Air mengalir di Marikh!

Berita Penemuan Terkini

Air mengalir di permukaan Marikh!

Saintis NASA misi ke Marikh akhirnya telah menemui bukti yang paling jelas dan kukuh kewujudan air di atas permukaan Marikh!

Menerusi kamera bernama HiRISE, yang dipasang pada satelit Mars Reconnaissance Orbiter, telah melihat garisan-garisan hitam yang kelihatan di celah-celah curam kawah dan ngarai di permukaan Marikh, berubah-ubah warna menjadi lebih gelap ketika musim ‘bunga’ dan musim ‘panas’ di sana.

ESP_034830_1670
Recurring Slope Lineae di kawasan Coprates Chasma. Sumber

Paling penting di sini ialah HiRISE (menerusi kajian spectroscopy) telah menemui bukti wujudnya garam di dalam garisan-garisan ini, seterusnya menunjukkan garisan ini wujud hasil aliran air yang ‘masin’ dalam waktu-waktu tertentu

Menurut Jim Green, Pengarah Sains Planetari NASA “.. air di atas permukaan Marikh ini wujud dalam keadaan tertentu dan ia bergantung kepada keadaan cuaca dan suhu di sana”.

Garisan-garisan yang digelar  Recurring Slope Lineae (atau RSL), ia telah pun  pertama kali dilihat pada tahun 2011. Namun begitu, walaupun ketika itu saintis sudah pun merasakan kesan-kesan garisan itu disebabkan aliran cecair, tetapi ia belum dapat dibuktikan secara pasti.

Lompat 4 tahun kemudian, hari ini 2015, setelah banyak pemerhatian dan pencerapan terhadap kawasan-kawasan yang mempunyai RSL ini, saintis telah dapat melihat perubahan bentuk garisan-garisan ini dengan begitu jelas.

Kini mereka boleh katakan dengan penuh yakin bahawa garisan-garisan RSL ini memang benar-benar bukti wujud aliran air di situ.

Menerusi gabungan foto-foto  di atas, kita boleh lihat sendiri kesan perubahan RSL ini. Jalur-jalur hitam ini kelihatan berubah warna menjadi gelap pada waktu-waktu musim tertentu.

Jalur-jalur RSL ini hanya beberapa meter lebar sahaja, tetapi panjangnya mencecah ratusan meter.

_85788201_perspective_6-1024x532
Bentuk garisan-garisan gelap, Recurring slope lineae yang menjalar beratus-ratus meter di cerun-cerun kawah. Kredit NASA/JPL/UA

Penting untuk faham di sini ialah penemuan air di sini dilakukan secara indirect atau tidak langsung, menerusi penemuan-penemuan RSL. Kita bukanlah nampak adanya aliran cecair di kawasan tersebut, ia hanyalah bekas laluan cecair, yang mana tertinggal di situ ialah kesan hydrated salts atau garam terhidrat.

“Kewujudan garam ini telah menunjukkan adanya air di situ sebelum ini. Ia membuktikan air memainkan peranan penting kewujudan garisan-garisan RSL ini”, kata Saintis Planetari, Alfred McEwen dari Arizona State University.

Penemuan ini bukan sahaja telah menjawab persoalan penting iaitu samada air wujud di Marikh atau tidak, tetapi ia sebenarnya membuka kepada soalan baru… “dari mana datangnya air ini?”

Menurut Ketua penyelidik Lujendra Ojha, pelajar siswazah dari Georgia Institute of Technology, “Kita masih belum mampu kenalpasti puncanya”

“Ia(air) mungkin terbentuk hasil pencairan ais samada di permukaan atau bawah permukaan, tetapi kewujudan ais di kawasan berhampiran kawasan khatulistiwa agak mustahil”, tambah Ohja.

(Atas: animasi menunjukkan perubahan RSL di sekitar kawah bernama Hale Crater di Marikh)

Apa yang saya faham di sini ialah, walaupun permukaan Marikh ini amat sejuk, namun di kawasan garisan Khatulistiwa yang menerima cahaya matahari lebih banyak berbanding kawasan lain, tidak memungkin ais wujud di permukaan. Maka, jika tiada ais, maka air tak mungkin terhasil. Oleh itu, perlu ada teori lain kepada persoalan dari mana asalnya air ini.

ESP_030373_1755
Recurring Slope Lineae di kawasan Juventae Chasma. Sumber

Menarik lagi di sini ialah, kemunculan air di Marikh ini bermusim. Umum mengetahui paksi Marikh senget 25 darjah (hampir sama dengan Bumi), maka ia pun mempunyai 4 jenis ‘musim’ seperti Bumi (cuma jangka waktu musim di sana 2 kali ganda lebih panjang berbanding kita di sini). Maka, ketika musim sejuk, kesan garisan RSL ini tidaklah sejelas dan seterang ketika musim panas.

Penemuan air ini pasti akan menyebabkan ramai bertanya kepada soalan yang paling popular, “adakah mungkin wujud kehidupan di dalam air tersebut?”

Saintis bagaimanapun tidak begitu yakin ada kehidupan dalamnya, kerana airnya sungguh masin (jumlah garam yang tinggi dan padat) dan tidak memungkinkan kehidupan wujud.

Penemuan ini adalah hasil daripada tinjauan bertahun-tahun satelit HiRISE Mars Reconnaissance Orbiter yang mengelilingi Marikh. Keupayaan kameranya yang mempunyai resolusi yang sungguh tinggi membolehkan kita menemui bukti paling kukuh akan kewujudan air.

Namun, untuk benar-benar pasti, kita perlukan wakil di sana! Jika manusia dapat menjejakkan kaki ke Marikh, ia bakal menjawab lebih banyak persoalan.

Buat masa ini, robot-robot yang sedang merayau-rayau di permukaan Marikh, seperti Curiosity, terletak jauh dari kawasan-kawasan yang ada RSL ini, dan tidak berupaya membuat kajian lebih terperinci.

Laman web foto-foto HiRISE yang berkaitan dengan RSL boleh didapati di sini.

Banyak lagi yang kena hadam daripada cerita ini. InsyaAllah saya cuba bawakan lagi penerangan terperinci dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jom kita lihat beberapa tweet menarik yang dibuat apabila berita ini keluar tadi!

Kita minum dulu!

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments