TERKINI
Komet C/2012 S1 ISON yang digelar sebagai “The Comet of The Century” dan dijangkakan akan menjadi secerah “Bulan Purnama”, nampak gayanya tidak akan mencapai jangkaan itu, jika kajian baru-baru ini diambil kira. Malah ia mungkin akan hancur SEBELUM ia mencapai kedudukan perihelion kelak (iaitu poin paling hampir dengan matahari).
Menurut ahli astronomi yang juga pakar komet, Dr. Ignacio Ferrin dari Institute of Physics of the University of Antioquia, di MedellÃn, Colombia, trend peningkatan kecerahan Komet ISON sejak 13 Jan 2013 lepas sehingga sekarang, menunjukkan ia kekal pada tahap yang sama.
Secara amnya, apabila sesebuah komet semakin menghampiri matahari, kecerahannya akan bertambah setiap hari.
“tidak mungkin komet ini akan menjadi seterang bulan purnama”, tegas beliau.
SEJARAH
Pada 2 September 2012 lepas, 2 orang ahli astronomi Rusia telah menemui Komet ISON. Apabila orbitnya dikira, ahli astronomi semua sedar bahawa pada 28 Nov 2013 nanti, komet ini akan melintasi matahari pada jarak 1.3 diameter matahari sahaja. Dalam erti kata lain, ia akan berada teramat hampir dengan matahari.
PERNAH BERLAKU
Perilaku Komet ISON ini serupa dengan apa yang berlaku dengan sebuah lagi komet sebelum ini, iaitu Komet C/2002 O4 Hönig, yang mana ia kekal pada kecerahan yang sama selama 52 hari sebelum ia hancur dan hilang dari pandangan.
Cuma di dalam kes Komet ISON, jumlah bilangan hari ia kekal dalam kecerahan yang sama, lebih lama iaitu 132 hari (sehingga artikel ini ditulis).
(Atas: Komet C/2002 O4 Hönig yang hancur ketika menghampiri perihelion)
Â
TIDAK PASTI
Ketika ini, Komet ISON berada di belakang matahari, dan hilang dari pandangan kita di Bumi. Ahli astronomi masih tidak tahu keadaan sebenar komet ini sehinggalah ia keluar dan jauh dari silauan cahaya matahari dalam masa sebulan dua ini.
CABARAN
Jika Komet ISON tidak hancur sebelum ia mencapai perihelion nanti, ia masih lagi terpaksa melalui 2 lagi cabaran besar.
Pertama ialah suhu yang melampau, sekitar 2700 darjah celcius, apabila ia menghampiri matahari nanti. Pada tahap suhu ini, besi pun boleh cair, apatah lagi debu dan ais yang membentuk komet ini!
Kedua, komet ini akan melepasi suatu kawasan sempadan di matahari yang dipanggil Had Roche (Roche’s Limit). Sebarang objek yang melepasi sempadan ini akan mengalami kesan graviti matahari yang amat kuat dan boleh merobek-robek nukleus sesebuah komet!
HARAPAN
Saya secara peribadi mengharapkan Komet ISON akan bersinar terang nanti. Kali terakhir sebuah komet yang menyinari terang dan boleh dilihat jelas dari Malaysia ialah Komet Hale-Bopp pada tahun 1995. Jangka masa 18 tahun cukup lama untuk menunggu.
Ditambah lagi dengan ‘kekecewaan’ terhadap ‘prestasi’ Komet PanSTARR baru-baru ini yang tidak begitu gah dan hebat seperti yang diramalkan.
Namun, itulah keseronokan mencerap komet. Tidak ada yang pasti dan konklusif. Ia begitu dinamik dan sentiasa menyimpan rahsia serta mempu memeranjatkan kita di saat-saat yang tidak disangka-sangka.
Like this:
Like Loading...
Related