Jom teropong langit minggu ini (1-7 Januari 2022)

Fenomena

Sabtu, 1 Januari

Ada beberapa lintasan atau conjunction yang menarik yang berlaku sekitar waktu Subuh hari ini. Bulan sabit tua yang berada rendah di ufuk timur sekitar waktu Subuh tu akan kelihatan melintas hampir dengan planet Marikh dan bintang Antares.

Marikh paling hampir dengan Bulan (di atas), sementara bintang Antares akan berada sedikit jauh ke arah jarum jam pukul 2.

Kedudukan Bulan, Marikh dan bintang Antares sekitar waktu Subuh. Simulasi SkySafari.

Planet Marikh ketika ini berada jauh di belakang Matahari dan jika kita nak teropong pun, ia terlalu kecil dan tak nampak apa-apa ciri menarik di permukaannnya.

Pada waktu Maghrib, planet Zuhrah sudah menjunam rendah ke ufuk barat dan semakin rendah setiap hari. Ia sedang menunju ke posisi inferior conjunction pada 8 Januari nanti, yang mana ia akan melintasi hampir tepat di antara Matahari dan Bumi.

Utarid juga berada hampir dengan Zuhrah, di sebelah arah jam pukul 10. Cuba cari planet ini berpandukan Zuhrah. Tapi kena cepat sebab menjelang Isya’ kedua-dua planet ini sudah pun terbenam.

Musytari dan Zuhal juga semakin rendah. Musytari masih tinggi dan terserlah kecerahannya. Zuhal agar pudar dan kita mudah terkelirunya seolah-olah seperti ‘bintang biasa’!

Komet Leonard masih berada di sekitar kawasan langit barat. Namun kedudukannya dengan Bumi makin jauh. Laporan terkini (setakat 30 Dis) menyatakan kecerahannya pada jatuh pada magnitud 5.

Kedudukan Komet Leonard sekitar 45 minit selepas Maghrib. Simulasi SkySafari

Ahad, 2 Januari

Bulan akan berada pada kedudukan perigee, iaitu sekitar jarak 358036 km daripada Bumi. Momen ini berlaku sekitar 19 jam sebelum masuknya fasa Bulan Baru. Selalunya waktu sebegini air pasang besar akan berlaku dan kebetulan METMalaysia meramalkan hujan berterusan sekitar waktu ini, maka saya doakan agar semua selamat dan sentiasa berjaga-jaga.

Apa pun jangan tanya bab cuaca kepada ahli astronomi, sebab ini bukan bidang astronomi. Kena tanya ahli yang mengkaji cuaca atau pakar cuaca. Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar!

Pada waktu Isya‘, cuba perhatikan di sebelah timur. Buruj Orion sudah semakin tinggi dan bintang tercerah di langit, iaitu Sirius sudah mula terbit awal dan boleh dilihat rendah di ufuk. Bintang Sirius pernah dikenali sebagai bintang yang menunjukkan bermulanya musim banjir dari Sungai Nil oleh tamadun mesir kuno. Namun disebabkan peralihan paksi pusingan Bumi kesan (yang berpusing-pusing di dalam satu bulatan besar setiap 26,000 tahun , juga dikenali sebagai fenomena precession), waktu banjir Sungai Nil tidak sama dah dengan kemunculan bintang ini seperti zaman Mesir dahulu.

Kedudukan buruj Orion sekitar waktu Isya’. Simulasi SkySafari

Isnin, 3 Januari

Bulan memasuki fasa Bulan Baru pada jam 2:35 AM.

Pada menjelang waktu Subuh, cuba cari planet Marikh. Ia masih berada di kedudukan yang lebih kurang sama saja. Jangan keliru pula dengan menyangkakan Marikh hanya kelihatan satu hari je. Ia sebenarnya boleh dilihat pada hari-hari berturutan dan bukannya jenis sekejap ada sekejap tak ada!

Satu perkara yang menarik ialah bermula hari ini planet Marikh sudah mula masuk dalam lingkungan 5 darjah dari sebuah kluster bintang bernama M 19. Jika anda mempunyai binokular atau lens kamera yang boleh merakam FOV 5 darjah, boleh cuba rakam kedua-dua objek ini.

Pada waktu Maghrib, teruskan pencarian planet Utarid. Kedudukan planet ini sedikit tinggi berbanding semalam.

Planet Zuhrah pula sudah makin rendah dan jika anda cuba cari 30 minit selepas Maghrib, memang tak akan nampak dah sebab planet ini sudah pun terbenam!

Komet Leonard masih ada dan belum hilang. Cuma kena cari menggunakan binokular atau teleskop baru mudah nak nampak. Kecerahannya dijangka semakin pudar setiap hari.

Buruj Andromeda sedang tinggi di sebelah utara. Bagi peminat Galaksi Andromeda, ini adalah waktu yang terbaik untuk merakam galaksi ini. Saya secara peribadi belum pernah berusaha untuk merakamnya kerana keadaan langit di rumah saya ini penuh dengan pencemaran cahaya. Tetapi bagi anda yang bernasib baik duduk di kawasan langit gelap, boleh cuba mencari galaksi ini.

Galaksi Andromeda, M 31. Imej dari DSS2 Aladin

Selasa, 4 Januari

Meteor Quadrantid akan memuncak pada jam 5 pagi. Meteor ini muncul dari langit sebelah timur laut dan menurut rekod kenampakan bilangan meteor ini disekitar 60 hingga 200 meteor setiap jam!

Tetapi kita kena tahu juga satu faktor penting, meteor Quandrantid ini hanya akan memuncak dalam lingkungan 4 jam sahaja! Maknanya, ia akan bermula aktif sekitar jam 3 pagi hingga 7 pagi waktu Malaysia.

Malangnya, radian meteor ini hanya terbit pada jam 4 pagi. Maka, bilangan meteor yang kelihatan tidaklah sebanyak seperti yang telah direkod oleh pencerap meteor sebelum ini.

Kedudukan radian meteor Quadrantids. Simulasi SkySafari

Walaupun begitu, prospek tahun 2022 ini agak bagus kerana tiada cahaya Bulan mengganggu pada waktu menjelang Subuh 4 Januari ini.

Pada waktu Maghrib, perhatikan kemunculan kembali Bulan sabit yang halus di langit barat. Ia akan berada hampir dengan planet Utarid dan juga planet Zuhal.

Rabu, 5 Januari

Subuh ini, teruskan pemerhatian terhadap planet Marikh dan juga kluster M 19. Kalau anda mengikuti pergerakan planet ini dari hari ke hari, anda akan dapat lihat kedua-dua objek ini semakin hampir antara satu sama lain.

Planet Zuhrah berada sekitar 7 darjah sahaja daripada Matahari. Secara amnya planet ini terlalu hampir dengan Matahari dan susah nak dilihat dengan mata kasar. Anda perlukan teleskop yang mempunyai kemampuan GoTo, serta pengetahuan mendalam mengenai cara-cara mencerap waktu siang. Ni bukan senang nak buat!

Rupa bentuk planet Zuhrah yang dirakam oleh penulis pada tahun 2017. shahgazer.net

Waktu selepas Maghrib kita akan dapat lihat deretan 4 buah objek menarik, bermula dengan Utarid paling rendah, diikuti Zuhal, Bulan dan paling atas ialah Musytari.

Kedudukan 4 deretan objek terang di langit sekitar 45 minit selepas Maghrib. Simulasi SkySafari.

Jangan lupa cuba perhatikan fenomena Earthshine pada Bulan. Selalunya waktu bulan sabit sebegini mudah nak lihat dan mudah nak dirakam menggunakan kamera.

Earthshine boleh dirakam dengan menetapkan waktu dedahan kamera pada lebih dari 1 saat. Foto oleh penulis. @ shahgazer.net

Khamis, 6 Januari

Seperti biasa, teruskan pandangan ke ufuk timur selepas Subuh, dan perhatikan perubahan kedudukan planet Marikh dan kluster M 19. Anda akan dapat lihat kedua-duanya semakin hampir.

Pada waktu Maghrib, Bulan sudah mula bergerak di atas dari planet Musytari. Namun, 4 buah objek Bulan, Musytari, Zuhal dan Utarid masih boleh kelihatan sederet.

Alang-alang tengah tengok langit tu, cuba pandang ke ufuk arah utara sekitar waktu Isya’. Kita boleh lihat buruj berbentuk huruf ‘M’ iaitu Cassiopeia dengan mudah. Perhatikan juga sebuah buruj yang ‘tidak ada bentuk yang jelas’ tetapi penuh dengan bintang-bintang yang terang, iaitu buruj Perseus di sebelah kanan atas dari buruj Cassiopeia.

Buruj Perseus ini dikenali ramai kerana ia mempunyai sebuah bintang bernama Algol, yang berubah-ubah kecerahannya setiap 2.8 hari. Bintang Algol ialah contoh sebuah jenis bintang binari gerhana (eclipsing binary) yang paling popular.

Kedudukan buruj Cassiopeia dan Perseus. Simulasi SkySafari.

Jumaat, 7 Januari

Pada Subuh ini, Marikh akan berada paling hampir dengan kluster bintang M 19, iaitu 3.3 darjah sahaja. Ini boleh dijadikan target rakaman astrofoto yang menarik. Sebagai perbandingan jarak dalam kelajuan cahaya, cahaya dari Marikh mengambil masa 19 minit untuk sampai ke Bumi, manakala cahaya dari kluster M 19 mengambil masa 29,000 tahun untuk sampai!

Kluster bintang M 19 (Imej dari data DSS Aladin)
Dapatkan maklumat lanjut mengenai fenomena sepanjang tahun 2022 menerusi ALMANAK ASTRONOMI 2022
0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments