Siap sedia untuk Komet Leonard C/2021 A1

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid

Peminat astronomi sekarang semuanya sedang menanti dengan penuh debar terhadap Komet Leonard C/2021 A1.

(Foto utama artikel kredit @kemkem001)

Pada 3 Januari 2021 lepas, ahli astronomer Greg Leonard dari Mt. Lemmon Observatory telah menemui komet ini. Ketika itu ia hanyalah sebuah ‘comot’ kecil di dalam frame gambar, bermagnitud 19. Kebetulan tarikh penemuan ini tepat setahun dengan tarikh perihelion komet ini.

Berdasarkan kiraan, komet ini telah pun melungsuri sistem suria dan menghala ke arah Matahari sejak 35,000 tahun! Kedudukan aphelion (jarak paling jauh dari Matahari) komet ini ialah 3500 A.U. ( 1 A.U. bersamaan jarak purata Bumi ke Matahari).

Komet ini akan berada paling hampir dengan Matahari pada 3 Januari 2022, pada jarak 0.62 A.U.

2 minggu sebelum itu, ia akan melintasi Bumi pada jarak selamat 34.9 juta kilometer pada 12 Disember 2021 nanti.

Sebagaimana diketahui, komet terdiri daripada gas, debu dan ais. Setiap kali ia menghampiri Matahari, ais-ais ini akan memejalwap. Masalahnya kita tidak tahu berapa banyak kuantiti ais yang akan terlibat. Oleh itu, agak sukar untuk kita meramal dengan tepat kecerahan yang terjadi hasil nanti.

Komet Leonard ini berpotensi untuk konsisten di dalam mengekalkan kecerahannnya. Antara sebabnya ialah komet ini pernah beberapa kali melintasi kawasan pedalaman sistem suria (hampir dengan Matahari), dan ais-ais yang ‘tidak stabil’ mungkin sudahpun memejalwap sebelum ini. Maka yang tinggal ialah kumpulan ais-ais yang lebih stabil.

Adakah Komet Leonard akan menjadi secerah Komet Neowise?

Aduhaiii.. Neowise oh Noewise… satu-satunya komet yang saya tak berpeluang melihat dengan jelas setelah perihelionnya. 😭

Beberapa hari lepas, twitter @Comet2021a1 melaporkan kemungkinan nukleus komet ini pecah, berdasarkan kecerahan komet ini yang menunjukkan tren tidak menaik. Rupa-rupanya laporan kecerahan ini telah diganggu oleh kehadiran cahaya Bulan, menyebabkan komet ini ‘nampak’ macam tak semakin cerah.

Cerapan yang dilakukan selepas hilangnya Bulan dari langit, menunjukkan Komet Leonard masih lagi aktif dan ‘mengikut jadual’ dengan masih ikut tren kecerahan yang dijangkakan.

Alhamdulillah.

Berdasarkan maklumat dari pengkaji komet, Komet Leonard dijangka akan bersinar cerlang pada magnitud 4 atau mungkin 3!

Cuba lihat foto-foto terbaru (setakat tarikh artikel ini ditulis)

https://twitter.com/NightLights_AM/status/1466150449145434129

Banyak lagi foto-foto menarik yang boleh diihat. Saya galakkan gelintar page twitter C/2021 A1 (Comet Leonard)

Page FB Comets and Asteroids juga telah berkongsi maklumat cerapan terkini (bawah) berdasarkan laporan daripada laman web COBS dan MPC, dan didapati komet in on course mengikut ‘jadual’ dari segi kecerahannya!

Apa khabar langit Malaysia?

Di Malaysia, setakat apa yang saya tahu, tidak ramai yang berjaya untuk merakam komet ini, walaupun kedudukannya agak tinggi di langit Subuh. Faktor cuaca yang berawan dan musim hujan yang sedang melanda sekarang adalah antara faktor utama.

Saya sendiri hanya dapat sekali je merakam komet ini, iaitu pada Subuh, 1 Disember 2021 lepas.

Foto oleh penulis pada 1 Disember 2021

Sifu astrofotografi kita, William Chin turut berjaya merakamnya dari langit Klang.

Foto oleh William Chin pada 1 Disember 2021

Berdasarkan kecerahannya ketika artikel ini ditulis (magnitud 6.5), ia sudah boleh dilihat seperti sebutir bintang yang amat kelam dari langit yang gelap dan tiada gangguan cahaya.

Dari kawasan bandar, ia masih sukar dilihat dengan mata. Anda perlu sekurang-kurangnya binokular untuk menjejaki komet ini.

Pada waktu cahayanya memuncak, kedudukannya pun amat hampir dengan ufuk dan juga matahari. Oleh itu, saya cadangkan perlengkapkan diri dengan sebuah binokular atau teleskop kecil.

Saya tidak jangkakan ia akan mencari secerah Komet Neowise dahulu.

Di manakah kedudukan Komet Leonard sekarang?

Berikut merupakan momen-momen menarik pergerakan Komet Leonard dari langit Malaysia.

  • 4 Dis – Berada sekitar 23 darjah di atas ufuk timur-timur-laut pada waktu Subuh (Astronomical Twilight)
  • 6 Dis – Berada 5.5 darjah dari bintang Arcturus. Berada 19 darjah di atas ufuk pada waktu Subuh.
  • 9 Dis – Semakin rendah. Hanya 8 darjah di atas ufuk pada waktu Subuh.
  • Selepas 10 Dis – Rendah di ufuk timur. Kena tunggu 30 minit selepas Subuh barulah ia tinggi sedikit. Tetapi keadaan langit sudah semakin terang ketika itu.
  • 13 Dis – Komet Leonard melintasi Bumi pada jarak 34.9 JUTA km. (Paling hampir). Tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana berada hampir dengan Matahari.
  • 14 Dis – Mula muncul di langit selepas Maghrib (sunset) pula di ufuk barat. Masih rendah ketika Matahari terbenam.
  • 17 Dis – Berada 6 darjah di bawah planet Zuhrah
  • 18 Dis – Berada 5 darjah ke bawah dan ke kiri dari Zuhrah
  • 19 Dis – Berada 7 darjah ke kiri dari Zuhrah

Secara amnya, kecerahan komet ini akan MEMUNCAK selepas ia muncul di langit Maghrib nanti. Ketika itulah antara waktu yang paling baik untuk merakam dan menjejaki komet ini.

Peta laluan Komet Leonard dari Malaysia

Berikut merupakan peta laluan Komet Leonard dari langit Malaysia pada hari-hari sebelum dan selepas komet ini melepasi Bumi kita.. Simulasi dari aplikasi Skycharts.

Jika anda ingin menjana peta seumpama ini, pastikan anda telah mengemaskini data solar systems objects atau seumpamanya di dalam aplikasi masing-masing.

Langit sebelah TIMUR sekitar 30 minit selepas Subuh (Astronomical Twilight) bermula.
Langit sebelah BARAT sekitar 30 minit selepas Maghrib (sunset).

Tambahan (13 Dis): Simulasi di bawah menunjukkan kedudukan Komet Leonard sekitar 30 minit selepas Maghrib, sehingga hujung bulan Disember ini.

Mencerap apa jua fenomena pun dari Malaysia, pada bulan-bulan November dan Disember ini memang amat-amat mencabar. Saya tidak begitu menaruh harapan besar untuk dapat melihat komet ini secara konsisten, namun saya galakkan kita terus istiqamah (konsisten) dan sentiasa siap sedia peralatan kita sepanjang bulan Disember ini.

Manalah tahu tiba-tiba langit cantik! InsyAllah.

Selamat mencerap!

3 1 vote
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments