Meteor Lyrids meraikan PKP fasa-3 dan awal Ramadhan

Fenomena Highlights Meteor, Komet dan Asteroid

Minggu hadapan, sekali lagi Meteor Lyrids akan kembali memuncak. Prospek kenampakan kali ini agak bagus kerana tiada cahaya Bulan yang akan mengganggu penglihatan kita nanti.

Asal-usul Meteor Lyrids.

Meteor Lyrids berasal daripada sebuah komet bernama 1861 G1 Thatcher. Ia melengkapkan satu orbit mengelilingi Matahari selama 415 tahun. Kali terakhir komet ini melintasi Bumi ialah pada tahun 1861.

Meteor Lyrids diberi nama demikian kerana berdasarkan sudut pandangan kita di Bumi, meteor-meteor ini akan kelihatan muncul ‘dari arah’ buruj bernama Lyra, yang terletak di langit utara. Titik munculnya meteor-meteor ini dipanggil sebagai titik radian.

Kedudukan titik radian meteor Lyrids. Ia akan berada arah timur laut, ke kanan dari deretan planet Musytari, Zuhal dan Marikh.

Bilangan meteor (ZHR)

Berdasarkan rekod pemerhatian yang dibuat selama bertahun-tahun, secara puratanya kita boleh melihat sehingga 18 meteor setiap jam, ketika waktu puncak pancuran meteor ini nanti.

Namun, kita kena faham, bilangan 18 ini hanya akan diperolehi dari kawasan yang betul-betul gelap, tiada gangguan cahaya, tidak berawan dan titik radian berada tepat di atas kepala.

Oleh itu, jika dari kita di Malaysia, titik radian yang berada di dalam buruj Lyra itu tidak akan berada di atas kepala. Maka, bilangan 18 meteor sejam ini akan berkurangan dengan mendadak. Jika berawan.. lagi kurang. Jika dari kawasan yang banyak lampu..langi kurang!

Selain daripada itu, menurut laporan tahunan di laman web International Meteor Organization (IMO), kemuncak meteor ini dijangka akan berlaku pada 22 April 07:00 UT, bersamaan 22 April 3:00 petang waktu Malaysia!

Namun, tarikh dan waktu puncak ini juga didapati berubah-ubah dari tahun ke tahun. Menurut IMO lagi, waktu puncaknya tahun 2020 ini boleh berubah-ubah di antara 22 April 6:40 pagi waktu Malaysia hingga 22 April 5:40 petang waktu Malaysia.

Selain itu, momen atau waktu ia memuncak boleh berlaku hanya beberapa jam sahaja.

Maka itu, kesimpulan daripada maklumat di atas, jika kita mengambil waktu 3 petang 22 April sebagai waktu puncak, maka tarikh yang terbaik kita di Malaysia untuk mencerap pancuran meteor Lyrids ini ialah bermula selepas tengah malam hingga ke Subuh, 22 April 2020.

Namun, begitu jika kita ambil kira waktu puncaknya yang mungkin berubah-ubah, boleh lah kita lakukan cerapan 1 hari sebelum dan selepas 22 April.

Maknanya mulakan cerapan bermula dari 21 April hingga 23 April 2020.

Bagaimanakah rupa bentuk meteor-meteor ini nanti?

Meteor-meteor Lyrids ini kecil-kecil dan pendek. Namun kadang kala ia boleh menghasilkan meteor jenis fireballs, iaitu meteor yang boleh menjadi secerah planet Zuhrah (Venus)!

Contoh sebuah meteor jenis fireball. Sumber video.

Ia akan kelihatan bergerak dari arah buruj Lyra di utara, namun meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana kawasan langit!. Dinasihatkan agar anda carilah kawasan langit yang paling gelap dan fokus ke arah kawasan itu sahaja.

Meteor-meteor ini akan muncul SEKELIP MATA, dan paling lama pun sekitar 1-3 saat.

Jika anda melihat sesuatu di langit yang jauh lebih lama daripada 3 saat, itu bukan meteor…mungkin kapal terbang atau satelit… atau.. atau… 😉

Foto komposit gabungan beberapa puluh frame yang menunjukkan corak kemunculan meteor-meteor di langit. Sumber.

Elakkan berada di kawasan yang ada cahaya lampu, seperti lampu jalan atau lampu rumah dan bangunan. Jika anda berada di kawasan luar bandar, memang amat bernasib baik kerana memiliki langit yang gelap.

Walaupun jika anda berada di kawasan kampung, lampu-lampu jalan yang terang tetap akan mengganggu penglihatan meteor-meteor ini nanti. Kredit University of Granada (UGR), Spain

Kalau yang berada di kawasan bandar (seperti saya ni), nampak gaya tidak ada peluanglah nak keluar mencerap di kawasan lain… PKP fasa-3 la makcik oiiii… naya kena tangkap nanti!

Cara mencerap meteor ini ialah kita hendaklah berada dalam keadaan baring atau bersandar 45 darjah . Jangan berdiri dan dongak ke atas! Jangan jenguk kat tepi tingkap! Jangan tengok dari dalam rumah!

Waktu cerapan kita pun hendaklah lama… mula dari tengah malam hingga ke Subuh. Janganlah pula jenguk sekejap di luar, tak sampai 30 minit dah masuk dah…. memang lah tak nampak cara tu makcik oiii.… nak cerap meteor ini kena sabar dan tekun.

Selamat mencerap!

Wallahua’lam.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments