Ringkasan fenomena samawi sepanjang bulan Februari 2026
Fasa-fasa Bulan
Bulan Penuh berlaku pada 2 Februari jam 6:09 pagi, ketika Bulan berada di dalam buruj Cancer. Terjelmanya fasa bulan ini menandakan kita tinggal 2 minggu sahaja untuk masuk bulan Ramadan Al-Mubarrak. Pada 9 Februari jam 8:43 malam pula, Bulan memasuki fasa Sukuan Akhir di dalam buruj Libra. Fasa Bulan Baru pula berlaku pada 17 Februari jam 8:01 malam, dan Bulan Sukuan Awal akan berlaku pada 24 Februari jam 8:33 malam di dalam buruj Taurus.
Gerhana Matahari Cincin
Fenomena gerhana pertama untuk tahun ini ialah Gerhana Matahari Cincin yang akan berlaku pada 17 Februari 2026. Malangnya, fenomena ini tidak dapat dilihat dari Malaysia. Fasa Gerhana Cincin hanya boleh dilihat dari benua Antartika, sementara negara Chile, selatan Argentina, Afrika Selatan hanya dapat melihat fasa Gerhana Separa sahaja.
(Atas: Kawasan Gerhana Matahari Cincin pada 17 Februari 2026. Sumber Eclipswise.com)
Lintasan Bulan dengan Planet, dan Planet dengan planet
Pada 11 Februari jam 2:50 pagi, Bulan akan berada 3.6° dari bintang Antares ketika 45 minit selepas terbit. Kalau ikutkan fasa Bulan yang agak besar ketika ini, cahayanya akan mengganggu sedikit bagi anda yang berhajat nak merakam Bima Sakti yang sedang terbit.
(Atas: Kedudukan Bulan berada di dalam kawasan Bima Sakti. Sumber Sky Safari)
Pada Maghrib 18 Februari 2026, bersamaan malam 1 Ramadan, Bulan akan melintas dekat sahaja dengan Zuhrah. Pemandangan ini amat menarik untuk dilihat dari kawasan ufuk barat yang luas dan kosong, terutama dari tepi pantai.
(Atas: Kedudukan Bulan dan Zuhrah pada Maghrib, 1 Ramadan. Sumber Sky Safari)
Pada 25 Februari, Bulan Perigee (kedudukan Bulan paling dekat dengan Bumi) berlaku pada jam 3:20 petang, iaitu 18.9 jam selepas berlakunya fasa Bulan Sukuan Awal. Pada waktu ini, peratusan Bulan bercahaya adalah 59.1% dengan saiz 32.5 arkaminit dan umur Bulan 7.8 hari. Maknanya pada waktu Maghrib tarikh yang sama, Bulan Sukuan Awal yang kita lihat tu adalah antara yang terbesar untuk tahun 2026.
Pada 20 dan 21 Februari 2026, Zuhal dan planet Neptune akan berada kurang dari 1 darjah antara satu sama lain. Ini boleh dikatakan amat dekat dan boleh muat di dalam satu medan pandangan teleskop! Cabarannya ialah ia agak rendah di ufuk barat. Altitudnya sekitar 20 darjah pada ketika 30 minit selepas Maghrib.
Pada 25 Februari jam 7:27 petang ketika Maghrib, planet Utarid berada 10.0° dari Zuhal. Dua hari kemudian pada 27 Februari jam 7:27 petang ketika Maghrib, Bulan pula berada 5.2° dari Musytari. Lintasan Bulan dengan Musytari ini selalunya amat menarik kerana kedua-dua objek ini amat terang.
Planet Zuhrah pun sekarang sudah mula perlahan-lahan muncul di ufuk barat, sebaik sahaja waktu Maghrib.
Elongasi maksimum Utarid
Bagi yang teringin nak melihat planet Utarid, pada 19 Februari 2026, Utarid berada pada kedudukan paling jauh daripada Matahari, iaitu sekitar 18 darjah. Ini bakal memudahkan kita untuk mencari planet ini di ufuk barat sekitar waktu Maghrib.
Viral penjajaran planet
Mungkin ada yang terbaca viral yang mengatakan berlaku lagi penjajaran planet pada hujung bulan Februari ini. Sebenarnya, seperti yang saya pernah tulis tahun lepas, planet-planet di langit ini memang sentiasa sejajar atau sebaris di dalam satu garisan ekliptik. Bukanlah sesuatu yang pelik dan baru.
Saya agak risau kerana ada rajah menunjukkan planet-planet seperti terang dan besar di langit. Padahal yang mudah untuk dilihat hanyalah Musytari dan Zuhrah. Zuhal pun agak biasa-biasa je, seperti bintang yang sederhana terang. Uranus dan Neptune lagi la tak boleh nampak dengan mata. Utarid pun agak mencabar kerana ia agak kelam dan rendah di ufuk barat selepas Maghrib.
(Atas: Kedudukan planet-planet dan Bulan (yang hanya boleh dilihat dengan mata kasar) pada 20 Feb 2026. Sumber Sky Safari)
Maknanya di sini, ‘penjajaran’ ini bukanlah sesuatu yang ‘grand’ dan terang benderang.
Selamat menyambut Ramadan semua!
Sumber
- https://falakonline.net/semesta/almanac/2026-almanak-astronomi/
- https://falakonline.net/semesta/berita/fenomena/penjajaran-planet-25-januari-2025-sejauh-mana-uniknya-fenomena-ini/
- https://eclipsewise.com/solar/SEprime/2001-2100/SE2026Feb17Aprime.html