Masih ingat misi Hayabusa2? Pada tahun lepas kapal angkasa kepunyaan Jepun, Hayabusa2 telah berjaya di dalam misinya untuk mengumpul sampel daripada sebuah asteroid bernama Ryugu.
Akhirnya setelah hampir setahun perjalanan dan terbang sejauh 300 juta km, ia semakin menghampiri Bumi dan pada 6 Disember 2020 nanti, ia dijadualkan akan menghantar sampel itu kembali di dalam sebuah kapsul kecil.
Lokasi tempat ia ‘turun’ ialah Australia!
JAXA, agensi angkasa negara Jepun, merancangkan untuk menjatuhkan kapsul berharga ini di kawasan yang hampir tiada penduduk di negara Australia. Semua sedia maklum, Australia ini sebuah negara yang besar tetapi kepadatan penduduknya amat rendah. Kalau sesiapa yang pernah travel di kawasan outback negara itu mesti dapat faham betapa ‘kosong’nya negara itu!
Kapsul yang dilindungi oleh perisai haba ini akan bertukar menjadi seperti sebuah meteor apabila ia masuk ke dalam atmosfera Bumi pada ketinggian 200 km. Apabila ia sampai pada 10 km dari Bumi, payung terjunnya akan dibuka dan isyarat suarnya akan dihantar untuk memberitahu lokasi ia mendarat dengan lebih tepat.
Menurut laporan dari twitter JAXA, beberapa staf mereka telah pun memasang beberapa cakera satelit di lokasi-lokasi strategik untuk menangkap isyarat tersebut. Radar, dron dan helikopter juga akan digunakan dalam misi pencarian kapsul ini nanti.
Menurut pengurus projek misi Hayabusa2, Makoto Yoshikawa, tanpa persediaan rapi seperti itu, adalah amat susah untuk mencari kapsul sebesar 40 cm ini!
Sampel dari asteroid Ryugu ini bakal menyimpan maklumat berharga mengenai sejarah pembentukan sistem suria kita. Disebabkan sampel yang dikumpul ini adalah dari bawah permukaan asteroid itu, ia masih ‘suci’ dan tidak tercemar oleh radiasi angkasa lepas dan faktor-faktor persekitaran lain.
Setelah prob Hayabusa2 ini melepaskan kapsul ke Bumi, misi ini sebenarnya belum tamat lagi. Prob angkasa ini akan meneruskan perjalanan dan menuju ke sebuah lagi asteroid kecil bernama 1998KY26. Namun perjalanan ini masih jauh dan kita terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk ia sampai!
Semoga sukses dan selamat sampai! Kita tunggu berita lanjut selepas ini.