Bintang Betelgeuse akan ‘hilang’ seketika oleh asteroid Leona.

Berita Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban Umum

Satu fenomena jarang berlaku akan dapat dilihat pada 12 Disember 2023 ini. Bintang Betelguese akan dihijab beberapa ketika oleh asteroid Leona.

Bintang terang berwarna merah ini dijangka akan pudar buat beberapa saat, atau mungkin akan kelihatan ‘hilang’ juga, apabila asteroid ini melintasi di hadapan bintang tersebut.

Bintang Betelegeuse ialah satu-satunya bintang terang berwarna merah yang membentuk buruj Orion.

Fenomena ini boleh disamakan dengan dengan fenomena gerhana matahari, iaitu apabila Bulan melintas di hadapan Matahari dan menghalang sebahagian atau keseluruhan cahaya Matahari buat beberapa saat atau minit.

Laporan laman web International Occultation Timing Association (IOTA) European Section, menyatakan laluan penghijaban ini dapat dilihat dari negara-negara di selatan Eropah, merentas Lautan Atlantik dan ke selatan Florida serta Mexico. Sebahagian Turki juga dapat menyaksikannya.

Skyatnightmagazine.com melaporkan proses penghijaban bintang Betelgeuse ini boleh berlangsung selama 7 saat. Dalam erti kata lain, jika kita pandang ke buruj Orion pada waktu tersebut, ia akan kelihatan ‘hilang’ salah sebuah bintangnya!

Menarik di sini ialah kecerahan bintang Beteleguese ini ialah magnitud 0, manakala asteroid ini hanya bersinar pada kecerahan magnitud 14.2 (terlampau kelam untuk dilihat dengan mata kasar)

Namun jika diteropong menerusi teleskop yang besar, bintang Betelgeuse ini tidak akan hilang sepenuhnya kerana saiz asteroid Leona ini jauh lebih kecil dari bentuk cakera bintang Betelgeuse. Buat pengetahuan semua, bintang ini sungguh besar saiznya sehinggakan ia merupakan satu daripada beberapa buah bintang di langit yang kita boleh lihat bentuk cakera ‘bulatnya’ jika diteropong menggunakan teleskop besar berkuasa tinggi.

Atas: Imej bintang Betelegeuse yang dirakam oleh The Very Large Telescope (VLT) pada Januari 2019 (kiri) dan Disember 2019. Kredit ESO/M. Montargès et al.

Fenomena penghijaban atau occultation ini amat diminati oleh pencerap langit seluruh dunia, samada amatur ataupun professional, kerana ia dapat membantu mengemas kini pergerakan objek-objek angkasa serta mengira saiz objek-objek yang terlibat menerusi kesan cahaya terlindung.

Di antara contoh penghijaban yang saya pernah dapat rakam ialah penghijaban planet Zuhrah, dan bintang-bintang lain. Boleh rujuk rakaman video yang telah dibuat menerusi playlist di channel youtube saya ini.

Kejadian ini malangnya tidak dapat dilihat dari Malaysia kerana sudut posisi asteroid Leona dan bintang Betelguese tidak berselisih dari pandangan kita di sini. Namun, menerusi kiraan yang dibuat oleh ahli astronomi dunia, penduduk di selatan Eropah berpeluang menyaksikannya sekitar jam 9 pagi waktu Malaysia pada Selasa, 12 Disember 2023. Bagi yang berada di selatan florida dan Mexico, ia akan terhijab sekitar jam 9:20 – 9:25 pagi waktu Malaysia pada hari yang sama.

Saya mengikuti rapat perbincangan yang dibuat menerusi forum IOTAoccultations, dan memang banyak persediaan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli forum di dalam merancang untuk merekodkan sebanyak mungkin data.

Jika anda berminat untuk sama-sama mengikuti fenomena penghijaban ini secara langsung, boleh ikuti  Virtual Telescope Project 2.0.

Pada tahun hadapan, 2024, akan berlaku beberapa kali fenomena penghijaban Bulan ke atas gugusan bintang Seven Sisters atau al-Thuraya di dalam buruj Taurus, bintang Antares, Spica dan juga planet Zuhal. Sila rujuk artikel Fenomena samawi tumpuan tahun 2024 – Ringkasan Almanak Astronomi 2024

Wallahua’lam.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments