1 minute read

Sebuah lagi komet, Komet C/2024 E1 (Wierzchos) sedang muncul di langit senja.

Penemuan awal

Komet C/2024 E1 (Wierzchos) berada pada kedudukan terhampir dengan Matahari (perihelion) pada 20 Januari 2026. Ketika ini ia sudah mula muncul dan boleh cuba dijejaki di langit senja kita selepas Maghrib.

Komet ini dikatakan berasal dari kawasan Awan Oort dan ditemui oleh ahli astronomi dari Poland, Kacper Wierzchos pada 3 Mac 2024, ketika sedang melakukan cerapan rutin di Mount Lemmon Survey, Arizona. Sejak penemuan itu, komet ini didapati semakin terang menuju ke perihelion haritu.

Sekali je lintas

Istimewa komet C/2024 E1 (Wierzchos) ini ialah orbitnya berbentuk hiperbolik dengan nilai eccentricity bersamaan 1.000078. Maksudnya di sini ialah komet ini besar kemungkinan baru kali pertama memasuki ke kawasan pendalaman Sistem Suria kita ini. Selepas perihelion pada jarak hanya 0.56 AU (atau 85 juta km) dari Matahari haritu, ia akan dihumban keluar dari Sistem Suria dan tak akan kembali sampai kiamat.

(Atas: Orbit Komet C/2024 E1 (Wierzchos). Simulasi dari SkySafari 6 Pro)

Komet yang mempunyai orbit sebegini selalunya memulakan perjalanan masuk ke Matahari jutaan tahun dahulu dari kawasan sejuk kekal di Awan Oort, kawasan simpanan ketul-ketul ais peninggalan ketika Sistem Suria ini baru terbentuk berbilion tahun dulu.

Laluan di langit

Buat masa ini, komet ini rendah di ufuk Barat Daya selepas Maghrib, berada di dalam buruj Grus di langit selatan. Di jangkakan komet ini akan berada di kemuncak kecerahan pada 26 Januari 2026 ini pada magnitud 8.5 (jauh di bawah keupayaan mata kasar). Walaupun kelam, menurut laporan dari *comet-ml *pagi tadi, pencerap David Seargent, berjaya menjejakinya secara visual menggunakan binokular 25x100. Kalau nak ambil gambar rasanya lebih mudah.

(Atas: Carta kecerahan Komet C/2024 E1 (Wierzchos) dari 1 Januari 2025 . Sumber dari COBS)

Kalau ikutkan laluannya, Komet C/2024 E1 ini agak sesuai dengan negara-negara di hemisfera selatan dan juga kita di Khatulistiwa. Ia setiap hari akan semakin tinggi sikit demi sikit, namun semakin kelam

Rujuk peta kedudukan altitud komet di bawah yang dikira sekitar 15 minit selepas Maghrib.

(Atas: Kedudukan Komet C/2024 E1 (Wierzchos) dari 24 Jan hingga 7 Feb 2026 15 minit selepas Maghrib dari langit Malaysia dan Asia Tenggara. Janaan starplot)

Jom kita cuba jejaki komet ini sementara menunggu kedatangan Ramadan Al-Mubarak

Sumber

  • https://en.wikipedia.org/wiki/C/2024E1(Wierzcho%C5%9B)
  • https://starwalk.space/en/news/upcoming-comets
  • https://astro.vanbuitenen.nl/comet/2024E1
  • https://cobs.si/comet/2513/
  • https://www.skylook.org/comet_info?designation=C%2F2024+E1+%28Wierzchos%29
  • https://in-the-sky.org/news.php?id=2026_19_CK24E010_101
  • https://newwaveparticle.com/comet-c-2024-e1-wierzchos-how-to-see-this-oort-cloud-wonder-in-2025-2026/

​