Komet C/2025 R3 pula berpotensi muncul bulan April nanti
Adakah kita bakal melihat sebuah lagi komet yang terang dalam bulan April 2026 nanti? Jom kita analisa berita dan potensi komet tersebut.
Komet C/2025 R3 (Pan-STARRS)
Komet C/2025 R3 (Pan-STARRS) ini ditemui pada 8 Sep 2025 menerusi survei langit Pan-STARSS di Hawaii. Sebuah kertas kajian oleh Tudish Ramanjooloo dari University of Hawaiʻi Institute for Astronomy, menunjukkan ketika ia ditemui, kecerahannya amat malap, pada magnitud 19.
Cerapan susulan yang dibuat oleh Teleskop Canada-France-Hawaii di Mauna Kea, telah mengesahkan objek ini sebuah komet kerana wujud ‘kepala bergas’ dan ekor yang agak lebar. Kiraan yang dibuaat di astro.vanbuitenen.nl pula menunjukkan ia adalah sebuah komet ‘baru’, yang baru pertama kali datang dari Awan Oort. Selalunya komet seperti ini masih ‘segar’ dan berpotensi menghasilkan banyak gas dan debu ketika bergerak menghampiri Matahari.
Perihelion
Tarikh perihelion (iaitu poin paling hampir dengan Matahari) ialah pada 19 April 2026. Jarak komet ini ke Matahari ialah sekitar 0.5 AU sahaja.
Seperti biasa, untuk menganggar seterang mana komet ini akan muncul, bukanlah perkara yang mudah. Laman-laman web astronomi semuanya memberi prediksi yang berbeza-beza. Ada yang meletakkan ia boleh nampak dengan mata kasar, dan ada yang kata ia hanya boleh dilihat menerusi binokular.
Fenomena Forward Scattering, iaitu di mana kecerahanya komet dikatakan akan tiba-tiba terang terutama sekali apabila geometri Matahari, komet dan Bumi hampir selari, memberi harapan tinggi di kalangan peminat komet untuk dapat melihatnya terang dan canti dari Bumi.
Tapi yelah, kadang-kadang melebih-lebih letak harapan pun bahaya jugak… hihi
(Atas: Kredit dari Spaceweather.com
Laporan terbaru di Spaceweather.com menunjukkan rupa bentuk terbaru Komet C/2025 R3 ini yang berjaya dirakam oleh Michael Jaeger dan Gerald Rhemann dari Austria. Kecerahan magnitud komet ini sekarang adalah sekitar 7.8
Bagaimanakah kedudukan komet ini dari langit Malaysia?
Saya telah melakukan analisa kedudukan komet ini menggunakan SkySafari, dan mendapati:
- Komet ini sedang berada di langit timur, dan muncul selepas Subuh. Ketinggian di ufuk timur ialah sekitar 9 darjah (28 Mac 2026), dan akan semakin tinggi setiap hari. Kemuncaknya ialah pada 10 April 2026 apabila ia mencecah 15 darjah pada waktu Subuh. Selepas dari tarikh itu, ia akan kembali rendah dan bergerak menghampiri Matahari.
- 21 April 2026 mungkin tarikh terakhir kita dapat lihat komet ini sebelum ia hilang dari pandangan dek silau cahaya langit yang semakin terang (menjelang terbit Matahari)
- Pada 27-28 April 2026, ia akan muncul di langit senja pula selepas Maghrib.
- Ia akan terus semakin tinggi selepas itu, tetapi kecerahannya semakin pudar.
- Pada 8 Mei 2026, ia bergerak hampir dengan bintang Rigel (buruj Orion)
- Pada 9 Mei 2026, ia berada di antara Rigel dan Nebula Orion (M42).
- Secara amnya 8-13 Mei 2026, ia begerak di dalam kawasan buruj Orion. Menarik untuk cuba ambil gambar ketika momen ini.
Atas: Video simulasi dari Sky Safari menunjukkan kedudukan komet C/2025 R3 pada waktu Subuh di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara.
Atas: Video simulasi dari Sky Safari menunjukkan kedudukan komet C/2025 R3 pada 30 minit selepas Maghrib di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara.
Bulan Mac-Mei ‘selalunya’ musim kering di Malaysia. Ramalan cuaca oleh MET Malaysia pun menyatakan kita bakal mengharungi cuaca panas dan pembentukan awan yang kurang sehingga Jun-Julai tahun ini.
Oleh itu, jom kita ambil peluang yang ada untuk menjejaki komet C/2025 R3 ini.