Gerhana Bulan Penuh akan berlaku hari ini tapi tak nampak di Malaysia.

Peminat astronomi dan pemerhati langit bakal berpeluang menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh pada hari ini 16 Mei 2022. Malangnya kita di Malaysia dan negara-negara sama hemisfera dengan kita tidak berpeluang untuk menyaksikannya.

Keadaan Bulan ketika di kemuncak fasa gerhana bulan penuh yang dirakam oleh penulis pada tahun 2018. Sumber.

Kiraan falak menunjukkan waktu fasa-fasa gerhana bulan ini seperti berikut (waktu Malaysia GMT+8):

  • Fasa gerhana separa bermula – 10:28 am
  • Fasa gerhana penuh bermula – 11:29 am
  • Kemuncak fasa gerhana penuh – 12:11 pm
  • Fasa gerhana penuh tamat – 12:53 pm
  • Fasa gerhana separa tamat – 1:55 pm

Jelas daripada kiraan di atas, fenomena ini berlaku pada waktu siang (tengahari) di Malaysia. Ketika itu Bulan berada di bawah ufuk dan tidak kelihatan di sini.

Peta kenampakan gerhana bulan penuh pada 16 Mei 2022. Kredit: NASA’s Scientific Visualization Studio.

Negara-negara di benua Amerika, Afrika dan Eropah bakal menyaksikan kejadian ini.

Secara amnya, keseluruhan fasa gerhana penuh kali ini ialah selama 1 jam 25 minit.

Kali ini juga Bulan berada hampir dengan kedudukan perigee. Maka, bentuk Bulan akan kelihatan sedikit besar bebanding biasa.

Zaman sekarang ni ramai penulis dan ahli astronomi sendiri suka sangat memberi gelaran kepada fenomena ini. Gerhana kali ini tidak terkecuali apabila ia digelar sebagai the Super Flower Blood Moon eclipse. Gelaran cacamarba ini gabungan beberapa gelaran lain iaitu:

  • Super Moon – merujuk kepada fenomena Bulan Perigee
  • Flower Moon – merujuk kepada nama gelaran Bulan Penuh yang berlaku dalam bulan Mei oleh masyarakat asli di Amerika Utara.
  • Blood Moon – merujuk kepada warna ‘merah pekat‘ ketika fenomena gerhana penuh berlaku.

Trend sekarang suka sangat memberi gelaran macam tu, dan tidak terkecuali laman-laman web ‘astronomi’ popular. Saya secara peribadi tidak begitu menggemarinya.

Ada banyak laman web yang akan menyiarkan secara langsung fenomena ini. Antaranya ialah seperti di bawah:

Adakah saya akan menyiarkan secara langsung? Tidak… sebab fenomena ini tidak kelihatan di Malaysia dan saya tak suka curi live feed channel orang lain untuk naikkan viewership.

Apa pun boleh terus tonton live strim di atas. Bagi sokongan kepada streamer yang original!

Banyak lagi rasanya yang akan buat siaran secara langsung ini, cuma kita kena berhati-hati kerana ada juga channel youtube yang menyiarkan ‘video lama’ dan menyatakan kononnya itulah yang sedang berlaku! haishhhhhh…

Fakta menarik mengenai gerhana ialah ia tak akan berlaku secara ‘berseorangan’. Gerhana Bulan selalunya akan ‘ditemani’ oleh Gerhana Matahari yang berlaku 2 minggu sebelum atau selepas. Jika ada yang ingat pada 30 April 2022 lepas telah pun berlaku Gerhana Matahari Separa di kawasan Antartika dan negara-negara selatan.

Kita di Malaysia pula akan dapat menyaksikan Gerhana Bulan Penuh pada 8 Nov 2022.

Selamat menonton semua!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: