Jom cuba jejaki meteor Lyrids malam ini, 22 April 2021.

Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid

Sekitar hari ini, jam 9 malam 22 April 2021 waktu Malaysia, meteor Lyrids akan muncul pada kadar paling maksimum. Berdasarkan data sebelum ini, sekitar 10 meteor setiap jam dijangka akan kelihatan menerusi langit yang betul-betul gelap, tanpa gangguan cahaya bulan.

(Imej utama artikel kredit Harris Jeffrey)

Berikut ialah Q&A mengenai kemunculan meteor Lyrids untuk tahun ini.

Bilakah waktu puncak Lyrids?

Menurut laporan rasmi International Meteor Organization, Meteor Lyrids ini akan memuncak dalam masa beberapa jam sahaja, dari waktu puncak 9 malam itu tadi. Malangnya, kedudukan radian (titik muncul) meteor ini yang masih belum terbit pada waktu tersebut, dan dijangka bilangan meteor yang kelihatan akan jauh lebih sedikit daripada 10 meteor/jam.

Di manakah titik radian atau titik muncul meteor Lyrids?

Meteor-meteor ini akan kelihatan muncul dari sebuah buruj kecil bernama Lyra di langit utara. Buruj ini akan terbit sekitar jam 11:30 malam (10:30 malam di Sabah) di sebelah ufuk timur laut.

Bilakah waktu terbaik untuk melihat meteor Lyrids?

Secara amnya, meteor-meteor ini sudah boleh dicerap bermula tengah malam ini hinggalah masuk waktu Subuh (dawn) esok, 23 April 2021.

Adakah cahaya Bulan akan mengganggu penglihatan meteor Lyrids untuk tahun ini?

Bulan baru sahaja beberapa hari melepasi Fasa Sukuan Awal. Maka, pada sekitar tengah malam, Bulan masih berada tinggi dan akan menerangi keseluruhan langit. Ini akan mengganggu kenampakan meteor-meteor ini dan menyebabkan kita dapat melihat kurang dari 10 meteor setiap jam.

Bulan hanya akan terbenam sekitar jam 3:30 pagi (2:30 pagi di Sabah). Setelah ia terbenam, barulah keadaan langit menjadi lebih gelap dan memungkinkan kita nampak bilangan meteor yang banyak.

Namun, kita harus ambil kira waktu puncaknya sudah pun berlaku pada jam 9 malam. Maka jika anda mencerap pada jam 4 pagi, ini bermaksud ia sudah pun melepasi 7 jam daripada momen kemuncaknya.

Jika saya nak tengok jugak, arah manakah paling sesuai untuk melihat meteor-meteor ini?

Anda boleh cuba hala pandangan anda ke arah timur, timur laut atau sebelah langit utara. Meteor-meteor yang kelihatan muncul dari arah ini selalunya berkait dengan meteor Lyrids.

Namun, jika kawasan langit anda di sebelah utara tidak sesuai atau mungkin diganggu oleh cahaya, anda masih boleh lihat di mana-mana kawasan langit pun.

Kedudukan titik muncul (radian) meteor Lyrids sekitar jam 1 pagi (12 tengah malam di Sabah). Simulasi SkySafari 6 Pro

Di manakah kawasan sesuai untuk melihat meteor?

Sebaiknya cari kawasan gelap dan jauh dari gangguan cahaya. Lokasi di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, adalah tidak sesuai kerana terlalu banyak pencemaran cahaya.

Elakkan mencerap dari kawasan yang ada banyak gangguan cahaya. (gambar hiasan)

Jika anda berada di kawasan luar bandar, anda bernasib baik dan memungkinkan dapat lihat bilangan meteor yang lebih ‘banyak’ berbanding di bandar.

Selain itu, carilah kawasan lapang. Jangan cuba mencerap meteor dari dalam tingkap bilik! Anda harus mencari kawasan yang tidak ada sebarang halangan seperti bangunan atau pokok.

Meteor merentasi Bima Sakti, rakaman menakjubkan oleh otai kita, Harris Jeffrey.

Apakah aktiviti yang boleh dibuat ketika mencerap meteor Lyrids kali ini?

Cubalah kira bilangan meteor yang muncul. Selain itu, cuba catatkan:

  • Waktu meteor itu dilihat.
  • Kecerahan meteor itu, adakah ia bersinar terang seperti planet Venus atau pudar seperti bintang yang kelam?
  • Warna meteor yang dilihat. Nota: warna meteor boleh menunjukkan jenis komposisi meteor tersebut.
  • Arah meteor itu muncul. Utara? Selatan? Tinggi atas kepala? Rendah di ufuk?

Anda juga boleh melaporkan bilangan meteor yang dilihat menerusi usaha yang dibuat oleh rakan kita di DarkSkyMalaysia ini.

Bolehkah kita merakam meteor-meteor ini?

Boleh tiada masalah. Anda hanya perlukan kamera DSLR dan lens bersudut luas. Kemudian gunalah alat seperti intervalometer untuk merakam seberapa banyak gambar yang boleh. Setiap frame gambar seeloknya dipanjangkan waktu dedahan, mungkin boleh set hingga 30 saat.

Emma dan hubby, Luqman berjaya merakam meteor Lyrids awal pagi tadi.

Dari manakah asal meteor Lyrids ini?

Berdasarkan kajian, habuk-habuk debu meteor Lyrids ini berasal daripada sebuah komet bernama Komet 1861 G1 Thatcher. Kali terakhir komet ini melintasi kawasan sistem suria berhampiran matahari ialah pada tahun 1861. Komet ini mempunyai orbit yang agak besar, dan mengelilingi Matahari setiap 415 tahun!

2 tahun setelah komet ini ditemui, kemunculan meteor-meteor yang banyak telah membantu ahli astronomi mengaitkan Komet Thatcher dengan meteor Lyrids.

Saya tertarik membaca sejarah meteor ini. 60 tahun sebelum penemuan Komet Thatcher, iaitu tahun 1803, ada laporan yang mengatakan banyak meteor yang muncul. Malangnya, tiada kajian meteor dibuat pada tahun 1920an, menyebabkan ramai ‘terlepas pandang’ kemunculan meteor Lyrids yang banyak pada tahun 1922!

Seolah-olah ada corak yang mana setiap 60 tahun, bilangan meteor Lyrids menjadi lebih banyak dari biasa.

Malangnya, 60 tahun kemudian, sekitar tahun 1980an, sekali lagi tidak ramai yang mengkaji meteor, dan sekali lagi pada tahun 1982, peminat meteor terkejut dan tidak bersedia dengan kemunculan Lyrids yang begitu banyak!

Harapnya, pada tahun 2040an nanti, jangan lah pulak ada yang terlepas pandang lagi!

Dimanakah maklumat mengenai meteor yang boleh dirujuk?

Secara amnya, cara mencerap meteor sama sahaja bagi semua musim meteor. Anda boleh rujuk kembali artikel-artikel FalakOnline yang ditulis sebelum ini.

Selamat mencerap!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments