3 minute read

Terbaca di berita utama laman web spaceweather.com pagi tadi, yang mengatakan data dari balai cerap Vera C. Rubin Observatory menunjukkan saiz Comet 3I/ATLAS ini adalah sekitar 11 km. Ini meletakkan ia sebagai objek interstellar paling besar yang ditemui setakat ini!

Interstellar? Movie ka?

Bagi yang kali pertama dengar cerita ni, meh pakcik terangkan sikit.

Sebelum ini, objek seperti komet dan asteroid, merupakan objek-objek yang mengelilingi Matahari kita, dan terletak di dalam ruang lingkup tarikan graviti Matahari.

Namun, pada tahun 2017 , sebuah objek bernama 1I/’Oumuamua , dijumpai dan orbitnya menunjukkan objek ini datang dari luar sistem suria kita! Boleh rujuk artikel asal FalakOnline mengenai Oumuamua di sini.

Selepas itu, pada tahun 2019 , sebuah lagi objek bernama 2I/Borisov ditemui dan ia juga kelihatan datang dari luar sistem suria.

Kedua-dua objek ini dikenali sebagai objek antara bintang atau interstellar. (Belum ada istilah rasmi Bahasa Melayu yang saya temui setakat ini).

Apabila 3I/ATLAS ditemui, orbitnya di dalam bentuk hiperbolik , bermaksud ia juga tidak terikat dengan graviti Matahari dan datang dari kawasan pendalaman angkasa lepas. Kiraan lanjut daripada orbit objek ini menunjukkan ia hanya melintas masuk dan keluar kembali ke angkasa lepas.

Datang jenguk ziarah sekejap je tu.

This animation shows the observations of comet 3I/ATLAS when it was discovered on July 1, 2025. The NASA-funded ATLAS survey telescope in Chile first reported that the comet originated from interstellar space. Animasi menunjukkan beberapa siri foto terhadap Comet 3I/ATLAS, ketika ia ditemui pada 1 Julai 2025. Credit: ATLAS/University of Hawaii/NASA

3I/ATLAS ditemui pada 1 Julai 2025 oleh Balai Cerap ATLAS (Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System), di Rio Hurtado, Chile. Pada awalnya ramai mengganggapnya sebagai komet ‘biasa’ yang beru ditemui.

Namun, pemerhatian lanjut menunjukkan ia bergerak sungguh laju, 221,000 km sejam , dan orbitnya berbentuk hiperbolik. Bukti ini menunjukkan ia mungkin berasal dari sistem bintang lain dan atas sebab-sebab yang tidak dapat dipastikan, terpelanting keluar dari sistem bintang itu dan melayang-layang di kawasan antara bintang-bintang.

Setelah ia terapung-apung berseorangan selama jutaan atau bilion tahun, pergerakan ia meletakkan ia masuk ke dalam kawasan sistem suria kita. Ketika ia ditemui, ia muncul dari arah buruj Sagittarius pada jarak 670 juta km dari Matahari, sekitar dalam kawasan jarak orbit planet Musytari.

Adakah ia bakal berlanggar dengan Bumi kita? (soalan favourite orang ramai)

TIDAK SAMA SEKALI. Trajektori objek ini walaupun membawanya masuk ke dalam kawasan sistem suria dan bergerak hampir ke arah Matahari, ia tidak akan berada hampir dengan Bumi pun. Paling dekat ialah pada jarak 240 JUTA km atau 1.6 Astronomical Unit (AU).

Comet 3I/ATLAS orbitTrajektori Comet 3I/ATLAS dari JPL HORIZONS dan Bob King (SkyandTelescope)

Banyak teori yang pelik-pelik telah keluar. Antaranya, seorang professor astrofizik bernama Avi Loeb , menyatakan ia sebuah kapal angkasa mahkluk asing yang sedang datang buat survey ke kawasan sistem suria kita, dan kemudian ia akan balik semula. Boleh baca kajiannya di sini.

Independence Day Film GIF - Independence Day Film Movie - Discover & Share  GIFs

phew phew phew..

Berbalik kepada kisah di laman spaceweather.com tadi, data terbaru menunjukkan saiz 11 km itu agak besar. Sebelum ini susah nak mengira bentuk nukleusnya, kerana muncul begitu banyak debu di sekeliling objek ini. Kemunculan debu ini mirip seperti sifat komet-komet sebelum ini. Itulah mungkin sebab pada asalnya ramai menganggap ia adalah komet ‘biasa’.

Alien spacecraft: Bright circular object in the middle with a fuzzy oblong halo around it.Foto koma yang muncul disekitar 3I/ATLAS. Kredit International Gemini Observatory/ NOIRLab/ NSF/ AURA/K. Meech (IfA/U. Hawaii). Imej diproses oleh Jen Miller & Mahdi Zamani (NSF NOIRLab).

Ketika ia semakin menghampiri Matahari, ia akan berada dalam kawasan silau Matahari dan tak dapat nak dicerap dari Bumi. Ketika ini ia bersinar amat kelam diluar kemampuan teleskop amatur. Namun ia sedang dipantau oleh balaicerap besar dunia sekarang, sehinggalah bulan September 2025 nanti apabila ia hilang dari pandangan (silau Matahari). Ia akan muncul kembali awal Disember 2025.

3I/ATLAS menjadi tarikan kajian kerana umurnya dikatakan lebih tua daripada Matahari, iaitu 7 bilion tahun! Umur yang tua ini membolehkan kita mengkaji sifat dan keadaan alam semesta berbilion tahun dahulu. Objek-objek di dalam sistem suria kita sekarang pun, paling tua ialah 4.5 bilion tahun je.

Menurut kiraan yang saya lakukan menerusi SkySafari, 3I/ATLAS kini berada di langit petang kita di dalam buruj Ophiuchus (berhampiran Scorpio).

Kedudukan 3I/ATLAS menerusi SkySafari untuk tarikh 30 Julai 2025

Agak malang, ia sangat kelam bersinar dalam magnitud 16 (berdasarkan data dari COBS)! Dan ketika ia berada paling dekat dengan Matahari nanti, ia hanya akan mencapai magnitud 14! Seterang (atau sekelam) planet kerdil Pluto!

Data lightcurve dari COBS

Tak dapek la nak meneropong dari rumah ni!

Apa pun kita tunggu penemuan terbaru objek ini dalam masa terdekat.

Wallahua’lam

Rujukan

https://www.esa.int/Space_Safety/Planetary_Defence/ESA_tracks_rare_interstellar_comet
https://www.seti.org/news/comet-3iatlas-a-visitor-from-beyond-the-solar-system
https://skyandtelescope.org/astronomy-news/interstellar-comet-3i-atlas-what-we-know-now
https://spaceweather.com/archive.php?view=1&day=30&month=07&year=2025
https://arxiv.org/pdf/2507.12213
https://cobs.si/comet/2643/