Jom tengok Meteor Geminids 13-14 Disember ini!

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid

Musim Meteor Geminids sudah kembali!

Bilakah ia akan berlaku?

Meteor Geminids akan memuncak pada tarikh 13 dan 14 Disember setiap tahun. Tahun 2020 ini juga akan jatuh pada tarikh yang sama.

Lingkaran habuk dan debu dari asteroid 3200 Phaethon dipercayai sumber kepada juraian Meteor Geminids.

Menurut International Meteor Organization (IMO), saat meteor ini akan memuncak agak lama dan boleh menjangkau hampir 24 jam. Ini bermakna, seluruh dunia berpeluang besar untuk menikmati momen menarik ini.

Bagi tahun 2020, waktu kemuncaknya bermula dari jam 4 pm 13 Disember HINGGA 2 pm 14 Disember waktu Malaysia.

Berdasarkan kiraan di atas, bermula TENGAH MALAM hingga ke SUBUH 14 Disember 2020 adalah waktu paling sesuai untuk kita mencerap di Malaysia.

Dari kawasan manakah meteor ini akan muncul?

Meteor Geminids kelihatan muncul dari arah buruj Gemini, di langit sebelah utara. Buruj ini berada di sisi kiri bawah dari buruj Orion (yang saya rasa majoriti daripada kita dah kenal pun!)

Titik munculnya meteor-meteor ini dipanggil sebagai titik radian.

Namun harus diingat, jangan hanya tumpu ke arah buruj Geminid ini. Meteor-meteor ini akan muncul di mana-mana sahaja di seluruh kawasan langit!

Kedudukan titik radian (titik munculnya meteor Geminids) yang berada di buruj Gemini, pada waktu selepas tengah malam 14 Disember 2020 nanti. Simulasi SkySafari  6 Pro

Berapakah jumlah meteor yang akan kelihatan?

Jumlah meteor yang muncul dalam skala Zenithal Hourly Rate (ZHR). Nilai ini memberitahu kepada kita bilangan meteor yang kelihatan jika titik radian berada tegak di atas kepala dan dicerap dari kawasan yang betul-betul gelap tanpa gangguan cahaya langsung.

Di dalam kes Geminids ini, ZHR-nya adalah antara 140 hingga 150 meteor dalam masa sejam dijangka akan kelihatan.

Jadi, di Malaysia, berapakah bilangan sebenar meteor Geminids ini akan muncul?

Disebabkan kedudukan radian Geminids dari langit Malaysia tidak akan tegak di atas kepala, maka bilangan meteor yang kelihatan nanti jauh berkurangan daripada yang dijangka.

Selain itu, kena ambil kira faktor lokasi cerapan juga. Jika anda cuba melihat kemunculan meteor-meteor ini dari kawasan bandar atau banyak cahaya, mungkin dalam sejam anda hanya dapat lihat 10 atau kurang.

Adakah cahaya Bulan akan mengganggu tahun ini?

Bulan akan memasuki fasa Bulan Baru pada 15 Disember 2020. Ini bermakna kita bernasib baik mempunyai langit yang gelap dan tiada gangguan silau cahaya daripada Bulan.

Di lokasi manakah terbaik untuk melihat meteor Geminids?

Jika anda ingin melihat bilangan meteor yang banyak, anda perlu keluar dari kawasan bandar jauh dari pencemaran cahaya yang banyak.

Selain itu, anda perlu juga mengelak dari mencerap berdekatan dengan sumber cahaya seperti lampu jalan, lampu dari rumah atau kenderaan. Silau cahaya itu akan mengganggu kita daripada dapat melihat dengan jelas.

Foto komposit atau gabungan beberapa frame gambar meteor Perseid. Hakikat sebenar ketika mencerap dengan mata bukanlah seperti ini. Foto oleh Petr Horálek/NASA

Salah satu faktor lain yang akan mengurangkan lagi bilangan meteor yang muncul ialah kehadiran awan. Meteor-meteor ini kebanyakannya kelam, maka jika ada awan nipis pun akan menyebabkan meteor-meteor ini hilang daripada pandangan.

Secara amnya:

  1. Cari lokasi jauh dari bandar besar.
  2. Elak berdiri berhampiran dari sumber cahaya lampu yang menyilaukan.
  3. Jika berawan, semakin kurang bilangan meteor yang akan dapat dilihat.

Apakah cara terbaik untuk mencerap meteor Geminids?

Sebaik-baiknya anda perlu berbaring. Jangan duduk di atas kerusi, tetapi jika ada ‘kerusi malas’ yang boleh direndahkan, itu pun ok dah.

Fokuskan pandangan anda ke kawasan langit yang paling gelap dan tidak ada silau cahaya.

Jangan mencerap dari tingkap bilik! Anda pelukan kawasan langit yang luas pemandangan dan tidak ada sebarang halangan. Padang yang luas atau di tepi pantai antara lokasi yang bagus.

Jangan harap apabila anda keluar dari kawasan terang dan duduk di kawasan gelap, anda akan terus nampak banyak meteor! Mata kita perlukan masa selama 30 minit untuk menyesuaikan diri dalam suasana gelap!

Kemudian, mulakan kiraan bilangan meteor yang anda nampak. Kalau boleh catatkan masanya sekali. Di bawah merupakan contoh catatan yang boleh dibuat.

JamBilangan Meteor
12.00 am – 1am7
1 am – 2 am12
2 am – 3 am30
3 am – 4 am27
4 am – 5 am12
5 am – 6 am6

Jika anda mencerap di dalam kumpulan, pastikan setiap ahli akan pandang ke kawasan langit yang berlainan. Ini supaya kumpulan anda akan dapat cover sebanyak kawasan langit yang boleh. Apabila seorang ahli nampak meteor, jeritlah “satu”.. dan jika yang lain nampak meteor baru, sambung sahaja kiraan itu “dua”… dan seterusnya… sampailah ke Subuh!

Cara merakam gambar meteor.

Rujuk artikel-artikel FalakOnline sebelum ini mengenai meteor. Cara untuk merakam Meteor Geminids ini sama sahaja untuk meteor-meteor lain.

Contoh lintasan sebuah meteor dari kawasan Kuala Lumpur. Foto oleh @shahgazer

Cerapan meteor zaman Covid-19

Aktiviti mencerap meteor ini lebih seronok di dalam kumpulan. Namun di zaman Covid-19 ini, pastikan anda mengamal SOP yang betul seperti penjarakan sosial dan seumpamanya.

Selamat mencerap!

1 1 vote
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments