Zuhrah menghampiri kedudukan inferior conjunction untuk tahun 2025

Fenomena

Pada hujung minggu ini, Ahad 23 Mac 2025 jam 2:46 pm waktu Malaysia, planet Zuhrah akan berada paling hampir dengan Bumi. Planet ini akan berada hampir-hampir sederet di antara Matahari dan Bumi. Di dalam istilah astronomi ia dikenali sebagai inferior conjunction .

Kedudukan Zuhrah berada di antara Bumi dan Matahari. Grafik dari Solar Walk 2 (tidak mengikut skala saiz sebenar)

Jika anda perasan, bermula sekitar bulan Februari lepas, planet Zuhrah yang terang benderang di langit Maghrib, mula kelihatan semakin rendah setiap hari. Apa yang berlaku di sini ialah dari pandangan sudut kita di Bumi, planet ini akan kelihatan semakin hampir dengan Matahari.

Sehinggalah pada hujung minggu ini, ia akan terbit dan terbenam hampir sama waktu dengan Matahari. Oleh itu ia tidak kelihatan di atas ufuk dan mustahil untuk dilihat dengan mata kasar.

Kedudukan planet Zuhrah ketika Matahari terbit, pada 22 Mac 2025

Ketika inferior conjunction, kedudukan Zuhrah adalah serupa seperti mana ijtimak Bulan Baru yang berlaku tiap-tiap awal bulan hijri. Cuma bezanya, ia tidaklah berlaku setiap bulan. Ia berulang setiap lebih kurang 19 bulan.

Selepas ia melepasi inferior conjunction, Zuhrah akan mula muncul di langit Subuh pula.

Agak malang untuk kali ini, sekali lagi cuaca tidak mengizinkan untuk saya lakukan cerapan yang konsisten untuk memerhatikan perubahan bentuk planet Zuhrah ini. Malah, saya juga terlepas untuk cerapan pusingan sebelum ini juga yang berlaku pada tahun 2023. Dah dua kali terlepas!

Kali terakhir cerapan yang saya dapat buat ialah pada 1 Mac 2025 lepas. Itupun bentuk sabit planet Zuhrah masih lagi tebal.

Rakaman planet Zuhrah oleh penulis pada 1 Mac 2025.

Buat makluman newbie, ketika Zuhrah berada hampir dengan Matahari, adalah amat berbahaya untuk mencarinya dengan teropong!. Ini disebabkan kita perlu lakukan pada waktu siang, dan perlu menggunakan teleskop berkomputer yang telah dipasang dengan tepat. Sebarang ralat di dalam kedudukan teleskop akan menyebabkan kiraan salah, dan berpotensi teleskop akan dihalakan ke arah Matahari! Jadi, saya nasihatkan jangan lakukan cerapan ini!

Di bawah ialah cerapan yang berjaya saya lakukan pada tahun 2022 lepas. Perhatikan betapa halusnya bentuk garis sabit planet ini!

Planet Zuhrah ketika tinggal 2 hari 12 jam sebelum inferior conjunction pada tahun 2022.

Video di bawah ialah suasana live ketika cerapan waktu siang terhadap planet Zuhrah pada awal tahun 2022 .

Apa pun, doakan langit cerah sedikit pada waktu siang, terutama waktu pagi, pada hujung minggu ini supaya dapat peluang untuk rakaman dilakukan.

Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments