kawasan jalur-jalur ini telah pun diberi nama sebagai panduan dan kajian.

JupiterBelts.jpg
Gambarajah panduan mengenali kawasan atau zon jalur-jalur di Musytari. Kredit S&T.

Salah satu bentuk unik di Musytari ialah satu pusaran besar berwarna merah, yang kelihatan seperti mata. Pusaran itu diberi nama The Great Red Spot (GRS). Ia merupakan satu sistem siklon gergasi yang paling besar di kalangan sistem siklon lain yang ada di planet ini.

GRS amat besar dan mudah dilihat menerusi teleskop. Kini warnanya menjadi merah coklat yang pekat. Dipercayai kali pertama ia dicerap dan direkod oleh seorang ahli astronom amatur Jerman, Heinrich Schwabe pada tahun 1831. Malah ia mungkin juga bentuk yang sama dilihat seawal tahun 1665 oleh seorang pemerhati langit dari Itali, Domenico Cassini yang dicatatkan sebagai ‘permanent spot’ oleh beliau.

Pada awal GRS dicerap, saiznya amat besar iaitu 3 kali ganda diameter Bumi. Namun, atas sebab-sebab yang masih belum diketahui puncanya, GRS ini mengecil dan mempunyai diameter sama dengan Bumi.

Lebih misteri ialah beberapa minggu lepas, kelihatan seperti seolah-olah pusaran GRS ini terungkai atau terburai sedikit demi sedikit. Saintis masih belum tahu bagaimana pusaran siklon di Musytari terbentuk dan berfungsi. Ada yang mengatakan GRS ini tak lama bagi bakal hilang lenyap ditelan pusaran awan-awan lain di sekelilingnya.

Jika benar, Musytari bakal hilang mercu tanda ikoniknya! Kesian!

(Foto di atas di rakam oleh saya pada 23 Mei 2019 lepas)

Menerusi teleskop juga, jika bernasib baik atau merancang dengan baik, kita akan dapat lihat bulan-bulan Musytari melintasi di hadapan cakera planet itu. Fenomena ini dikenali sebagai transit dan waktu kejadian transit ini boleh dikira dengan mudah.

Musytari kini berada di antara buruj Scorpius dan Sagittarius. Ia berada pada poin yang agak ke selatan. Malang bagi pencerap di hemisfera utara kerana kedudukan yang ke selatan ini menyebabkan planet ini tidak berada tinggi di langit. Kita di Malaysia bernasib baik kerana kedudukan di khatulistiwa membolehkan planet Musytari berada tinggi di langit dan dapat dilihat dengan lebih jelas.

SkySafari_6_Pro_-__CurrentSettings_.jpg
Kedudukan Musytari yang akan kelihatan sepeti sebutir bintang terang sekitar waktu Isya di langit sebelah timur sekarang ini.

Planet Musytari di sepanjang pengalaman saya mencerap dan merakamnya selama ini tidak pernah mengecewakan. Ia sungguh dinamik dan saya sentiasa ternanti-nanti apakah perubahan facial yang akan berlaku! Saya amat mengsyorkan bagi anda untuk teruskan cerapan dan pengamatan terhadap planet ini. Ia akan berada tinggi, terang dan jelas selama 3-4 bulan mendatang.

Ikuti akaun twitter peribadi saya untuk mendapatkan rakaman astrofoto terkini planet Musytari dari semasa ke semasa, dan jika anda ada merakamnya sendiri, kongsikan dan InsyaAllah saya akan raikan bersama-sama dengan komuniti astronomi lain.

Ayuhhh…hancurkan….. 😀

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments