Kita dah sampai ke penghujung tahun, dan seperti biasa musim Meteor Geminids akan mula memuncak pada waktu ini. Apakah prospek kenampakan meteor ini untuk tahun 2021?
Geminids merupakan sekumpulan meteor yang muncul dari langit kawasan buruj Gemini. Sedikit unik bagi meteor ini ialah ia tidak berasal daripada komet (seperti mana majoriti daripada meteor-meteor lain), tetapi ia berasal daripada sebuah asteroid bernama 3200 Phaethon. Namun asteroid ini pun agak unik kerana perangai asteroid ini kadang-kadang seperti sebuah komet, ia menghamburkan debu apabila bergerak menghampiri matahari.
Debu-debu inilah yang menghasilkan meteor Geminids.
Prospek 2021
Meteor Geminids memuncak pada malam 13 dan 14 Disember 2021. Berdasarkan kedudukan Bulan pada tahun ini, Bulan akan berada di dalam fasa yang agak besar baru melepasi fasa sukuan awal.
Ini bermakna Bulan hanya akan terbenam pada sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.
Titik muncul Geminids ini ialah dari kawasan buruj Gemini. Buruj ini akan mula terbit sekitar jam 9 malam dan kelihatan sepanjang malam sehingga ke Subuh.
Oleh itu, jika anda ingin cuba mencerap kemunculan meteor ini sebelum tengah malam, cahaya Bulan akan mengganggu penglihatan meteor-meteor ini. Hanya selepas jam 3 pagi barulah dapat suasana langit yang gelap dan sesuai untuk cerapan meteor.
Bilangan meteor Geminids secara puratanya ialah sekitar 120 sejam! Bilangan ini memang nampak banyak! Tetapi kita harus faham bahawa bilangan ini boleh dicapai jika:
- Berada di kawasan langit yang 100% gelap dan tiada gangguan cahaya langsung.
- Titik muncul (radian) Geminids berada tegak di atas kepala.
Oleh itu, jika kita tidak dapat memenuhi kedua-dua kriteria ini, bilangan 120 setiap jam itu tidak akan dapat dicapai.
Di Malaysia, buruj Gemini tidak akan bergerak di atas kepala, maka itu pun menjadi salah satu faktor bilangannya kurang sedikit.
Namun begitu, jika anda berada di kawasan yang jauh bandar besar, mungkin akan dapat lihat bilangan di dalam purata sekitar 1 meteor setiap 5-10 minit.
Kena ingat ye, bilangan ini hanya anggaran sahaja. Ia banyak bergantung kepada keadaan persekitaran dan keupayaan/pengalaman anda sendiri mencerap meteor-meteor ini.
Arah untuk melihat meteor Geminids
Sila search artikel FalakOnline mengenai meteor-meteor sebelum ini untuk mendapatkan panduan cara mencerap meteor. Ia sama sahaja untuk mana-mana musim meteor pun.
Untuk Geminids tahun ini, saya galakkan anda tumpukan ke kawasan langit yang berlawanan dari arah Bulan. Gemini akan terbit pada sekitar jam 9 malam (8 malam di Sabah). Pada ketika itu Bulan berada hampir tegak di atas kepala. Tumpukan pemerhatian anda di kawasan ufuk timur dan utara.
Apabila menjelang tengah malam masuk tarikh 14 Disember nanti, Gemini akan semakin tinggi di arah Timur Laut. Tumpukan ke arah situ, dan juga ke langit timur dan tenggara.
Pada waktu ini, meteor-meteor yang muncul akan kelihatan panjang.
Hanya setelah Bulan terbenam sekitar jam 3 pagi, barulah anda boleh halakan pandangan ke mana-mana kawasan langit pun. Menjelang Subuh, meteor-meteor ini akan kelihatan lebih laju dan pendek.
Meteor-meteor ini akan muncul sekelip mata. Paling lama pun 3-4 saat jika ia sebuah meteor jenis bolide atau fireball… itu pun kadang-kadang je ia muncul seperti ini. Jika anda bernasib baik terlihat meteor jenis fireball ini, perhatikan warnanya. Fireball dari Geminids ini dikenali ramai dengan warnanya yang agak terang, hijau dan kadang-kadang kuning dan jingga!
Secara amnya
- Meteor Geminids akan memuncak malam ini (13 Disember) hingga ke Subuh esok (14 Disember)
- Cahaya Bulan akan sedikit mengganggu kenampakan meteor ini untuk tahun ini.
- Bulan hanya akan terbenam sekitar jam 3 pagi ( 2 pagi di Sabah). Ketika ini barulah langit betul-betul gelap.
Selamat mencerap semua!
#jomteropong