Gerhana Bulan Penuh - Maghrib, 3 Mac 2026
Suasana Gerhana Bulan Penuh yang dirakam dari Semporna, Sabah pada tahun 2022. Sumber @shahgazer
Fenomena Gerhana Bulan Penuh akan berlaku pada Selasa, 3 Mac 2026 ini.
Gerhana Bulan Penuh berlaku apabila keseluruhan jasad Bulan bergerak masuk di dalam bayang-bayang paling gelap Bumi, iaitu umbra.
Peta kawasan negara-negara yang dapat menyaksikan gerhana bulan penuh. Sumber Fred Espenak
Ketika ini berlaku, warna Bulan akan berubah daripada putih melepak kepada merah pekat. Warna kemerahan Bulan ketika fasa gerhana penuh ini adalah kesan daripada biasan cahaya Matahari yang bergerak melalui lapisan atmosfera Bumi yang tebal.
Laluan Bulan merentasi 2 sempadan bayang-bayang Bumi, umbra dan penumbra. Waktu adalah di alam Universal Time (Tambah 8 jam untuk waktu Malaysia) . Sumber Fred Espenak
Uniknya fenomena kali ini ialah ada sempadan yang jelas fasa gerhana yang akan dapat dilihat dari Semenanjung jika dibandingkan dengan dari Sabah dan Sarawak.
Berikut merupakan jadual waktu fasa-fasa Gerhana Bulan yang akan dapat dilihat berdasarkan kawasan. Waktu fasa itu berlaku ada sama sahaja untuk seluruh Malaysia, dan mana-mana negara yang waktunya 8 jam ke hadapan dari GMT.
| Waktu (Selasa, 3 Mac 2026) | Fasa | Semenanjung Malaysia, Singapura | Sabah & Sarawak, Brunei |
|---|---|---|---|
| 4:43 PM | Fasa Gerhana Penumbra bermula (Bulan mula masuk di dalam sempadan bayang-bayang penumbra | Tidak kelihatan (bawah ufuk) | Tidak kelihatan (bawah ufuk) |
| 5:49 PM | Fasa Gerhana Separa bermula (Bulan mula masuk di dalam sempadan bayang-bayang umbra) | Tidak kelihatan (bawah ufuk) | Tidak kelihatan (bawah ufuk) |
| 7:04 PM | Fasa Gerhana Penuh bermula (Keseluruhan Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra | Tidak kelihatan (bawah ufuk) | Boleh dilihat (Bulan sudah terbit di atas ufuk) |
| 7:33 PM | Kemuncak Fasa Gerhana Penuh (Keseluruhan Bulan berada di dalam kawasan paling dalam bayang-bayang umbra | Boleh dilihat (Bulan baru terbit, rendah di ufuk timur) | Boleh dilihat (Bulan sudah tinggi di atas ufuk timur) |
| 8:03 PM | Fasa Gerhana Penuh tamat / fasa Gerhana Separa bermula (Bulan mula keluar dari kawasan bayang-bayang umbra | Boleh dilihat (Bulan berada tinggi di atas ufuk) | Boleh dilihat (Bulan berada tinggi di atas ufuk) |
| 9:17 PM | Fasa Gerhana Separa tamat / Gerhana Penumbra bermula (Keseluruhan Bulan berada di luar kawasan bayang-bayang umbra, tetapi masih di dalam bayang-bayang penumbra | Boleh dilihat (Bulan berada tinggi di atas ufuk) | Boleh dilihat (Bulan berada tinggi di atas ufuk) |
| 10:23 PM | Fasa Gerhana Penumbra tamat (Keseluruhan Bulan berada di luar kawasan bayang-bayang umbra, tetapi masih di dalam bayang-bayang penumbra). | Boleh dilihat (Bulan berada tinggi di atas ufuk) | Boleh dilihat (Bulan berada tinggi di atas ufuk) |
Rajah fasa gerhana ketika Bulan sedang terbit dari Shah Alam. Simulasi Sky Safari Pro
Rajah menunjukkan kedudukan bulan ketika fasa gerhana penuh tamat dari Shah Alam. Simulasi Sky Safari Pro
Durasi gerhana
Berikut merupakan durasi waktu gerhana
| Gerhana | Jumlah Waktu |
|---|---|
| Penumbra | 5 jam 39 minit |
| Umbra | 3 jam 28 minit |
| Gerhana Penuh | 59 minit |
Langit sekitar Bulan
Bintang c Leonis, sebuah bintang 5 akan dihijab (occult) oleh Bulan sekitar jam 8:20 PM. Ketika ini fasa Gerhana Penuh baru sahaja tamat dan Bulan mula kembali cerah.
Bintang ini akan hilang di bahagian sisi terang Bulan.

Jika anda mengambil gambar Gerhana Bulan ini secara berkala, perhatikan di dalam foto itu, sebutir bintang di sudut kanan bawah dari Bulan. Bintang itu akan kelihatan semakin menghampiri Bulan sedikit demi sedikit.
Waktu bintang ini mula terhijab sedikit berbeza dari lokasi yang berlainan. Guna mana-mana aplikasi peta bintang (seperti Stellarium) untuk menentukan waktu sebenar berdasarkan lokasi anda.
Bila Gerhana Bulan Penuh seterusnya akan berlaku?
Lambat lagi, 1 Januari 2029. Tapi yang ni best, sebab ia berlaku tengah malam ketika Bulan tegak di atas kepala. Masa ni berlawan la kita dengan gangguan bunga api tahun baru!
Selamat mencerap!