Memburu STARLINK, satelit pelesit pengacau langit malam!

Fenomena Highlights
Berpuluh-puluh satelit STARLINK dirakam oleh astronom amatur dari Republik Czech ,Zdenek Bardon pada 19 April 2020. Sumber.

Mesmerizing nuisance. Itu yang saya boleh rumuskan mengenai kehadiran beratus-ratus satelit STARLINK yang kini sedang dilancarkan oleh SpaceX secara berkala.

Apa tak nya, jika kita hendak mengambil gambar astrofoto langit, pasti akan ‘terambil’ juga jalur cahaya lintasan STARLINK ni. Kalau satu tak apa la, yang menjadi masalahnya ialah pada satu-satu masa, berjujuk-jujuk ia melintas langit, seperti keretapi.

Beberapa Subuh yang lepas, perancangan utama ialah untuk merakam lintasan International Space Station. Rujukan utama saya ialah laman web heavens-above.com yang sentiasa memberi update terkini kedudukan ISS dan juga satelit lain (Saya akan huraikan lebih lanjut di bawah).

Ketika sedang buka laman yang menyenaraikan satelit-satelit cerah itulah yang membuat saya terkejut sekejap kerana secara ‘tiba-tiba’ ada berpuluh-puluh senarai lintasan STARLINK yang akan berlaku pada pagi yang sama.

Paling menarik perhatian saya ialah kecerahannya majoriti daripada satelit STARLINK ini ialah magnitud 1 dan 2, umpama secerah bintang-bintang dalam buruj Orion!

Terus terang saya tidak mengikuti sangat perlancaran yang dibuat oleh SpaceX sebelum ini. Minat saya hanya pada lintasan ISS. Namun, disebabkan ia amat cerah, saya pun siap siaga untuk melihatnya.

Apabila ia muncul, memang mengejutkan. Pertama ialah kelajuannya … amat laju berbanding ISS. Walaupun kita yang jarang-jarang tengok langit, dah boleh nampak ada kelainan mengenai ‘bintang’ yang bergerak ini.

Keduanya ialah ia berderet-deret! Dalam satu-satu masa, saya nampak ada 3-4 lagi satelit STARLINK di dalam satu barisan dan laluan yang sama!

Ketiga ialah ia kadang-kala memancar terang. Kecerahannya berubah-ubah kesan daripada sebanyak mana badan satelit itu yang memantul cahaya ke Bumi ketika ia melintas itu.

Saya cuba merakamnya dalam bentuk video menerusi iPhone dan applikasi NightCap, tetapi saya dapati ia tidaklah begitu cerah dan tidak mudah kelihatan dalam rakaman tersebut (atau mungkin setting saya salah).

Pada keesokannya, saya dapati senarai satelit-satelit ini masih ada, tetapi kecerahannya semakin menurun, menjadi sekitar magnitude 2,3 dan 4. Bagi saya ini terlalu kelam untuk dilihat dengan mudah dari langit sekitar KL.

Namun, pada awal pagi semalam, ketika hendak mencerap meteor Lyrids, saya secara tak sengaja telah merakam 2 buah satelit STARLINK yang memancar terang, flaring, secara tiba-tiba. Tiada maklumat flaring ini yang saya dapati di laman web ini. Ia mungkin sesuatu yang susah nak dijangka.

Rupa-rupanya, ramai juga rakan-rakan yang telah merakam pada momen yang sama! (Rujuk kepada komen-komen di dalam pos saya di FB semalam ni.

Kumpulan baru!

Awal pagi tadi, 23 April 2020, SpaceX telah melancarkan lagi satu batch baru STARLINK.

Nampak gayanya kita akan ada lagi satu siri lintasan STARLINK yang baru 2,3 hari ini.

Maklumat lintasan

Saya menggunakan maklumat yang dihitung oleh laman web heavens-above.com untuk mengetahui tarikh, waktu dan kedudukan lintasan satelit-satelit ini di langit. Bagi saya, laman web ini cukup informatif dan telah memberikan maklumat yang tepat. Saya dah gunakannya lebih sedekad, bermula sekitar kehadiran satelit Iridium di orbit Bumi. Satelit ini sudah pun tiada.

Berikut ialah beberapa setting yang saya masukkan di dalam laman web ini.

  1. Register dan login. Kemudian kita tetapkan kordinat cerapan kita. Ini penting sebab lain tempat, lain satelit yang boleh nampak, serta lain juga laluannya di langit.
  2. Kemudian saya pilih pautan “Daily predictions for brighther satellites”
  3. Di laman yang baru ini, saya set-kan tarikh serta waktu cerapan, samada Morning atau Evening
  4. Saya hanya pilih yang terang-terang, maka saya pilih Minimum brigthness kepada 3.0 (Kena ingat ye, nombor ini..lagi besar nombornya, bermakna lagi kelam objek itu kelihatan di langit).

Setelah login, dan set kordinat, pilih “Daily predictions for brighter satellites”

Paparan ini akan menyenaraikan semua satelit yang dapat kita lihat berdasarkan parameter yang kita masukkan tadi.

Jika kita lihat rajah di atas, didapati pada petang (selepas Maghrib) hari ini, 23 April 2020, ada 14 buah satelit STARLINK yang akan melintas langit.

Kolum yang kedua (dari kiri) yang bertajuk Brightness (mag) itu penting. Lebih kecil nilai nombor tu, lebih terang ia di langit. Di dalam kes ini, kita akan dapati hampir kesemua satelit STARLINK ini berada dalam lingkungan magnitud 2.5 ke bawah. Dalam erti kata lain, bagi saya ia masih terlalu kelam untuk langit di Kuala Lumpur untuk nampak best dan terang.

Namun, jika nak rakam menerusi kamera DSLR menggunakan long exposure , ia boleh dirakam.

Kolum seterusnya “Start” menunjukkan waktu satelit itu muncul, dari arah mana ia muncul.

Di sinilah pentingnya kita kena tahu cara kita navigasi langit. Kita perlukan ada ilmu arah mata angin. Di mana utara, selatan, timur-laut dan sebagainya.

Kemudian kita kena tau nak kira Altitud, iaitu ketinggian. Ini bermaksud sudut dongak kita. Jika kita memandang terus ke hadapan ke arah kaki langit, sudut dongak atau altitudnya 0 darjah. Jika kita dongak pandang tepat atas kepala, ia adalah 90 darjah.

Kolum “Highest point” menunjukkan momen dan arah mata satelit ini berada pada kemuncak laluanya.

Kolum “End” ialah titik tamat, samada ia hilang diufuk atau hilang dari pandangan akibat masuk ke dalam bayang-bayang Bumi.

Jika kita klik pada pautan di kolum tengah tu, ia akan buka satu lagi laman baru yang menunjukka PETA LANGIT. Di sini, jika anda tidak mempunyai kemahiran untuk kenal buruj di langit, agak susah nak terangkan. Tetapi jika anda mempunyai kemahiran kenal buruj dan bintang yang terang, dan boleh bandingkan dengan apps peta bintang di dalam telefon bimbit atau Stellearium di dalam PC, ia dapat membantu memberi gambaran LALUAN satelit-satelit itu nanti.

Begitulah sedikit sebanyak cara saya memburu satelit STARLINK. Cara yang sama juga boleh kita buat untuk menjejak ISS atau Teleskop Angkasa Hubble.

Semoga artikel ringkas ini dapat membantu.

Wallahua’lam.

5 1 vote
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments