Setiap 2 tahun 2 bulan, Bumi akan melintasi planet Marikh di dalam pusingan orbit. Ketika ini Bumi dan Marikh akan berada pada poin paling dekat antara satu sama lain, dan segaris dengan Matahari. Dari pandangan kita di Bumi, kita akan lihat Marikh mula terbit sebaik sahaja Maghrib. Dalam erti kata lain kedudukan Marikh akan bersetentang (opposite) dari Matahari. Di dalam istilah astronomi ia dikenali sebagai opposition.
Peminat astronomi amatur seluruh dunia sentiasa menanti-nantikan kedatangan saat ini. Ini adalah kerana pada waktu ini, barulah kita akan dapat lihat permukaan planet Marikh dengan lebih jelas. Planet ini kecil, lebih kurang separuh sahaja daripada saiz Bumi. Oleh itu, pada waktu ia jauh dari Bumi, ia kelihatan amat kecil dan tak menarik langsung apabila dicerap menerusi teleskop.
Namun, apabila ia dekat dengan Bumi, barulah kita akan dapat lihat beberapa rupa bentuk permukaannya, seperti kawasan tanah yang gelap, banjaran gunung, awan dan kawasan kutub.
Pada tahun 2025 ini, Marikh akan berada bersetentang pada 16 Januari 2025. Tarikh ini hanyalah formaliti dan bukannnya bermaksud ‘hanya pada tarikh ini sahaja boleh nampak Marikh!’. Planet ini sekarang pun dah boleh nampak selepas waktu Isya’ di timur. Ia akan kelihatan seperti bintang merah yang terang.
Walaupun tarikh istiqbal ini 16 Januari, saat planet ini paling dekat dengan Bumi ialah beberapa hari sebelum itu, iaitu 12 Januari 2025.
Istiqbal dekat, istiqbal jauh
Secara logiknya kita akan terfikir, setiap kali istiqbal ini berulang setiap 26 bulan, bermaknanya kita akan nampak Marikh besar dan terang sama seperti sebelum ini. Sebenarnya tidak. Orbit Marikh, seperti Bumi, sedikit berbentuk sedikit elips. Maka ada ketika ia berada paling jauh dari Matahari (aphelion) dan ada ketika ia berada dekat dengan Matahari (perihelion).
Kesannya, ada tarikh-tarikh istiqbal yang berlaku ketika ia berada jauh daripada biasa, dan ada yang dekat. Untuk tahun 2025 ini, Marikh akan menghampiri titik aphelion, yakni kedudukan planet ini semakin jauh dari Matahari. Oleh itu, ia akan kelihatan sedikit kecil berbanding tarikh istiqbal lain.
Jika kita perhatikan rajah di bawah, ia lebih jelas menunjukkan saat istiqbal yang berlaku sebelum dan selepas ini, semuanya berbeza-beza jarak planet ini dengan Bumi dan Matahari. Kombinasi semua ini akan menyebabkan setiap kali ia berlaku, kita akan lihat Marikh sedikit berbeza saiz dari sebelumnya.
Untuk tahun 2025 ini, ia bukanlah yang paling dekat. Malah ia antara paling jauh. Istiqbal tahun 2027 nanti pula… lagi jauh! Selepas itu barulah ia semakin dekat.
Di manakah planet Marikh sekarang?
Planet Marikh kini berada di dalam buruj Gemini, iaitu sebuah buruj terang di sebelah timur laut dari Orion. Lebih menarik ialah planet ini berada hampir dengan 2 bintang tercerah Gemini, iaitu bintang Pollux dan Castor. Untuk sepanjang bulan ini hinggalah April 2025, ia akan berlegar-legar di kawasan 2 bintang ini. Memang senang nak kenal sebab planet ini kelihatan seperti bintang merah yang terang. Malah ia sedikit lebih terang dari bintang Sirius (yang berada di kawasan langit tenggara).
Menerusi teleskop kita sudah boleh melihat beberapa ciri permukaan yang menarik. Saya dapati saiznya agak kecil dan mencabar sikit kalau guna teleskop berkuasa rendah. Cubalah cari peluang menggunakan teleskop yang saiz aperture lebih dari 8 inci dan guna eyepiece berkuasa tinggi.
Kalau dirakam menerusi teleskop dan kamera planetari, ciri-ciri permukaannya lebih jelas. Namun ini juga bergantung kepada keadaan kegeloraan langit. Jika suasana langit tidak stabil dan bergelora, susah nak nampak jelas.
Di bawah ialah apa yang saya dapat rakamnya pada 2 Januari 2025 lepas, di dalam keadaan langit yang agak stabil.
Walaupun planet ini masih kecil menerusi teleskop, kita masih boleh mengenal pasti beberapa ciri permukaannya.
Di bawah pula yang dirakam pada 30 Disember 2024 dalam suasana langit bergelora! Boleh nampak bezanya kan?
Di bawah ialah rakaman yang sempat saya rakam pada tahun 2020 lepas.
Kali terakhir istiqbal perihelic (istiqbal yang berlaku ketika perihelion) planet Marikh ialah tahun 2018. Ulangan kepada momen ini akan berlaku pada tahun 2035 nanti. Di bawah pula ialah koleksi hari-hari menuju ke saat istiqbal tahun 2018.
Walaupun istiqbal kali ini tidaklah ‘sebesar’ sebelum ini, namun kita patut ambil peluang keemasan untuk meneroka dan mencerap planet Marikh dengan apa cara sekali pun.
Selamat mencerap.