Tiada esok bagimu! radio teleskop gergasi bersaiz 100-kaki, Arecibo Observatory, bakal diruntuhkan. Menurut laporan daripada National Science Foundation (NSF), badan itu akan menamatkan perkhidmatan teleskop radio berusia 57 tahun ini dan juga bercadang untuk meruntuhkan terus kerana struktur teleskop ini sudah begitu uzur dan lemah!
Menurut Edgard Rivera-Valentin, dari Lunar and Planenary Instutite, “Sebagai seorang kanak-kanak yang diinspirasi oleh balai cerap yang meneroka bintang-bintang di langit, ini sangat menyedihkan dan memilukan. Saya telah lihat bagaimana balai cerap ini, sehingga hari ini, telah menjadi sumber inspirasi kepada pulau saya ini”
(Bawah: Adegan filem James Bond, GoldenEye, lakonan Pierce Brosnan, telah dilakukan di Balai Cerap Arecibo ini.)
Arecibo terletak di pulau Puerto Rico di kepulauan Caribbean. Di bina pada awal tahun 1960an, ia telah menjadi inspirasi dan kebanggaan penduduk di pulau tersebut. Ketika bencana ribut Hurikan Maria pada tahun 2017, fasiliti ini bertindak sebagai sokongan penting semasa kecemasan.
Namun, sumbangan besar Arecibo ini ialah dalam bidang kajian alam semesta. Antaranya ialah penemuan pertama 3 buah planet di luar sistem suria, mengesan gelombang graviti yang dipancarkan oleh bintang mati yang dikenali sebagai pulsar (penemuan ini mendapat hadiah Noble untuk Fizik pada tahun 1993). Balai cerap ini juga penting di dalam peranan merakam dan mengkaji asteroid-asteroid yang melintasi orbit Bumi.
Michael Nolan, bekas pengarah balai cerap ini, mengatakan beberapa siri gempa bumi yang melanda kepulaun ini mungkin menjadi faktor utama keutuhan struktur fasiliti ini menjadi lemah.
NSF yang mana beberapa tahun sebelum ini telah teragak-agak untuk meneruskan pembiayaan, disebabkan beberapa hasil tinjauan dan syor agar ditamatkan perkhidmatan, akhirnya telah bersetuju untuk meneruskan penutupan balai cerap ini, hasil cadangan 3 buah syarikat kejuruteraan. Salah satu kajian yang dibuat oleh syarikat tersebut mengatakan terdapat kebarangkalian tinggi akan ada lagi kabel-kabel yang memegang struktur bangunan ini akan putus.
Alexander Cartwright, presiden University of Central Florida, yang juga menguruskan teleskop ini mengatakan keputusan NSF ini agak mengecewakan. “Kami telah bertungkus-lumus bekerjasama dengan NSF untuk menjadi kaedah untuk menstabilkan teleskop ini dengan risiko minimum. Walaupun keputusan ini tidaklah seperti apa yang diharapkan, keselamatan tetap menjadi prioriti utama.
Kes balai cerap gergasi yang runtuh seperti Arecibo ini pernah berlaku dahulu. Pada 15 Nov, 1988, Green Bank Observatory di West Virginia, telah runtuh secara tiba-tiba! Balai cerap ini menempatkan teleskop radio bersaiz 91 meter.
Namun, ia masih bernasib baik kerana NSF masih membiayai proses baik pulih balai cerap ini hingga siapnya teleskop yang baru.
Perbezaan cerita Green Bank Observatory dengan Arecibo ialah, Arecibo masih lagi wujud dan tidak runtuh. Jadi mengapakah keputusan yang agak drastik ini telah dibuat?
Menurut Seiesad dan Vanden Bout, bekas pengarah National Radio Astronomy Observatory (NRAO) ketika tragedi Green Bank itu berlaku, tiadanya wakil politik yang kuat di Puerto Rico mungkin penyebab utama tiada usaha bersungguh-sungguh dibuat untuk baik pulih fasiliti itu. Green Bank terletak di kawasan yang tidak begitu sesuai, tetapi disebabkan faktor ekonomi dan pelancongan untuk kawasan West Virginia, Robert Byrd yang merupakan senator yang agak kuat ketika itu, telah melobi untuk membina semula balai cerap itu.
Di Puerto Rico, ia hanya diwakili oleh seorang ahli kongres yang tidak boleh mengundi. Maka, menurut Vanden Bout, “Dari sudut politik, mereka tidak mempunyai banyak pengaruh!”.
Begitulah nasib dunia sains. Kepentingan dan sumbangannya sering diketepikan atas faktor lain.
Sumber