Adakah Gerhana Bulan Penumbra 30 November nanti kelihatan dari Malaysia?

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban
Foto oleh Fred Espanak menunjukkan contoh kesan fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang berlaku pada tahun 2002. Kesan shading redup lebih mudah kelihatan menerusi foto.

Pada awal Maghrib 30 November 2020 nanti, Bulan akan memasuki di dalam kawasan bayang-bayang penumbra Bumi. Fenomena ini dikenali sebagai Gerhana Bulan Penumbra.

(Kredit foto utama artikel – Gerhana Bulan Penumbra 2017 oleh JAMIE CARTER)

Berikut merupakan waktu fasa-fasa utama gerhana penumbra ini. Waktu yang dipaparkan ialah waktu Malaysia.

30 Nov, 3:32 pmFasa Penumbra bermula. Bulan memasuki sempadan luar penumbra. Bulan berada di bawah ufuk dan tidak kelihatan dari Malaysia.
30 Nov, 5:42 pmKemuncak fasa gerhana penumbra. Bulan telah ditutupi 83% daripada bayang-bayang penumbra. Bulan berada di bawah ufuk dan tidak kelihatan dari Malaysia.
30 Nov, 7:53 pmFasa gerhana penumbra tamat. Keseluruhan Bulan telah keluar dari sempadan bayang-bayang penumbra. Bulan berada di atas ufuk dari Malaysia.

Bagi kita di Malaysia dan Asia Tenggara, fenomena kali ini tidak begitu sesuai untuk dicerap kerana ketika fasa kemuncak, Bulan masih berada di bawah ufuk.

Apabila Bulan mula terbit, kita sudah pun terlepas fasa kemuncak, dan Bulan sudah mula keluar sedikit demi sedikit daripada kawasan bayang-bayang penumbra. Jika kita hendak melihat kesan ‘gelap’ bayang-bayang penumbra agak susah kerana Bulan masih rendah di ufuk timur.

Sebagai panduan kasar, berikut ialah waktu Bulan terbit bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dipaparkan juga sela masa berapa lama kita sudah terlepas momen kemuncak gerhana penumbra tersebut.

BandarWaktu terbit BulanSela waktu selepas waktu kemuncak gerhana penumbra
Kuala Lumpur7:01 pm1 jam 19 minit SELEPAS fasa kemuncak
Kuching6:27 pm45 minit SELEPAS fasa kemuncak
Bintulu6:14 pm32 minit SELEPAS fasa kemuncak
Miri6:08 pm26 minit SELEPAS fasa kemuncak
Kota Kinabalu5:57 pm15 minit SELEPAS fasa kemuncak
Sandakan5:49 pm7 minit SELEPAS fasa kemuncak

(Nota: Guna aplikasi seperti Stellarium atau Sky Safari, atau aplikasi web seperti TheSkyLive untuk mengira waktu terbit di lokasi masing-masing.)

Di bawah merupakan rajah kedudukan Bulan relatif kepada kawasan sempadan bayang-bayang penumbra Bumi ketika Bulan sedang terbit bagi Kuala Lumpur (dan seluruh Semenanjung Malaysia) dan Sandakan (paling timur).

Perbandingan kedudukan Bulan di dalam sempadan bayang-bayang penumbra bagi Kuala Lumpur dan Sandakan. Simulasi Sky Safari.

Menurut space.com, selang masa 20 minit sebelum dan selepas waktu kemuncak gerhana, kita ‘mungkin’ boleh lihat sedikit kesan bayang-bayang yang gelap di sempadan sebelah ATAS KIRI Bulan (dari pandangan mata kita mengadap ke arah timur)

Jika begitu, bagi anda yang berada di Miri dan ke timur daripada bandar ini, seperti rakan-rakan di Brunei dan Sabah, mungkin masih ada peluang untuk cuba merakam kesan ‘gelap’ ini menerusi kamera atau cuba melihatnya menggunakan teleskop.

Bagi yang berada ke sebelah barat Miri, seperti sebahagian besar Sarawak dan Semenanjung, peluang untuk melihat kesan ‘gelap’ ini amat susah.

Perlu diingat, fenomena gerhana penumbra ini amat susah untuk dilihat kesan gelap bayang-bayang Bumi, lebih-lebih lagi jika kita menggunakan mata kasar. Namun, terdapat rekod pencerap-pencerap seluruh dunia (termasuk Malaysia) yang telah berjaya merakamnya menerusi kamera.

Jika kita tidak dapat melihat dengan sempurna gerhana penumbra ini, jangan risau. InsyaAllah tahun hadapan pada 26 Mei 2021, sebahagian daripada negeri-negeri di Malaysia akan berpeluang menyaksikan kembali Gerhana Bulan Penuh.

Saya ada catatkan maklumat tersebut menerusi Almanak Astronomi 2021.

Peta lokasi-lokasi dunia yang akan dapat lihat fenomena Gerhana Bulan Penumbra pada 30 Nov 2020. Sumber.

Selamat mencerap!

2.3 3 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments