2 minute read

Disebalik kegelisahan kita dengan Covid-19 dan PKP, kita jangan lupa dengan fenomena-fenomena langit menarik yang begitu banyak sedang berlaku sekarang.

Pada waktu Subuh, 3 planet saling lompat-melompat dan melintasi antara satu sama lain. Musytari, Marikh dan Zuhal amat mudah dilihat sekitar beberapa jam sebelum Subuh terbit di timur sehinggalah melepasi Subuh.

Pada sebelah petang pula, ada satu planet je yang terang bersinar, iaitu planet Zuhrah. Namun, walaupun ia nampak seperti sunyi keseorangan , Zuhrah ni pun tak mahu kalah!

Rupa-rupanya ia kini dalam perjalanan akan melintasi di hadapan sebuah gugusan bintang yang amat cantik, iaitu The Pleiades atau juga dikenali sebagai The Seven Sisters.

Saya telah sempat lakukan beberapa siri pengambaran astrofoto terhadap dua objek ini dan ada pos di facebook saya di sini, sini dan sini.

Foto di bawah saya rakam semalam, 30 Mac 2020

Zuhrah dan Seven Sisters pada 30 Mac 2020

Kemuncaknya akan berlaku pada 3 dan 4 April 2020 nanti, apabila daripada sudut pandangan kita dari langit Malaysia dan juga sekitar Asia Tenggara, kita akan nampak Zuhrah berada betul-betul di dalam kawasan yang penuh dengan bintang-bintang di dalam gugusan Seven Sisters ini.

Tak de social distancing langsung! adehhh…

Fenomena lintasan Zuhrah dan gugusan ini amat jarang berlaku. Okay sebenarnya, Zuhrah akan sentiasa melintas dekat dengan Seven Sisters hampir setiap tahun… tapi kalau kita nak tengok ia lintas betul-betul di hadapannya , ia berlaku setiap 8 tahun sekali je.. dan ia akan berlaku hanya dalam bulan April.

Berlakunya julat waktu ini adalah disebabkan kombinasi orbit Bumi dan Zuhrah. Bab ni berat sikit nak cerita.. nanti lah saya buat artikel lain.

Menariknya fenomena kali ini ialah ia berlaku ketika Zuhrah tinggi di langit. Maknanya, ketika Maghrib, planet ini berada tinggi dan mengambil masa 2 jam untuk terbenam. Kita ada banyak masa nak membelek-belek keindahan objek-objek ini.

Baiklah, apa yang akan berlaku 3 dan 4 April nanti?

Rajah bawah menunjukkan pandangan mata kasar dari kawasan langit yang amat gelap pada waktu selepas Isya, 3 dan 4 April 2020. Kalau kita di bandar, jumlah bintang tak ada la banyak macam ni!

Zuhrah akan berada tepat di lokasi gugusan Seven Sisters. Cuba tenung lama-lama di situ, mungkin anda akan dapat lihat sebutir dua bintang dekat je dengan Zuhrah.

3 dan 4 April 2020 pandangan mata kasar dari Malaysia dan Asia Tenggara selepas Maghrib dan Isya’

Menerusi binokular, pandangan akan menjadi lebih jelas dan cantik. Di bawah ialah pada 3 April. Zuhrah akan berada di bawah gugusan ini.

Pandangan sebuah binokular pada 3 April 2020

Rajah di bawah pula ialah untuk 4 April 2020. Kelihatan Zuhrah sudah mula bergerak di atas gugusan ini pula.

Pandangan sebuah binokular pada 4 April 2020

Selepas daripada tarikh ini, gugusan bintang ini akan bergerak semakin ke bawah, manakala Zuhrah masih maintain kekal kedudukanya di situ. Menerusi pandangan mata kasar, kita akan dapat lihat ia semakin menjarakkan diri dari hari ke hari.

Jika kita terlepas nak tengok ni, tak pa… tunggu tahun 2028…pada tarikh yang sama 3 dan 4 April 2028… ketika itu SEKALI LAGI planet Zuhrah akan lintas di hadapan gugusan bintang ini!

Ayuh jom tengok. Mudah-mudahan langit cantik sepanjang PKP ini membolehkan kita tenangkan diri melihat keindahan alam ciptaan Ilahi.

Dan jangan lupa #dudukdirumah #stayathome dan sentiasa basuh tangan!