Nota: Sebuah asteroid bernama (7482) 1994 PC1 akan melintasi Bumi pada jarak selamat 4 kali ganda lebih jauh dari Bulan atau hampir 2 JUTA KM , pada 18 Januari 2022 nanti. Asteroid ini mengorbit Matahari setiap 575 hari dan mempunyai saiz sekitar 1 km. Maklumat kedudukan dan kecerahan asteroid ini telah dimasukkan di dalam artikel JomTeropong di bawah.
Sabtu, 15 Januari
Subuh – Masa untuk mencari-cari planet Marikh. Planet ini masih rendah di ufuk sebelah timur. Namun berdasarkan cuaca yang baik bulan Januari ini sejak beberapa hari lepas, rasanya kita cuba rebut peluang untuk menjejaki kedudukan planet merah ini. Jangan keliru dengan bintang Antares pulak, sebab bintang ini pun berada di ufuk timur dan berwarna merah!

Buruj Pari dan bintang Alpha Centauri pula sudah jelas kelihatan di sebelah selatan. Sepanjang minggu ini ia berada pada kedudukan tertinggi yakni ia akan melintasi garisan meridian.

Maghrib – Tinggal planet Musytari sahaja yang paling mudah untuk dilihat sekitar waktu Maghrib dan Isya sekarang ni. Planet Zuhal sudah semakin rendah dan susah nak kenal bagi kita yang tak tahu nak membezakan bintang dengan planet. Utarid pula perlahan-lahan kembali rendah ke ufuk dari hari ke hari.
10 PM – Mulakan pencarian asteroid (7482) 1994 PC1 malam ini. Asteroid ini berada di sebelah atas dari bintang Canopus di langit sebelah selatan. Pada malam ini ia bersinar pada magnitud 11.9
Koordinat pada jam 10 PM: RA 05 48 30.02. DEC -44 59 01.0

Ahad, 16 Januari
Menjelang Subuh – Jom kita cuba cari bintang Kochab, bintang kedua tercerah di dalam buruj Ursa Minor (selepas Polaris). Seingat saya bintang Kochab ini cukup terang untuk dilihat dari Malaysia. Cuba jejaki bintang ini berpandukan kedudukan buruj Biduk yang sedang tinggi melangit di sebelah utara ketika waktu ini.

10:46 pm – Pluto di posisi superior conjunction dan berada searah dengan Matahari. Fenomena ini sekadar info sahaja dan tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Selepas ini, Pluto akan mula kembali muncul di langit Subuh.
10 PM – Asteroid (7482) 1994 PC1 malam ini semakin tinggi dan sedikit ke arah barat. Ia masih berada di langit selatan dan berada di dalam kawasan buruj kelam Caelum dan Columba. Ia bersinar pada magnitud 11.3
Koordinat pada jam 10 PM: RA 05 13 20.47 DEC -41 23 33.9

Isnin, 17 Januari
Subuh – Cuba cari planet Zuhrah rendah di ufuk timur sekitar 30-45 minit selepas Subuh. Ia mudah dikenalpasti sebab ia nampak seperti sebutir bintang yang cerah. Kedudukannya akan makin tinggi setiap hari.

Maghrib – Walaupun Zuhal masih berada di atas ufuk ketika Maghrib, namun ia sudah terlalu rendah untuk dapat dicerap dengan baik samada menggunakan mata mahupun teleskop. Utarid pun dah hilang. Musytari satu-satunya objek terang di sebelah langit barat.
Jika anda mempunyai teleskop GoTo, cuba cari planet Neptune yang berada di sebelah atas dari Musytari. Neptune tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan memerlukan paling kurang pun binokular untuk melihatnya dari kawasan langit gelap.

Bulan akan berada hampir dengan bintang Pollux di dalam buruj Gemini. Fasanya amat hampir dengan fasa purnama, dan langit pada malam ini akan diterangi oleh cahaya Bulan yang menyilaukan.

10 PM – Asteroid (7482) 1994 PC1 malam ini sudah melepas garisan meridian pada waktu ini dan berada di dalam buruj Eridanus. Magnitud malam ini ialah 10.6
Koordinat pada jam 10 PM: RA 05 13 20.47 DEC -41 23 33.9

Selasa, 18 Januari
7:51 AM – Bulan memasuki fasa Bulan Penuh
Maghrib hingga Isya’ – Jom kita cuba jejaki sebuah bintang bernama Fomalhaut. Ia merupakan satu-satunya bintang bermagnitud 1 yang berada di kawasan langit barat ketika ini. Kedudukannya ialah ke arah sebelah kiri dari planet Musytari. Bintang ini ialah yang pertama kita dapat lihat eksoplanet yang mengelilinginya yang dapat dirakam di dalam julat cahaya nampak. Penemuan ini berlaku pada tahun 2008, dan eksoplanet ini diberi nama Dagon.

Fomalhaut ialah bintang tercerah di dalam buruj Piscis Austrinus (Ikan Selatan). Buruj ini sebenarnya mudah kita nak cam bentuknya ‘ikan’nya tetapi disebabkan bintang-bintang yang membentuk buruj ini semuanya kelam-kelam (melainkan Fomalhaut), maka kita kena cari kawasan langit yang betul-betul gelap untuk menikmati bentuk buruj ini.
10 PM – Asteroid (7482) 1994 PC1 malam ini berada pada poin paling ‘hampir’ dengan Bumi, pada jarak EMPAT KALI GANDA LEBIH JAUH DARI BULAN! (Maknanya jauh la tu). Di langit ia berada di dalam sempadan buruj Eridanus dan Cetus ke arah langit sebelah barat. Magnitud malam ini paling cerah iaitu 10.1 . Malam ini cukup menarik untuk kita melihat kedudukan asteroid ini berubah dengan cepat berlatar-belakangkan bintang-bintang. Dalam masa 1 minit je pun kita boleh nampak ia berubah kedudukan (menerusi teleskop).
Koordinat pada jam 10 PM: RA 02 36 16.04 DEC -08 27 23.3

Rabu, 19 Januari
Malam ini sekitar Isya’ cubalah cari planet Uranus pula. Planet hijau ini berada di dalam buruj Pisces dan berada tegak di atas kepala kita pada waktu Isya’. Ia tidaklah bersinar terang dan untuk melihatnya dengan mata kasar, kita perlukan langit yang gelap. Namun ia mudah dijejak dengan binokular dan teleskop.

Menerusi teleskop, Uranus akan kelihatan seperti satu bulatan kecil berwarna kehijauan. Disebabkan awan-awan di atmosfera Uranus ini tidaklah secerah atau seligat seperti awan-awan di Musytari, ia kelihatan seperti ‘kosong’ je.
Anda perlu mempunyai skli membaca peta bintang, dan tahu mengenalpasti bintang-bintang di langit berpandukan peta bintang, barulah mudah untuk mencari planet ini.
10 PM – Asteroid (7482) 1994 PC1 malam ini sudah mula menjauhi Bumi. Disebabkan semalam ia bergerak ‘berhampiran’ dengan Bumi, kedudukanya malam ini berubah banyak. Asteroid ini sekarang berada di langit Barat Laut ke arah buruj Pegasus/Andromeda dah! Kecerahannya sekitar magnitud 11.0
Koordinat pada jam 10 PM: RA 00 33 56.74 DEC +26 00 55.6

Khamis, 20 Januari
Subuh – Planet Marikh akan mula masuk ke dalam lingkungan 5 darjah dari Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. Kesemua objek ini boleh dimuatkan di dalam satu frame kamera.

Bintang Regulus pula berada 10º dari Bulan. Kelihatan dari Subuh rendah di ufuk barat
10 PM – Bintang Regulus berada 5º-6º dari Bulan. Kelihatan dari jam 10 PM hingga ke Subuh
Jumaat, 21 Januari
Pada sekitar selepas Isya’, cuba pandang ke arah timur laut. Mata kita akan bertemu dengan sebuah bintang cerah berwarna kekuningan iaitu bintang Capella. Bintang ini merupakan bintang tercerah di dalam buruj Auriga, dan juga merupakan salah satu daripada bintang-bintang yang membentuk asterim Winter Hexagon.

Cuba perhatikan betul-betul sedikit ke atas dari Capella. Ada 3 buah bintang sederhana terang yang membentuk segi tiga. Bintang-bintang ini bernama Al Anz, Haedus I dan Haedus II. Bagi saya susunan 3 bintang ini bersama-sama dengan bintang Capella cukup cantik untuk dilihat samada menerusi mata kasar, binokular mahupun dirakam menggunakan kamera.

___
- Data kedudukan dan kecerahan Asteroid (7482) 1994 PC1 diperolehi dari aplikasi web JPL Horizons on-line solar system data and ephemeris computation service
- Maklumat lanjut mengenai fenomena langit boleh didapati menerusi ALMANAK ASTRONOMI 2022
- Semua tangkap layar di atas diambil dari perisian SkySafari Pro 6
___