Saksikan himpunan Bulan, Musytari dan Zuhrah pula! 23-24 Ogos 2014

Fenomena Himpunan Samawi

Langit pada waktu Subuh sekarang, PENUH dengan planet-planet yang cerah, bulan serta buruj-buruj popular seperti Orion dan juga bintang tercerah Sirius.

Semenjak minggu lepas, kebanyakan daripada kita pasti sudahpun memerhatikan gelagat Zuhrah dan Musytari, yang menari-nari di ufuk timur, selain bertukar-tukar posisi di langit, sehinggalah kemuncaknya pada 18 Ogos lepas yang mana keduanya berada paling hampir antara satu sama lain.

Kedudukan Zuhrah dan Musytari pada Subuh, 20 Ogos 2014 dari Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur ©shahgazer.net

Namun, semua ini belum berakhir. Seolah-olah tak mau kalah, Bulan pun akan turut serta bersama kumpulan planet tersebut.

Tarikh

2 tarikh penting untuk kita sama-sama perhatikan ke langit, ialah pada hari Sabtu, 23 Ogos dan Ahad 24 Ogos.

Berdasarkan kiraan perisian simulasi Sky Safari Pro 4, pada Subuh hari Sabtu, 23 Ogos nanti, Bulan akan berada di atas daripada Musytari dan Zuhrah.

Perhatikan kedudukan Zuhrah sekarang semakin rendah ke ufuk setiap hari. Tak lama lagi ia akan hilang dari pandangan buat beberapa bulan (kerana ketika itu ia akan berada di belakang matahari).

Rajah di bawah menunjukkan pandangan pada Subuh, 23 Ogos nanti, beserta dengan kotak hijau, yang menandakan saiz pandangan kamera yang menggunakan lens 50mm.

Screen Shot 2014-08-21 at 8.51.17 AM
Posisi pada Sabtu, 23 Ogos 2014

 

Kemudian, pada Subuh, hari Ahad 24 Ogos pula, Bulan akan berubah kedudukan dan menjadi semakin rendah ke ufuk. Kali ini, Bulan, Zuhrah dan Musytari akan membentuk sususan berbentuk segitiga yang comel.

Rajah di bawah menunjukkan kedudukan pada Subuh, 24 Ogos nanti.

Screen Shot 2014-08-21 at 8.54.12 AM
Posisi pada Ahad, 24 Ogos 2014

Waktu terbaik.

Rajah-rajah di atas menunjukkan kedudukan langit lebih kurang 30 minit selepas azan Subuh. Ketika itu langit sudah mula semakin terang. Oleh itu peluang untuk merakam objek-objek ini berlatarbelakangkan langit yang gelap, agak terhad.

Anda digalakkan mencari kawasan di mana ufuknya kosong dan tiada sebarang halangan.

Pasti ramai yang bertanya, 30 minit selepas Subuh tu ikut waktu negeri mana? Jawapannya mudah, ikut waktu Subuh kawasan masing-masing, kemudian tambah je 30 minit selepas itu. Tak perlu pening-pening.

Realiti

Walaupun ketiga-tiga objek ini kelihatan dekat antara satu sama lain, hakikatnya di ruang angkasa lepas, ketiga-tiganya berada pada kedudukan yang amat jauh antara satu sama lain.

Screen_Shot_2014-08-21_at_9_24_10_AM
Kedudukan Bumi, Zuhrah dan Musytari di dalam orbit. Simulasi: Sky Safari Pro 4

Cuma lihat congakan di bawah:

Bulan berada lebih kurang 405,621 km daripada Bumi. Cahayanya mengambil masa lebih kurang 1.4 saat untuk sampai ke Bumi.

Zuhrah berada 244 JUTA km daripada Bumi. Cahayanya pula mengambil masa 14 minit untuk sampai ke Bumi!

Musytari berada 927 JUTA km! Dan cahayanya mengambil masa 52 minit untuk sampai ke Bumi!

Earthshine

Jangan lupa juga untuk memerhatikan suasana Earthshine di Bulan. Waktu-waktu begini, yang mana Bulan berbentuk sabit yang halus, merupakan waktu yang paling sesuai untuk mencerap dan merakam fenomena ini.

moon-15-Apr-2013-5dmkii-ts65q-smarteqpro

Boleh rujuk ARTIKEL INI untuk dapatkan tips merakam Earthshine, dan juga KLIK SINI untuk mencapai artikel-artikel FO berkenaan fenomena ini.

Selamat Mencerap!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments