2 minute read

Atas: Contoh kemunculan meteor yang terang.Video asal di sini.

Juraian meteor popular, Perseids , sudah kembali! Meteor ini mula aktif di antara 14 Julai hingga 1 September setiap tahun. Tarikh kemuncaknya ialah 12-13 Ogos.

Berdasarkan maklumat dari IMO, secara amnya dari kawasan langit gelap di luar bandar, sebanyak 50-75 meteor dapat dilihat setiap jam.

Bilangan rasminya ZHR (Zenithal Hourly Rate) ialah 100 meteor setiap jam.

Maklumat terkini (apabila artikel ini ditulis), meteor Perseids ini sudah aktif dan sudah banyak laporan dihantar ke IMO.

Tangkap layar graf kenampakan meteor Perseids dari IMO.net pada 5 Ogos 2025

Meteor-meteor Perseid ini akan kelihatan muncul dari kawasan buruj Perseus di langit sebelah utara. Titik muncul meteor ini dipanggil radian.

Radian Perseids akan terbit sekitar 1 pagi (12 tengah malam di Sabah) dari timur-laut. Ketika ini meteor-meteor yang muncul akan kelihatan seperti muncul dari bawah ufuk naik ke atas!

Titik radian meteor Perseid mula terbit sekitar jam 1 pagi (12 tengah malam di Sabah)

Menjelang Subuh , barulah radian ini berada pada kedudukan paling tinggi di sebelah utara.

Kedudukan titik radian Perseids sekitar Subuh.

Meteor Perseids ini berasal dari sebuah komet bernama 109P/Swift-Tuttle. Komet ini dah banyak kali berpusing mengelilingi Matahari. Kesannya ialah habuk dan debu dari komet tersebut seringkali akan berlanggar dengan Bumi pada tarikh-tarikh di antara 14 Julai hingga 1 September.

Animasi di bawah dari https://www.meteorshowers.org/view/Perseids menunjukkan kawasan debu dan habuk meteorid Perseids yang mengorbit Bumi. Setiap setahun sekali Bumi (yang bergerak di dalam orbit bulatan warna biru) akan melintas masuk ke kawasan laluan meteoroid Perseids lalu menghasilkan bilangan meteor yang banyak pada tarikh 12/13 Ogos setiap tahun

Apakah potensi kenampakan meteor Perseids untuk tahun 2025?

Cabaran paling besar untuk tahun ini ialah Bulan. Pada 12 Ogos 2025 tu nanti, Bulan baru sahaja beberapa hari melepasi Bulan Penuh. Maknanya fasanya masih besar dan cahaya Bulan masih terang menyinari langit!

Fasa Bulan pada awal pagi 12 Ogos 2025. Simulasi Sky Safari

Kesannya ialah cahaya Bulan ini akan menenggelamkan meteor-meteor yang kelam. Hanya meteor yang terang-terang sahaja akan dapat dilihat.

Menurut laporan IMO.net lagi, bilangan meteor yang dijangka nampak akan berkurangan sebanyak 75% !

Namun begitu, janganlah berasa kecewa sangat. Dah banyak kali otai-otai meteor di Malaysia yang dah berjaya merakam meteor dalam suasana terang dengan cahaya Bulan.

Tipsnya ialah jangan pandang ke kawasan langit yang dekat dengan Bulan. Tumpukan pemerhatian ke arah kawasan jauh dari Bulan akan membelakangkan cahaya Bulan.

Jangan lupa juga, pada Subuh 12 Ogos 2025 tu nanti, perhatikan juga pasangan planet Zuhrah dan Musytari yang sedang terbit di ufuk timur.

Berdasarkan rajah di bawah, saya syorkan agar kita pandang ke kawasan langit di antara tenggara hinggalah ke utara. Di situ poin paling jauh dari cahaya Bulan.

Di bawah pula ialah rakaman meteor-meteor Perseids yang dirakam dari balai cerap saya berhampiran Kuala Lumpur menggunakan kamera planetari ZWO zaman-zaman covid dulu!

Selamat mencerap!