New Horizons bersiap sedia untuk melintasi Ultima Thule pula!

Berita Misi Angkasa

 

ultimahthule1
Lakaran artis menunjukkan prob angkasa New Horizons sedang melintasi Ultima Thule. Sumber.

Jendela baru 2019 ini bakal dibuka dengan satu lagi milestone  di dalam pengembaraan manusia di hulu sistem suria kita.

Prob angkasa New Horizons yang telah melawati Pluto pada tahun 2015 yang lalu, kini dalam perjalanan menuju ke sebuah lagi objek yang lebih kecil dan lebih jauh daripada Pluto.

Objek yang diberi nama Ultima Thule (pada awalnya kita terpaksa memanggilnya dengan nombor yang berjela-jela 2014 MU69) terletak pada jarak 6.5 BILION km daripada Bumi! Ia dipercayai mempunyai diameter sekitar 30km sahaja dan jika lintasan ini berjaya, ia bakal menjadi objek sistem suria yang paling jauh pernah dilawati oleh prob angkasa.

DneSE8qXcAADGaP.jpg
Foto terawal Ultima Thule yang dirakam oleh prob New Horizons. Sumber.

Menurut kenyataan dari pengurus operasi New Horizons, Alice Bowman, prob ini akan melintasi hanya 3500 km sahaja di atas permukaan Ultima Thule pada poin yang paling dekat. Ketika itu, ia akan bergerak pada kelajuan 51,000 km sejam! Pada jarak yang dekat ini, kita bakal dapat merakam formasi rupa bentuk permukaan objek ini pada resolusi yang jauh lebih bagus berbanding Pluto.

Tidak banyak yang diketahui mengenai Ultima Thule. Ia ditemui hanya 4 tahun dulu menerusi Teleskop Angkasa Hubble. Ia tergolong di dalam kumpulan objek-objek Kuiper dan dipercayai terdiri daripada ais dan debu yang tertinggal daripada awal pembentukan sistem suria ini 4.5 bilion tahun dahulu.

Berdasarkan cerapan lain, kita juga tahu warnanya kemerahanan. Ini merupakan tanda-tanda permukaannya diselaputi ais yang amat tua. Ia juga berbentuk sedikit lonjong berdasarkan data cerapan transit yang dilakukan sebelum ini. Ada saintis juga mempercayai ia bukannya satu, tetapi dua buah objek berkembar.

New Horizons akan melintasi Ultima Thule pada 1 Januari 2019 nanti. Walaupun tinggal kurang 2 minggu lagi, tidak banyak yang dapat kita tahu mengenainya. Ini disebabkan ia amat kecil.

Fasa 24 jam sebelum dan selepas tarikh keramat itu amat penting bagi para pengendali misi ini. Pergerakannya yang amat laju berdesup, menyebabkan ia ‘tidak sempat’ menghantar isyarat data kembali ke Bumi dalam masa sebenar. Kita hanya dapat memuat turun data-data awal yang dirakam bermula 2 Januari 2019, dan rakaman paling baik dan paling terperinci pada 3 Januari.

Selain itu kita harus faham, jarak prob ini ialah 6.5 bilion km daripada Bumi. Pada jarak ini, isyarat radio yang dipancarkannya mengambil masa lebih 6 jam untuk sampai kepada pusat kawalan di sini!

Menurut Penyiasat Utama New Horizons, Alan Stern, kadar kelajuan data yang dimuat turun hanya sekitar 1000 bits per saat, dan akan mengambil masa 20 bulan untuk memuat turun kesemua data yang diperolehi itu nanti.

Jom kita sama-sama tunggu hasil New Horizons ini nanti. Saya syorkan anda follow akaun twitter rasmi New Horizons untuk mendapatkan berita terkini dari semasa ke semasa.

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments