Pada jam 12:52 am, 15 Ogos 2022 waktu Malaysia, planet Zuhal kembali berada pada kedudukan istiqbal, yakni bersetentang dengan Matahari.
Pada tarikh ini, sebaik sahaja Matahari terbenam di barat, planet Zuhal akan mula terbit di timur.
Istiqbal atau di dalam istilah astronomi opposition bermaksud sesebuah objek di dalam sistem suria berada 180 darjah dari Matahari, apabila dilihat dari langit Bumi. Dalam erti kata lain, Bumi akan berada di tengah-tengah di antara Matahari dan objek tersebut.
Di dalam kes ini, giliran planet Zuhal pula.
Apa yang menarik ketika istiqbal ini?
Ketika waktu ini, planet Zuhal akan kelihatan sepanjang malam sehinggalah Matahari terbit pada keesokannya. Ini bermaksud kita boleh meneropongnya sepuas hati hampir 12 jam secara berterusan!
Momen ini juga selalunya dikaitkan dengan jarak Zuhal akan berada paling hampir dengan Bumi. Menurut aplikasi SkySafari 6 Pro, jarak Zuhal dengan Bumi pada momen istiqbal ini ialah 1.325 BILION km!
Jauh tu!
Adakah hanya waktu ini sahaja kita boleh lihat Zuhal?
Tidak! Sebenarnya planet Zuhal ini dah lama kelihatan sejak awal tahun lagi! Cuma ketika itu ia terbit lewat dan hanya dapat dilihat pada waktu menjelang Subuh. Setelah Bumi sedikit demi sedikit mula ‘mengejar’ Zuhal di dalam pusingan orbitnya, planet ini akan kelihatan terbit lebih awal dari hari ke hari.
Selepas ini Zuhal tetap boleh dilihat di langit dan akan terbit 4 MINIT LEBIH AWAL setiap hari.
Apa yang menarik untuk dicerap?
Planet Zuhal terkenal dengan sistem gelangnya yang amat cantik!
Bagi yang perasan, sudut gelang planet ini untuk tahun ini lebih landai berbanding tahun lepas. Ini menunjukkan sudut satah orbit Bumi berbanding planet ini semakin mengecil.
Saya sendiri belum sempat merakam planet Zuhal untuk tahun 2022 ini!
Rajah di bawah menunjukkan simulasi rupa bentuk Zuhal menerusi aplikasi SkySafari 6 Pro.
Tak lama lagi kita akan melihat gelang Zuhal betul-betul dari sudut tepi dan akan kelihatan seperti satu garisan sahaja!
Gelang planet ini amat mudah dilihat walaupun kita menggunakan teleskop yang kecil dan panjang fokal sekitar 500mm pun dah mencukupi. Namun, untuk melihatnya dengan lebih cantik, gunalah teleskop yang lebih besar atau kanta mata yang sesuai.
Bulan-bulan planet ini majoritinya agak kelam kecuali satu, Titan. Bulan Titan ini sebenarnya lebih besar dari planet Utarid. Menurut pengalaman saya, bulan ini terang dan mudah dilihat menerusi teleskop.
Foto di bawah telah saya ambil pada tahun 2017 yang turut berjaya merakam bulan Titan sekali.
Di manakah kedudukan Zuhal sekarang dan adakah ia boleh dilihat dengan mata kasar?
Zuhal berada di dalam kawasan buruj Capricornus, sebuah buruj besar di sebelah timur dari buruj Sagittarius.
Walaupun planet ini tidaklah se-gah dan seterang seperti planet Zuhrah dan Musytari, ia tetap boleh dilihat dengan mudah menerusi mata kasar, dan kelihatan seperti sebuah bintang yang sederhana terang di sebelah timur langit sekitar waktu Isya’ pada ketika ini.
Rajah di bawah menunjukkan kedudukan Zuhal di langit timur sekitar 1 jam selepas waktu Isya’ dari langit Malaysia dan Asia Tenggara.
Selamat mencerap!