5 minute read

Hitungan Anak Bulan Syawal 1447H

Berikut merupakan kedudukan Bulan pada petang Khamis, 19 Mac 2026, bersamaan 29 Ramadan 1447H.

Berdasarkan hitungan yang saya lakukan menggunakan librari python (pyephem dan skyfield), pada waktu Maghrib dari lokasi Menara Kuala Lumpur.

Parameter Value
Location: Menara Kuala Lumpur
Latitude: 3.152941°
Longitude: 101.703872°
Date: 2026/03/19 (Syawal 1447)
Sunset Time (MYT): 2026-03-19 19:24:22 MYT
Sunset Time (UTC): 2026-03-19 11:24:22 UTC
Sun Azimuth: 269.5973°
Sun Altitude: -0.2677°
Moon Altitude: 2.6977°
Moon Azimuth: 273.5997°
Moon Illumination: 0.26%
Moon Age: 10.02 hours (0.42 days)
Moon-Sun Elongation: 5.2097°

Berdasarkan syarat Imkanur Rukyah, kedua-dua syarat wajib (Altitud Bulan dan Elongasi Bulan ke Matahari) tidak dipenuhi.

  • Altitud Bulan 2.7°. Minimum => 3°
  • Elongasi Bulan-Matahari 5.2°. Minimum => 6.4°

Maka Bulan tidak cukup syarat pada petang tersebut.

Analisis perbandingan dengan Syawal 1443H (1 Mei 2022)

Pasti ramai yang masih ingat kemeriahan Hari Raya yang berlaku sehari lebih awal daripada kiraan falak, pada tahun 2022 lepas. Ketika itu, syarat imkanur rukyah tidak dipenuhi tetapi Hilal berjaya di lihat dari Labuan dan Brunei.

Maka kesannya dari itu, Raya kali ini ramai yang fobia dan tak tentu arah. Ramai yang mengatakan Raya akan jatuh pada hari Jumaat.

Ok jom kita belajar sikit, buat sedikit perbandingan data.

Rajah di bawah perbezaan kedudukan hilal Syawal untuk 1443H dan 1447H

(Atas: kedudukan pada Syawal 1443H)

(Atas: kedudukan pada Syawal 1447H)

Jadual di bawah ialah perbandingan di antara tahun 2022 dan 2026, sudut ketinggian bulan, elongasi dan umur bulan, serta selisih masa bulan terbenam selepas Matahari untuk bulan Syawal. Kiraan ini adalah dari Kuala Lumpur.

Parameter 2022 (Syawal 1443) 2026 (Syawal 1447)
Date 2022/05/01 2026/03/19
Time betwen sunset-moonset 26 min 14 min
Sunset Time (MYT) 2022-05-01 19:17:22 MYT 2026-03-19 19:24:22 MYT
Moon Altitude 5.25° 2.69°
Moon-Sun Elongation 6.13° 5.21°
Moon Illumination 0.38% 0.26%
Moon Age 14.8 hours (0.62 days) 10.0 hours (0.42 days)

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya di sini.

  1. Ketinggian Bulan ketika Maghrib pada tahun 2022 lebih tinggi (5.25°) berbanding tahun 2026 (2.69°). Ini bakal memberi cabaran kenampakan hilal sebab langit di ufuk masih terang ketika Maghrib, dan Bulan pun sangat rendah di ufuk di kawasan terang tu.
  2. Elongasi Bulan-Matahari pada tahun 2022 (6.13°) sangat hampir dengan syarat minimum 6.4°, dengan perbezaan hanya 0.27°. Untuk tahun 2026 ni (5.21°) jauh perbezaannya iaitu 1.19° dengan syarat minimum. Jika tahun 2022 boleh kelihatan, untuk tahun 2026 ni rasanya lebih mencabar sebab jarak Bulan ke Matahari lebih dekat ( 6.13° vs 5.21° )
  3. Perbezaan waktu bulan terbenam vs waktu Matahari terbenam, berbeza hampir 2 kali ganda. 26 min untuk tahun 2022 dan 14 min untuk tahun 2026.
  4. Kawasan permukaan Bulan yang bercahaya untuk tahun 2026, lebih halus dan kecil (0.26%) berbanding tahun 2022 (0.38%). Garis sabit bulan sangat halus. Faktor bayang-bayang gunung di permukaan Bulan bakal memberi kesan kenampakan cahaya.
  5. Untuk umur bulan, walaupun ia sudah tidak dimasukkan ke dalam syarat imkanur rukyah yang baru, juga ada perbezaan besar. Pada tahun 2022 umur Bulan ialah 14.8 jam dan untuk tahun 2026, umur bulan 10 jam sahaja. Sebagai rekod, di Malaysia, Bulan termuda yang berjaya dicerap (menerusi kamera) ialah 12.5 jam pada 5 Mei 2019. Rujuk kertas kajian “Analisis Data 22 Tahun Cerapan Anak Bulan di Balai Cerap Telok Kemang Berdasarkan Kriteria Imkanur Rukyah 1995” di https://www.ukm.my/jsm/pdf_files/SM-PDF-51-10-2022/24.pdf

Di sini boleh didapati kedudukan Bulan tahun 2026 lebih mencabar dan susah dilihat berbanding tahun 2022. Untuk 2022 tu sangat-sangat hampir dengan sempadan kenampakan anak bulan (50-50), sebab Bulan pun tinggi masa tu, dan elongasi pun hampir-hampir dengan 6.4°.

Namun, ada beberapa perkara lagi yang perlu di ambil kira , yang mana orang awam sukar nak faham, tapi saya cuba terangkan semudah yang mungkin.

  1. Faktor Danjon Limit. Had paling dekat Bulan ke Matahari. Kalau lebih dekat, cahaya halus sabit Bulan akan tenggelam oleh silau cahaya Matahari. Perbincangan meletakkan had 7.7° untuk cerapan mata, dan 6.4° untuk rakaman kamera. Ini dibincang oleh Mohd Odeh https://astronomycenter.net/pdf/2006_cri.pdf
  2. Faktor topografi permukaan gunung-ganang Bulan di sisi piring Bulan. Lain bulan, lain kawasan topografinya. Kalau banyak gunung-ganang yang tinggi, ia mungkin menyukarkan lagi cahaya sabit dapat dilihat di permukaan Bulan.
  3. Faktor jarak Bulan ke Bumi ketika cerapan. Adakah Bulan berada di kedudukan Apogee atau Perigee? Kalau jauh (Apogee) lebih sukar nak nampak cahaya sabit, berbanding ketika Bulan itu dekat dengan Bumi (Perigee)

Semua bergantung kepada cerapan 29hb

Dari perbincangan di atas, nak nampak anak bulan (hilal) ini bukan mudah dan banyak faktor kena ambil kira. Ia bukan semudah A,B,C dan bukanlah binari (0 atau 1). Kiraan falak seperti imkanur rukyah adalah sebagai panduan am hasil daripada permerhatian raturan malah ribuan astronomer dunia.

Kalau anda yang pernah mengikuti konvesyen atau seminar awam falak, pasti akan terlintas perkara-perkara di atas. Jika duduk di dalam seminar di kalangan pengkaji falak dan astronomi, perkara yang dibincang jauh lebih terperinci dan tidak sesuai untuk perbincangan awam.

Itulah sebabnya dalam urusan yang sungguh teknikal seperti ini, masyarakat disaran biarkan sahaja diserahkan kepada mereka yang benar-benar mengkaji bab ini.

Jika ada yang mungkin rasa ada kepincangan atau ada tambah baik, saya syorkan sertai konvensyen atau seminar falak yang ada dan bentangkan kertas kerja untuk dibincangkan.

Di dalam kes prosedur yang diamalkan di Malaysia sebenarnya mudah dan sudah teratur.

  1. Ikut kiraan falak (data terdahulu dan matematik), kali ini tak cukup syarat imkanur rukyah.
  2. Cerapan tetap perlu dilakukan pada petang 29hb Ramadan.
  3. Jika tak nampak ataupun nampak (walaupun tak cukup syarat dan disahkan oleh saksi dan jawatankuasa di lokasi cerapan) - ia perlu dilaporkan.
  4. Laporan kesemua 29 tempat cerapan dikumpul di Penyimpan Mohor Besar Raja-raja. Ketua di setiap lokasi cerapan akan menghubungi penyelaras (JAKIM) untuk menghantar laporan.
  5. Setelah dapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, barulah pengumuman rasmi dibuat oleh oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Ini adalah standard yang digunapakai sejak tahun 70an dan diperketatkan prosedur selepas tahun 80an (di mana Perak dan Johor raya berbeza dengan negeri-negeri lain).

Cuma, selalunya kedudukan hilal ketika bulan Syawal (kita bincang kes Raya ni) samada jauh dari syarat minimum, atau jelas lebih dari syarat minimum.

Kadang-kadang sahaja kes yang di atas sempadan berlaku (seperti tahun 2022). Ini yang menyebabkan ramai terkejut sebab perkara ini jarang berlaku. Apabila ia berlaku, proses yang sama (cerapan, confirmation, pengumuman) tetap berjalan seperti biasa.

Panjang benor penerangan, jadi bila Raya?

Selalunya ramai yang malas nak ambik tahu proses nak cerap anak bulan ini. Dia nak tau jawapan bila Raya?

Kalau ikut kiraan falak, Bulan tak memenuhi syarat Imkanur Rukyah. Maka Raya hari Sabtu. Tapi jika cerapan petang 29 Ramadan tu, ada lokasi yang nampak, maka Raya hari Jumaat. Rasminya tunggu pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Agak-agak boleh nampak ke? sebab macam 50-50 je?

Itulah sebab kena pergi cerap petang 29 Ramadan tu nanti. Semuanya bergantung pada hasil cerapan nanti. Ahli Falak bukannya ahli nujum pak belalang. Kita hanya buat kesimpulan berdasarkan data hasil kiraan dan cerapan. Mustahil boleh tau hasil cerapan itu sekarang, tetap kena tunggu 29hb.

Wallahua’lam.

Planet disekitar ufuk anak bulan

Planet Zuhrah berada semakin tinggi di ufuk sebelah barat. Berhampiran dengan Bulan, ialah Zuhal, tetapi disebabkan planet ini terlalu hampir dengan ufuk, ia tidaklah seterang dan menyerlah seperti Zuhrah, malah mungkin tak nampak langsung dengan mata.

Selamat mencerap