Marikh melintasi objek-objek menarik di dalam Sagittarius sepanjang Oktober ini

Fenomena Himpunan Samawi

Wahai penggemar astrofotografi semua. Caj bateri kamera anda kerana mulai sekarang dan sepanjang Oktober ini, Marikh akan buat lintas hormat dengan beberapa objek menarik di dalam kawasan buruj Sagittarius!

Marikh, yang kini semakin jauh daripada Bumi, masih boleh dilihat di langit sebelah petang, selepas Maghrib pada arah selatan. Kecerahan kini hanya sekitar magnitud 0.0, tidaklah sehebat beberapa bulan yang lalu ketika ia berada di posisi istiqbal, namun masih lagi cerah dan cukup terang untuk menarik perhatian kita.

Sebelum ini, Marikh berada di dalam kawasan kepala buruj Scorpius, berhampiran dengan bintang Antares dan planet Zuhal. Beberapa peminat astronomi seperti Azya Matsumoto telah merakam pergerakan planet merah ini selama beberapa bulan dan jelas dapat lihat ia ‘merayap’ perlahan-lahan di kawasan buruj Scorpius ini.

mars-saturn-antares-azya-masumoto-malaysia-e1472120446909
Credit Azya Matsumoto

Dalam bulan Oktober ini, Marikh sudah masuk ke kawasan sempadan buruj Sagittarius. Seperti mana peminat astronomi tegar sedia maklum, kawasan buruj ini kaya dengan pelbagai jenis objek-objek Deep Sky seperti gugusan bintang, nebula dan juga Bima Sakti.

Pada tarikh-tarikh tertentu, Marikh akan berada cukup dekat dengan beberapa buah objek tumpuan yang membolehkan ia dijadikan target astrofotografi yang menarik.


Nebula Lagoon dan Nebula Trifid

 

screen-shot-2016-09-27-at-8-54-19-pm
Simulasi Sky Safari 5 Pro

 

Pada ketika artikel ini ditulis, Marikh sedang menghampiri 2 buah nebula cerah, iaitu Nebula Lagoon dan Nebula Trifid. Kedua-dua nebula ini merupakan target popular di kalangan penggemar astrofotografi.

Bulatan biru di atas menunjukkan kawasan seluas 6 darjah, atau lebih kurang sama dengan pandangan sebuah binokular 10×50, manakala bulatan kecil seluas 2 darjah.

Marikh akan berada pada titik paling hampir dengan nebula-nebula tersebut pada 29 September 2016, iaitu pada sudut terpisah sejauh 1.5 darjah sahaja, iaitu lebih kurang 3 kali diameter Bulan.


Gugusan bintang, M28 dan bintang Kaus Borealis

 

screen-shot-2016-09-27-at-8-47-36-pm
Simulasi Sky Safari 5 Pro

Pada 5 Oktober 2016, Marikh akan membentuk segi tiga dengan 2 buah objek yang berlainan jenis. Gugusan bintang M28 dan bintang bernama Kaus Borealis. Ketiga-tiga objek ini akan berada dalam kawasan bulatan bersaiz besar sikit daripada 1 darjah, atau 2 kali ganda diameter Bulan.

Bulatan biru di dalam rajah di atas menunjukkan saiz 1 darjah tersebut.

Gugusan M28, mempunyai kecerahan magnitud 6.7, cukup terang dan mudah dirakam menerusi kamera DSLR.


Gugusan bintang M22

 

screen-shot-2016-09-27-at-8-52-00-pm
Simulasi Sky Safari 5 Pro

Ini best! Gugusan bintang M22 ini merupakan gugusan jenis globular yang ketiga paling cerah di langit. Menerusi langit yang gelap tanpa gangguan cahaya, ia boleh dilihat dengan mata kasar.

Pada 9 dan 10 Oktober, Marikh akan melintasi kurang dari 2 darjah sahaja daripada M22!


Cara mengira saiz pandangan kamera.

 

Catatan di atas sering merujuk kepada saiz seperti 2 darjah atau 6 darjah. Cara yang paling mudah untuk mengetahui pandangan kamera yang anda gunakan ialah dengan menggunakan utiliti FOV Calculator ini.

Anda hanya masukkan jenis teleskop (atau lens) dan model kamera yang digunakan. Paparan di bawahnya akan menunjukkan nilai parameter yang perlu diisi.

fov_calculator_v2_-_12dstring

Selamat mencuba!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments