Persoalan penting berkenaan Gerhana Bulan Penuh 4 April 2015 nanti!

Berita Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

total lunar eclipse 2011

Pada hari Sabtu ini, 4 April 2015, akan berlaku sekali lagi fenomena Gerhana Bulan Penuh, yang dapat dilihat oleh kita di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara. Mungkin ramai yang mempunyai pertanyaan yang masih terngiang-ngiang dalam hati, yang mahu tahu jawapan secepat/seringkas yang mungkin.

Artikel ini bertujuan memenuhi situasi tersebut. Mudah-mudahan ia dapat membantu.


Bilakah gerhana bulan 4 April ini akan bermula?

Secara tepatnya, gerhana ini akan bermula pada jam 5.01 petang. Bulan ketika itu baru memasuki kawasan bayang-bayang yang dipanggil penumbra. Pada jam 6.15 pm, ia akan memasuki kawasan bayang-bayang umbra, Pada jam 7.57 pm, Bulan akan sepenuhnya berada dalam bayang-bayang umbra, menandakan bermulannya fasa gerhana penuh.

Pada jam 8.00 pm, ia berada di puncak gerhana. Selang 2 minit kemudian, iaitu jam 8.02 pm, ia mula bergerak keluar dari bayang-bayang umbra. Pada jam 9.44 pm, bulan sepenuhnya keluar dari bayang-bayang umbra, tetapi masih berada dalam kawasan penumbra, sehinggalah jam 10.58 pm, yang mana secara rasminya, bulan telah pun keluar sepenuhnya dari kawasan bayang-bayang bumi penumbra.

Di bawah ialah gambarajah rasmi laluan gerhana bulan 4 April 2015, yang disediakan oleh Fred Espanak. Sumber.

Screen Shot 2015-03-30 at 11.05.54 AM


 

Apakah yang dimaksudkan dengan penumbra dan umbra tu?

Bayang-bayang bumi ada 2 bahagian, umbra dan penumbra. Ia terbentuk kerana sumber cahaya yang menghasilkan bayang-bayang ini, iaitu matahari, merupakan sebuah objek yang besar dan sumber cahayanya wujud dari sebuah objek berbentuk bulatan (bukannya satu titik).

Kesannya, sebahagian bayang-bayang bumi, masih ada kena tempias cahaya matahari. Maka, bayang-bayang ini tidak pekat hitam. Inilah kawasan bayang-bayang penumbra.

Manakala, sebahagian lagi kawasan bayang-bayang bumi langsung tidak menerima cahaya direct matahari, maka ia lebih gelap. Kawasan ini dipanggil bayang-bayang umbra.

TAMBAHAN: 30 Mac 2014:12:41pm. Disebabkan bayang-bayang penumbra ini tidak gelap, maka ia amat susah untuk dikesan atau dilihat dengan mata. Cuma apabila Bulan mula menghampiri kawasan sempadan bayang-bayang umbra, barulah kelihatan warna gelap, dan bulan kelihatan sompek sedikit demi sedikit.

 

Gambarajah laluan bulan merentasi 2 kawasan bayang-bayang bumi, iaitu umbra dan penumbra. Sumber.

 

Adakah berbahaya untuk melihat gerhana bulan penuh ini dengan mata?

Tidak bahaya langsung.

Kita boleh melihatnya terus dengan mata kerana yang kita lihat itu ialah bulan (bukannya matahari)


Mengapakah bulan kelihatan merah pekat dan tidak hilang sepenuhnya ketika gerhana?

Warna kemerahan pada bulan itu disebabkan cahaya matahari yang bergerak berhampiran dengan bumi, telah dibiaskan oleh atmosferanya, Cahaya spektrum berwarna merah lebih mudah/banyak terbias berbanding warna lain.

Itulah sebabnya kita boleh lihat kesan kemerahan ketika fasa gerhana penuh.

Suasana kemerahan ketika fasa gerhana penuh. ©Shahrin Ahmad

Selain dari warna merah, saya pernah terdengar ada warna turquoise?

Menarik sekali, warna merah bukan sahaja satu-satunya warna yang boleh dilihat. Ketika bulan baru sahaja nak masuk sepenuhnya ke dalam kawasan bayang-bayang umbra, kita berpeluang melihat sedikit warna turquoise di bahagian bulan yang lebih terang).

Warna turquoise ini wujud kerana cahaya matahari yang memasuki kawasan lapisan ozon bumi, hampii kesemua spektrum warna matahari akan diserap KECUALI biru.

Warna biru ini terlepas dan mengenai permukaan bulan, lalu menghasilkan warna turquoise.

Saya pernah berjaya merakamnya pada gerhana bulan tahun 2011 lepas, dan dipaparkan di laman Spaceweather.com . Cukup menarik!

Warna turquoise ketika gerhana bulan penuh pada 11 Disember, 2011. ©Shahrin Ahmad

Fasa gerhana penuh kali ini macam pendek je, kenapa ye?

Memang benar, untuk gerhana kali ini, julat waktu fasa gerhana penuh (iaitu ketika bulan sepenuhnya berada dalam bayang-bayang umbra) agak pendek, iaitu kurang 5 minit.

Malah, untuk gerhana 4 April 2015 ini, ia merupakan yang PALING PENDEK untuk kurun ke-21!

Ini adalah kerana laluan bulan merentasi bayang-bayang bumi kali ini betul-betul di penjuru luar sempadan umbra. Maka, durasi ia berada dalam kawasan umbra ini amat singkat.

Lihat simulasi di bawah. Jika tiada paparan yang keluar, sila klik SINI.

Simulasi oleh earthsky.org

Di lokasi manakah sesuai untuk melihat gerhana bulan kali ini?

Disebabkan gerhana SUDAH PUN BERMULA ketika ia terbit pada Maghrib 4 April 2015 nanti, maka bulan akan berada rendah di ufuk sebelah timur. Maka, lokasi sesuai yang disarankan ialah:

  1. Kawasan ufuk timur yang kosong, tiada gangguan bangunan, pokok mahupun bukit yang tinggi.
  2. Di atas bangunan tinggi, yang dapat melihat ufuk TIMUR yang kosong (tiada gangguan/halangan)
  3. Kawasan pantai timur semenanjung, yang mana langit timurnya mengadap laut.
  4. Malaysia timur seperti di Sabah, di mana Bulan akan terbit satu jam lebih awal dari Semenanjung, maka di sana hampir keseluruhan fasa gerhana (dari awal hingga akhir) dapat dilihat. Bagi di Semenanjung, hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu bermula dari fasa hampir-hampir nak penuh.

 

Bolehkah kita lihat gerhana bulan dari kawasan bandar yang banyak gangguan cahaya?

InsyaAllah boleh, kerana bulan merupakan objek yang besar dan terang. Maka, ia mudah dilihat di mana-mana pun, dengan syarat TIADA HALANGAN pandangan di ufuk timur.


 

Saya lihat jadual di SINI, merujuk kepada bandar Kuala Lumpur, Kuching dan Sandakan sahaja? Bandar-bandar lain tak nampak ke?

Kalau nak tulis setiap satu bandar di Malaysia, jenuh ler!

Jadual ini sebagai panduan. Jika kita duduk berhampiran KL, seperti Semenanjung Malaysia, gunalah waktu KL sebagai rujukan. Jika kita berada di sekitar Sarawak dan lebih dekat ke Kuching, gunalah jadual Kuching. Jika kita berada lebih hampir ke Sandakan, gunalah jadual Sandakan.

Kalau di tengah-tengah, buatlah congakan kasar.


 

Ada tak perisian yang boleh digunakan untuk membuat simulasi gerhana ini?

Untuk PC, gunakan Stellarium (percuma)

Untuk alat mobil, saya recommend apps seperti Sky Safari.


Ada kedengaran orang memanggil fenomena ini Blood Moon atau Bulan Berdarah. Apa maksudnya?

Istilah Blood Moon ini dikatakan dimulakan oleh 2 orang paderi Mark Blitz and John Hagee, yang merujuk kepada fenomena 4 kali gerhana bulan penuh berturut-turut (bermula tahun 2014 hingga 2015 ini). Fenomena ini juga dikenali sebagai tetrad.

John Hagee telah mempopularkan istilah Blood Moon ini dalam bukunya  Four Blood Moons: Something is About to Change pada tahun 2013.


Adakah fenomena tetrad ini berlaku hanya pada tahun 2014-2015 sahaja?

Tidak. Tetrad yang membawa maksud 4 kali kejadian gerhana bulan penuh berturut-turut (tanpa ada fenomena gerhana bulan separa lain di antaranya) telah banyak kali berlaku sebelum ini.

Sila rujuk artikel INI, yang turut menyediakan jadual tarikh tetrad yang berlaku sebelum dan selepas ini.

Malah, kita pun boleh kajian sendiri dengan mengkaji fenomena gerhana bulan yang pernah berlaku sebelum ini, menerusi data kiraan ini .


 

Apakah alat paling sesuai untuk mencerap Gerhana Bulan Penuh ini?

Disebabkan bulan ini kelihata besar di langit, kesemua jenis alat mencerap boleh digunakan.

Namun, saya sarankan, guna Binokular atau teleskop berkuasa RENDAH, untuk dapat melihat keindahan fasa gerhana ini semaksimum yang mungkin.

DSC01589
Gambar hiasan. 😉

 


 

Bolehkah kita merakam gerhana bulan?

Boleh. Jika anda mempunyai kamera DSLR, cuba gunakan lens sekitar 300mm ke atas, saya rasakan barulah bulan itu kelihatan cukup besar untuk menonjolkan kesan gerhana di permukaanya.

Contoh DSLR dan lens panjang Photo credit bhphotovideo.com

Simulasi di bawah menunjukkan perbandingan saiz bulan di antara lens bersaiz 200mm dan 500mm.

Screen Shot 2015-03-30 at 9.50.09 AM
Simulasi SkySafari Pro menunjukkan saiz bulan menerusi lens 200mm
Screen Shot 2015-03-30 at 9.50.37 AM
Simulasi SkySafari Pro menunjukkan saiz bulan menerusi lens 500mm

 


 

Apakah setting yang sesuai untuk DSLR?

Secara amnya, gerhana bulan penuh bukanlah sesuatu fenomena yang begitu time critical. Kita masih mempunyai banyak masa untuk mencuba seberapa banyak settings yang berlainan.

Namun, Fred Espanak, ada menulis sebuah artikel yang lengkap mengenainya DI SINI.

Rajah di bawah (dipetik daripada laman web tersebut), memberi panduan ringkas mengenai settings yang sesuai.

Lunar Eclipse Exposure GUide ©Fred Espanak

Apakah ibadat khusus yang boleh dilakukan ketika gerhana bulan?

Umat Islam disarakan melakukan solat sunat gerhana (sunat muakkad). Difahamkan masjid-masjid utama akan turut mengadakan solat sunat gerhana pada malam 4 April 2015 nanti.

Panduan solat sunat ini boleh dirujuk di SINI, edaran Jabatan Hal Ehwal Terengganu


Di manakah Falak Online akan berada untuk cerapan Gerhana Bulan Penuh kali ini?

InsyaAllah, saya akan berada di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Pada 3-5 April 2015 itu nanti juga, akan diadakan Konvensyen Falak Negeri Selangor 2015 di sebelah siangnya.

Semua dijemput hadir

konsvensyen falak selangor 2015


 

Semoga artikel ringkas ini dapat menjawab persoalan yang ada mengenai fenomena Gerhana Bulan Penuh 4 April 2015 ini nanti.

Wallahualam. Tabarakallah.

 

 

 

 

 

 

 

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments