Penjajaran planet yang dikatakan bakal berlaku pada 25 Januari 2025 telah menjadi perbualan hangat, malah dianggap “pelik” oleh sesetengah pihak (dan juga sesetengah media massa). Namun, sejauh mana benarnya dakwaan ini? Adakah ia satu fenomena luar biasa atau sesuatu yang sering berlaku? Artikel ini akan mengupas fenomena ini dengan mendalam berdasarkan fakta astronomi.
Ringkasan artikel ini juga boleh dimuat turun dalam versi PDF.
Apa itu Penjajaran Planet?
Planet-planet dalam sistem suria kita bergerak mengikut orbit masing-masing. Dari Bumi planet-planet ini kelihatan bergerak di sepanjang satu garis khayalan di langit yang dikenali sebagai garisan ekliptik. Garisan ini merentasi 12 buruj zodiak, dan oleh kerana itu, planet-planet sentiasa ‘kelihatan berada dalam satu garisan secara asasnya. Namun, apabila dikatakan berlaku “penjajaran planet”, ia selalunya merujuk kepada situasi di mana beberapa planet dapat dilihat bersama-sama di langit pada waktu tertentu.
Fenomena ini boleh berlaku dalam dua bentuk:
1. Berselerak dari ufuk barat ke timur – Planet-planet berada dalam kedudukan yang berbeza di langit, tetapi masih dapat dilihat dalam waktu yang sama.
2. Berkumpul di satu kawasan langit yang sama – Fenomena ini lebih dikenali sebagai planetary conjunction, yang dianggap lebih menarik dalam komuniti astronomi.
Dalam konteks 25 Januari 2025, planet-planet tidak akan berkumpul di satu kawasan kecil di langit tetapi kelihatan berselerak, dari barat ke timur.
Seberapa Kerap Fenomena Ini Berlaku?
Kiraan menggunakan perisian astronomi menunjukkan fenomena seperti ini bukanlah sesuatu yang jarang berlaku. Planet-planet yang “berjajaran” sebenarnya boleh dilihat sepanjang tahun kerana mereka sentiasa bergerak di atas garisan ekliptik. Walaupun begitu, peluang untuk melihat banyak planet serentak (termasuk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti Uranus dan Neptun) adalah lebih terhad, terutamanya pada waktu senja atau subuh apabila keadaan langit gelap tetapi planet-planet sudah terbit atau belum terbenam.
Berdasarkan analisis data kiraan astronomi yang meliputi 10 tahun sebelum dan 10 tahun selepas 2025, fenomena seperti ini telah pun berlaku beberapa kali. Saya sendiri masih belum jumpa punca mengapa tarikh 25 Januari 2025 dipilih sebagai ‘tarikh keramat’.
Dalam erti kata lain, jika anda ‘terlepas’ tarikh 25 Januari itu, sebenarnya planet-planet itu masih ada je di atas langit senja kita selama beberapa bulan.
Penjajaran Planet: Hakikat atau Sekadar Sensasi?
Fenomena ini sering disalah anggap sebagai sesuatu yang “luar biasa” kerana istilah seperti planetary parade atau penjajaran planet sering disensasikan. Hakikatnya, planet-planet tidak pernah berada dalam satu garis lurus secara fizikal kerana setiap planet mempunyai jarak dan orbit tersendiri di angkasa. Apa yang kita lihat dari Bumi hanyalah dari sudut perspektif pandangan kita.
Rajah di bawah menunjukkan kedudukan sebenar planet-planet di dalam orbit. Ia bukanlah sederet di dalam satu garisan, tetapi berselerak melebihi 90 darjah dari planet yang paling hujung (Marikh) ke hujung lagi satu (Utarid).
Tambahan pula, planet-planet yang kelihatan berjajaran pada tarikh tertentu tidak semestinya berkumpul di satu kawasan langit. Sebaliknya, mereka mungkin kelihatan berderetan tetapi “berselerak” dari ufuk barat hingga timur. Sebagai contoh, pada 25 Januari 2025, planet-planet akan muncul di langit Malaysia pada waktu senja, tetapi mereka tidak akan berada dalam kumpulan kecil. Walaupun begitu, kehadiran Bulan pada waktu yang sama menambah sedikit keunikan kepada fenomena tersebut.
Menggunakan Kiraan Astronomi untuk Memahami Fenomena
Untuk memastikan ketepatan fakta, kiraan telah dibuat menggunakan librari python popular seperti pyephem. Analisis ini melibatkan dua jenis graf:
1. Graf yang melibatkan semua planet utama dan Bulan, termasuk Uranus dan Neptun (yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar). Fenomena berlaku sama ada waktu Maghrib atau selepas Subuh.
2. Graf yang hanya melibatkan planet yang dapat dilihat dengan mata kasar seperti Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, dan Zuhal, serta Bulan. Fenomena berlaku sama ada waktu Maghrib atau selepas Subuh.
Seperkara lagi, fenomena ini selalunya dikaitkan berlaku pada waktu senja atau subuh, kerana hanya pada waktu itu planet Utarid dan Zuhrah akan kelihatan.
Pada graf, tanda merah menunjukkan masa di mana Bulan juga kelihatan di langit bersama-sama planet lain. Melalui analisis ini, tarikh-tarikh penting dikenalpasti untuk fenomena yang melibatkan bilangan planet terbanyak.
Rumusan dari graf
Secara amnya, kita boleh dapat fenomena planet-planet yang kelihatan serentak banyak di langit bukanlah sesuatu yang pelik. Ia telah pun berlaku banyak kali sebelum 2025, dan juga akan berlaku banyak kali selepas ini.
Video simulasi di bawah menunjukkan pergerakan planet-planet ini pada waktu Maghrib, bermula dari 21 Feb hingga 21 Mac 2025. Simulasi di tangkap layar dari perisian Sky Safari. Harus diingat, Uranus dan Neptune tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Yang lain boleh, melainkan ia terlalu rendah di ufuk ketika Maghrib.
Secara peribadi, peristiwa yang berlaku pada 30 Januari hingga 12 Februari, 23-27 Februari dan 1-8 Mac lebih menarik kerana kita akan dapat lihat 7 buah objek sekali gus (termasuk Bulan, dan 2 planet yang memerlukan teleskop, Uranus dan Neptune).
Kesimpulan
Penjajaran planet pada 25 Januari 2025 bukanlah satu fenomena yang pelik atau luar biasa. Ia adalah hasil semula jadi dari pergerakan planet di sepanjang garisan ekliptik. Namun, ia tetap menjadi peluang menarik untuk memerhati keindahan langit malam dan memahami pergerakan planet-planet di dalam sistem suria kita. Apa yang lebih penting adalah menghayati keindahan fenomena ini tanpa terlalu mensensasikan perkara yang sebenarnya biasa berlaku demi klik. Perkara yang disalaherti seperti ini apabila sampai kepada masyarakat awam yang tidak pernah melihat kejadian langit, akan menimbulkan banyak kekeliruan dan teori yang bukan-bukan. Seeloknya tulislah secara beretika dan berilmiah, terutama media-media masa dan pempengaruh zaman sekarang ini.
Wallahua’lam