2 minute read

Lintasan Zuhrah dan Musytari pada 24 November 2019.

Langit Subuh sepanjang 2-3 minggu akan datang ini amat sibuk dan meriah! Sedar tak sedar, planet Musytari sudah mula terbit sekitar waktu Subuh. Dalam masa beberapa hari mendatang, ia akan semakin tinggi. Sementara itu planet Zuhrah yang juga merupakan objek paling cerah di langit timur selepas Subuh ketika ini, akan mula bergerak semakin rendah.

Kemuncaknya ialah pada 12-13 Ogos 2025 ini, yang mana kedua planet ini akan saling melintasi antara satu sama lain pada jarak yang dekat, iaitu lebih kurang 1 darjah sahaja!

Jika masih ingat, sebelum ini dah banyak kali kedua planet terang ini saling bertemu, samada ia berlaku waktu Maghrib atau Subuh. Fenomena lintasan planet ini dikenali juga sebagai planetary conjunction. Ini adalah momen indah untuk diamati dengan mata kasar. Dan jika kedua planet ini berada amat dekat, planet-planet ini akan dapat dilihat dalam pandangan teleskop secara serentak.

Ia bukanlah sesuatu fenomena yang pelik sebab ia pernah berlaku sebelum ini, kesan pergerakan planet-planet ini bergerak di langit kita. Ia tidak membawa apa-apa kesan kepada Bumi , sebab apa yang kita nampak tu adalah terlalu jauh dari Bumi, cuma kebetulan dari sudut pandangan kita nampak kedua-dua planet ini macam dekat.

Lintasan Zuhrah dan Musytari pada 23 Januari 2019.

Jadi, apa yang bakal berlaku nanti?

Secara amnya, kemuncak fenomena kali ini ialah apabila Zuhrah dan Musytari akan berada amat dekat, iaitu 0.9 darjah sahaja antara satu sama lain. Lebih kurang 2 kali saiz bulan purnama.

Menerusi mata, kita akan dapat lihat kedua planet ini seperti ‘bintang kembar’ yang terang pada waktu Subuh, 12 Ogos 2025.

Jika teleskop yang anda guna boleh memuatkan 2 buah Bulan, maka cuba halakan ke arah planet-planet ini pada tarikh di atas. Anda akan dapati kedua-dua planet ini boleh dilihat serentak dalam satu medan pandangan teleskop.

Namun begitu, janganlah tunggu sehingga tarikh 12 Ogos tu pulak! Hari-hari sebelum itu pun dah menarik untuk dilihat.

Menurut kiraan, sejak 2 Ogos lepas, kedua planet ini sudah pun berada 10 darjah antara satu sama lain dan setiap hari ia akan semakin dekat.

Rajah di bawah menunjukkan posisi planet Zuhrah dan Musytari yang dapat dilihat sekitar waktu Subuh, bermula esok, 5 Ogos 2025 sehinggalah 21 Ogos 2025. Bulatan hijau menunjukkan ruang langit bersaiz 10 darjah (lebih kurang sebesar tapak tangan kita).

Nota 1: Pada 19-21 Ogos, Bulan sabit tua pula akan melintas berhampiran. Paling menarik ialah pada 20 Ogos 2025 , apabila Bulan, Zuhrah dan Musytari, kesemuanya akan berada dalam lingkungan bulatan 10 darjah sahaja.

Nota 2: Pada 21 Ogos 2025 , jika tunggu lewat sikit, sekitar 15-20 minit selepas Subuh, anda mungkin berpeluang dapat lihat planet Utarid rendah di bawah Bulan (rujuk rajah terakhir).

Nota 3: Pada 12 Ogos 2025, kebetulan ini adalah masa kemuncak meteor Perseids!

Saya amat galakkan semua untuk merakam detik-detik indah ini bermula esok sehinggalah 21 Ogos 2025 nanti. Kita akan dapat lihat dengan jelas perubahan posisi planet-planet ini di langit berbanding bintang-bintang yang ada disekeliling.

5 Ogos 2025

7 Ogos 2025

9 Ogos 2025

11 Ogos 2025

12 Ogos 2025

13 Ogos 2025

19 Ogos 2025

20 Ogos 2025

21 Ogos 2025 - 15 minit selepas Subuh

Selamat mencerap!