Keadaan Siding Spring Observatory hari ini

Berita Umum

Hari selepas kebakaran di Siding Spring Observatory, kita sudah boleh lihat kesan kemusnahan yang telah berlaku terhadap beberapa buah fasiliti dan rumah staf di sana.

Antara blog yang paling terkini menceritakan keadaan di sana ialah dari Dr. Amanda E Bauer, yang bekerja dengan  Australian Astronomical Observatory. Menurut beliau, apabila matahari terbit pagi tadi, beliau merasa lega kerana balai cerap AAT yang menempatkan teleskop 4 meter itu masih selamat. Itu petanda baik kerana bangunan itu telah diisytiharkan antara lokasi menyelematkan diri dari kebakaran di kawasan pergunungan itu.

Ketika saya melawat AAT Nov 2012 lepas, memang dapat saya perhatikan betapa solid pembinaan bangunan tersebut. Itu belum lagi saiznya yang amat besar.

Di bawah merupakan timelapse yang diambil menerusi kamera cuaca di luar balai cerap LCOGT, salah sebuah teleskop di sana. Timelapse ini bermula pada waktu siang dan berterusan sehingga ke malam.

SSO_day_after_smoke

Foto di atas menunjukkan kawasan di salah satu lokasi lain di Siding Spring Observatory. Saya pernah memasuki balaicerap berbentuk empat segi (sebelah kiri) yang menempatkan teleskop bersaiz 2.3 meter.

me inside square obs

 

(Foto di atas diambil dari tingkat atas balaicerap 2.3 meter tersebut)

Laluan menuju ke balaicerap SkyMapper (sebelah atas kanan), kelihatan tidak terjejas, namun kita boleh lihat dengan jelas kesan kebakaran di lereng-lereng bukit yang mengelilingi kawasan tersebut.

NSW Rural Fire Service telah mengenalpasti 33 buah rumah dan 50 bangsal yang telahpun musnah di sekitar bandar Coonabarabran dan Siding Spring.

Pete (iTelescope) tengahari tadi telah memberitahu bahawa salah sebuah rumah yang musnah terbakar ialah kepunyaan penjejak asteroid dan komet tersohor Australia, Robert McNaught. Berita ini umpama sudah jatuh ditimpa tangga, kerana sebelum ini kajian astronomi yang dibuat oleh McNaught besar kemungkinan terpaksa ditamatkan kerana beliau tidak akan menerima sebarang dana lagi dari pihak kerajaan Australia.

Ketika saya di sana, saya telah berpeluang menjejakkan kaki ke dalam balai cerap Uppsala, di mana Robert McNaught telah melakukan begitu banyak penemuan asteroid dan komet di sini.

me inside uppsala

(Foto di dalam Balai Cerap Uppsala)

Berkenaan dengan fasiliti iTelescope sendiri, foto di bawah menunjukkan bangunan ini selamat dan tidak menerima sebarang kesan kebakaran semalam.

Laporan rasmi dari boss iTelescope, Brad Moore boleh dilihat di SINI.

itelescope safe

 

(Foto di atas dirakam dari salah sebuah kamera LCOGT)

Di bawah pula merupakan foto dari udara yang diambil berhampiran kawasan Newell Highway, antara jalan utama ke bandar Coonabarabran. Amat menakutkan apabila difikirkan, saya pernah lalu di jalan yang sama tidak lama dulu!

newell hhy

 

Di bawah ini pula ialah bangunan yang paling teruk musnah di perkarangan Siding Spring Observatory, iaitu Astronomers’ Lodge. Ini merupakan dorm di mana ahli astronomer yang datang bekerja di sana, berehat, makan dan minum.

the lodge

 

Akhir sekali, lihatlah bagaimana rupa kebakaran hutan yang sedang melanda Australia sekarang dari angkasa lepas. Foto ini dirakam oleh angkasawan Chris Hadfield, yang menghantarnye menerusi twitter beliau.

bush fire from space

 

Begitulah kehebatan kuasa Allah SWT. Secanggih-canggih manusia dengan teknologinya, apabila datang sekali makhluk Allah yang dipanggil api dan angin, tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalangnya. Kita hanya mampu tengok dari jauh dan berdoa agak ia tidak menjadi lebih buruk.

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments